JERANTUT 30 Jan. - Hasrat para penduduk Hulu Tembeling untuk melihat sebuah pusat pertumbuhan ekonomi baru di daerah ini, kini menjadi kenyataan dengan terbinanya empat buah premis perniagaan bernilai RM200,000.
Projek di Kampung Pagi, Hulu Tembeling dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Ia dilihat mampu merintis peluang pembangunan yang lebih rancak dalam sektor pertanian dan pelancongan selain memacu semangat keusahawanan di kalangan para penduduk tempatan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, Kampung Pagi yang terletak berhampiran Taman Negara Kuala Tahan dengan menaiki bot penambang kira-kira 45 minit perjalanan, bakal menjadi pusat persinggahan pelancong asing dan domestik menerusi Program Homestay di Mukim Hulu Tembeling.
Seorang penduduk terbabit, Zainuddin Nong, 44, berkata, projek berkenaan dapat mengubah senario kampung tersebut dalam bidang pemasaran hasil pertanian dan persinggahan pelancong.
''Premis ini boleh memberi keselesaan penduduk yang terdiri daripada petani dan nelayan Sungai Tembeling memasarkan hasil pertanian termasuk ikan air tawar, sekali gus menjadi tumpuan pelawat untuk menikmati hasil kampung yang segar dan berkualiti," katanya di sini hari ini.
Genda Kia, 70, berkata, dia berterima kasih kepada PKNP dan kerajaan negeri kerana membina projek berkenaan dalam usaha merealisasikan tanggungjawab sosial iaitu mengubah kampung tradisional di persisiran Sungai Tembeling menjadi pusat pertumbuhan baru.
''Kami yakin projek lain akan menyusul selepas pilihan raya nanti dan membuktikan kerajaan BN bersungguh-sungguh untuk membela nasib penduduk luar bandar," katanya.
Genda yang juga Imam Masjid Kampung Pagi, menambah, premis berkenaan memberi peluang penduduk menjual barang runcit, makanan tradisional berasaskan ikan air tawar, ikan salai dan hasil kampung yang lain untuk menambah pendapatan.
Warga emas Kampung Pengau, Abdullah Hashim, 67, pula berkata, projek itu amat dialu-alukan oleh penduduk tempatan kerana ia menjadi tapak perniagaan baru bagi mereka.
''Setelah 50 tahun merdeka, inilah baru nampak projek perniagaan walaupun kecil tetapi bermakna buat penduduk di sini," katanya.
Pada masa yang sama, Abdullah meminta kerajaan BN Pahang agar membina segera sebatang jalan raya dari Kuala Tahan ke Kampung Pagi supaya pembangunan lebih pesat dapat direalisasikan.
Pada masa ini, penduduk terpaksa menggunakan pengangkutan air untuk ke bandar Jerantut.
Seorang penduduk Lentun, Fatimah Noor, 60, memberitahu, kemudahan yang ada di premis itu memberi peluang khususnya warga emas mendapatkan keperluan harian.
''Kami tidak perlu lagi ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut kerana semua kemudahan (barang) ada dijual di sini terutamanya keperluan dapur dan peralatan pertanian," katanya.
Sebelum ini, katanya, mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi daripada segi pengangkutan dan penginapan untuk berulang alik ke bandar Jerantut bagi mendapatkan barangan keperluan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Ahmad Jaafar menjelaskan, projek tersebut untuk kemudahan penduduk berniaga sejajar dengan pembangunan homestay dan pusat pertumbuhan baru di kawasan Kuala Tahan.
''Premis ini telah pun siap Disember tahun lalu dan PKNP akan memilih penduduk kampung ini untuk memulakan perniagaan tidak lama lagi," katanya.
Selain premis, katanya, kerajaan BN juga membina dua buah jeti di Sungai Tembeling, jambatan Sungai Pengau dan projek jalan sejauh tiga kilometer dari Kampung Pagi ke Lentun bernilai RM250,000 pada tahun lalu.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0131&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_07.htm&arc=hive