Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Jumaat, 6 Ogos 2004

Tunaikan janji bina institut belia di Pulau Tawar

Saudara Pengarang,BILA terbaca sahaja kenyataan Dr. Ahmad Shukri Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar pada 5 Disember 2001, semasa itu beliau Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan Pahang yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 6 Disember 2001, suatu perasaan gembira melonjak-lonjak pada diri saya selaku anak Pulau Tawar jati.
Apa tak gembiranya, Dr. Ahmad Shukri berkata sebuah Kolej Komuniti bernilai RM25 juta dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) bernilai RM110 juta akan didirikan di Bukit Rang, Pulau Tawar kira-kira 15 kilometer daripada bandar Jerantut. Dia bercakap hal ini kepada pemberita selepas perasmian Seminar Nuzul al-Quran Rakan Muda peringat daerah Jerantut pada awal Disember 2001.
Sebaliknya sekarang sudah hampir hujung tahun 2004, tapi mana dia kedua-dua Institusi berkenaan? Menurut Dr. Ahmad Shukri dalam kenyataan tersebut IKBN akan dibina pada tahun hadapan. Ini bermakna jika kenyataan yang diberi itu ialah pada tahun 2001, bererti IKBN akan dibina pada tahun 2002. Tapi mana dia?
Bukan apa, saya takut nanti kalau sebelum ini macam-macam kita dengar mengenai janji-janji seperti ini. Kalau tak silap saya suatu ketika dahulu pernah dengar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hendak dibina di Jerantut. Tetapi tahu-tahu lepas ke Kuala Lipis. Jadi kita takut perkara ini akan berlaku lagi terhadap kedua-dua benda ini (Kolej Komuniti dan IKBN).
Jadi harapan saya kalau rakyat sudah menunaikan janji mereka dengan benar-benar menyokong kerajaan dan menyebabkan Dr. Ahmad Shukri (sekarang bergelar Datuk) masih kekal sebagai ADUN Pulau Tawar setelah menang sekali lagi dalam pilihan raya pada awal tahun 2004 lalu, maka pihak kerajaan pula hendaklah menunaikan janji yang benar-benar telah ditabur itu kepada mereka pula.
Bagi saya, adalah tidak begitu `bena' jika niat Dr. Ahmad Shukri seperti kenyataannya kepada Bernama pada 12 Mei 2002 (Utusan Malaysia, 13 Mei 2002) untuk memajukan Sungai Salan sebagai pusat pelancongan tidak terlaksana. - ANAK PULAU TAWAR JATI, Jerantut, Pahang.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2004&dt=0805&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_03.htm&arc=hive