Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Selasa, 29 Mei 2007

Percepat kemudahan asas basmi kemiskinan

JERANTUT 27 Mei – Agensi kerajaan dan swasta di peringkat daerah diminta segera menyediakan kemudahan asas terutamanya membabitkan program pembasmian kemiskinan tegar di luar bandar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berkata, kelewatan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur lain boleh membantutkan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat miskin di seluruh negara.
Sebagai contoh, katanya, projek Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar yang siap pada 2002 sepatutnya dapat menempatkan lebih awal 50 keluarga miskin di daerah Jerantut.
‘‘Bagaimanapun kerana kelewatan bekalan elektrik oleh agensi terbabit menyebabkan 50 keluarga berkenaan tidak dapat ditempatkan mengikut jadual walaupun telah siap empat tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek PPMS bernilai RM2 juta di Kampung Bukit Rang di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Perpaduan negeri, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Ahmad Jaafar dan Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Abdul Aziz Ahmad.
Tambahnya, sikap sambil lewa dan tidak ada kesungguhan untuk menyediakan kemudahan asas untuk projek itu boleh membantutkan usaha kerajaan malah melengahkan matlamat kemiskinan sifar di negara ini pada 2010.
Di samping itu, beliau berharap agensi terbabit dalam sektor pertanian dan ternakan perlu lebih proaktif membantu keluarga miskin terbabit.
‘‘Saya yakin menerusi lojistik dan kemudahan yang disediakan oleh agensi berkenaan, peserta PPMS dapat memperoleh pendapatan.
‘‘Kerajaan tetap meneruskan usaha membasmi kemiskinan tegar melibatkan 48,000 keluarga di negara ini yang membabitkan seramai 240, 000 ahli (isi) keluarga secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, mereka akan ditempatkan di bawah projek PPMS dan pemberian rumah menerusi bantuan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di luar bandar serta projek skim bantuan keusahawanan di setiap kawasan Parlimen.
Beliau memberitahu, Projek PPMS Bukit Rang, Pulau Tawar yang menempatkan
50 keluarga termiskin di Daerah Jerantut awal tahun ini, bakal menjadi contoh projek membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=0528&pub=utusan_malaysia&sec=ekonomi&pg=ek_08.htm&arc=hive