Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Rabu, 8 Mac 2006

Felda bina bandar herba RM200 juta

JERANTUT 7 Mac - Felda akan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan sebuah bandar herba di negeri ini, tidak lama lagi.
Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, peruntukan tersebut turut membabitkan aspek pengurusan dan pentadbiran, ladang dan kilang herba serta kemudahan-kemudahan lain.
Katanya, pihak pengurusan Felda sudah mengenal pasti beberapa lokasi untuk projek bandar itu yang antara lainnya menempatkan kawasan ladang herba iaitu di Gugusan Lepar berhampiran Felda Kota Gelanggi 4 dan Kuala Tahan, di sini.
``Pembinaan bandar herba dan projek ladang herba itu membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar dan antara lokasi dalam cadangan ialah berdekatan Kuala Tahan. Ia dijangka mampu memacu bidang pelancongan Taman Negara di sini di samping memajukan industri herba sebagai peluang pekerjaan untuk penduduk di situ,'' katanya di sini hari ini.
Pada pertengahan tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan cadangan membangunkan sebuah bandar herba di negeri ini dalam usaha mengkomersialkan aktiviti pertanian yang berdaya saing dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Aminuddin Ishak berkata, bandar herba itu yang lokasi awalnya ialah di Maran seperti dicadangkan oleh kerajaan negeri kepada pihak Felda.
Bagaimanapun, Dr. Ahmad Shukri berkata, Felda bersedia menimbang cadangan kawasan berkenaan oleh kerajaan negeri.
Beliau menambah, syarikat Felda Herbal Corporation yang bertanggungjawab terhadap projek itu akan memberi taklimat kepada kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat.
Dr. Ahmad Shukri seterusnya berkata, peruntukan besar itu termasuk kos melakukan kerja-kerja awal antaranya pengukuran dan pembersihan kawasan, penyediaan pelan, perancangan tanaman, penyelidikan dan pengurusan tertentu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar berkata, projek bandar herba itu nanti akan berasaskan infrastruktur moden yang membabitkan bidang penyelidikan dan pengeluaran ubat-ubatan.
Justeru, menurutnya, semua aspek penyediaan ladang perlu kajian teliti termasuk lokasi, kemudahan asas dan kesesuaian tanah yang bakal dilaksanakan secara berperingkat.
``Felda Herbal Corporation akan menggunakan kaedah moden ini bagi menanam pelbagai jenis tumbuhan herba secara besar-besaran untuk komersial antaranya spesies tumbuhan pegaga, kunyit, tongkat ali, kacip fatimah, mengkudu, hempedu bumi dan misai kucing bagi memastikan pengeluaran besar-besaran memenuhi permintaan luar,'' jelasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2006&dt=0308&pub=utusan_malaysia&sec=ekonomi&pg=ek_08.htm&arc=hive