Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Jumaat, 25 April 2008

Kaki judi 'bandar kasino' jual kereta


JERANTUT - Kereta terpaksa dijual, hidup pula dikejar hutang.
Semuanya gara-gara ketagihan bermain 'mesin buah' di sebuah premis judi haram di bandar ini menyebabkan Azam (bukan nama sebenar), 29, mengeluh panjang.
"Lima bulan lalu, saya jual kereta Proton Wira RM12,000 kepada seorang kawan sebab nak bayar hutang kalah judi.
"Kerap juga saya berhutang dengan kawan-kawan sebab gila 'mesin buah'. Nombor ekor pun saya tikam. Apabila mereka minta saya bayar, saya tak ada duit sampai terpaksa jual kereta," katanya semasa ditemui di sini semalam.
Azam yang tinggal bersama ibu bapanya di Felda Sungai Retang dekat sini berkata, dia menghabiskan sekurang-kurangnya RM100 setiap kali bermain mesin buah.
"Sehari RM100 mesti habis, kalau 10 hari sudah RM1,000. Semua duit upah kutip hasil sawit ditelan mesin tu," katanya.
Berikutan itu, dia tidak lagi berhajat untuk mengunjungi premis judi haram itu lagi kerana bimbang diberkas polis selepas KOSMO! Ahad kelmarin membongkar bandar Jerantut dan Inderapura sebagai bandar kasino.
Laporan muka depan akhbar tersebut mendedahkan 'dedikasi' para pengusaha premis mesin judi membenarkan hanya peneroka dan penduduk kampung untuk mengelak kegiatan mereka diketahui umum khususnya 'orang luar'.
Dalam pada itu, seorang peneroka di Felda Sungai Retang, Baharom Aziz, 52, berkata, beliau sering terdengar beberapa penduduk merungut golongan belia di situ ketagih berjudi di bandar Jerantut.
"Ramai bercerita yang anak-anak muda di Felda ini banyak jadi kaki judi. Masalah pecah rumah pun kerap berlaku di sini, mungkin itu kerja budak judi atau budak dadah.
"Jadi saya mintalah pihak berkuasa buat operasi segera tutup rumah judi di bandar Jerantut. Makin lama dibiar, makin rosak anak-anak Felda," tambahnya.
Sementara itu, Ahli Exco Majlis Belia Felda Pahang, Abdul Rahman Mohamed telah dipanggil untuk memberi kerjasama kepada pihak polis dalam membantu siasatan berkaitan operasi mesin judi di Bandar Jerantut dan Bandar Inderapura.
Abdul Rahman berkata, beliau telah diminta untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam bagi diambil keterangan berkaitan masalah itu.

Jerantut 'bandar kasino'


JERANTUT - Eksklusif untuk peneroka dan penduduk kampung. Itu 'dedikasi' pengusaha premis mesin judi untuk golongan tersebut yang beroperasi secara haram di bandar Jerantut dan bandar Inderapura di sini untuk mengelak kegiatan mereka diketahui umum khususnya 'orang luar.'Malah salah sebuah daripadanya beroperasi di dalam sebuah gudang dan dikatakan 'kebal' daripada tindakan undang-undang dengan memperalatkan nama orang-orang kenamaan.Tinjauan KOSMO! Ahad mendapati 'orang luar' tidak dibenarkan masuk ke ruang mesin judi yang tersorok dalam premis kecuali diperkenalkan oleh pelanggan tetap kepada tonto yang mengawasinya.Difahamkan kegiatan haram itu berselindung di sebalik nama pusat rekreasi serta persatuan tertentu dan kini bilangannya sudah mencapai kira-kira 30 buah mesin.Menurut salah seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Karim, pengusaha terbabit hanya membenarkan orang tertentu memasuki bilik yang menempatkan mesin judi atau lebih dikenali sebagai mesin buah."Tidak semua orang dibenarkan masuk tempat yang ada mesin judi buah itu, mungkin ia bagi mengelakkan operasi mereka dikesan pihak berkuasa."Jerantut ini bandar kecil, tak hairanlah pengusahanya mengenali muka-muka yang biasa main di situ. Jika orang luar dibawa oleh pengunjung yang biasa datang, barulah dibenarkan masuk," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Man pula memberitahu, sebuah premis mesin judi haram terbesar di bandar itu menjadi tumpuan ramai peneroka terutama pada hujung minggu."Apa yang saya dengar, ramai yang sudah terjerat dengan ketagihan bermain judi di situ sehingga ada yang terpaksa menjual tanah, kereta dan motosikal," katanya.Sementara itu, dalam percubaan menjejaki kegiatan haram di salah sebuah pusat rekreasi di situ, wartawan dan jurugambar KOSMO! Ahad diekori oleh beberapa orang tonto sebaik sahaja melangkah masuk ke premis berkenaan.Di dalamnya, kira-kira 30 mesin permainan arked ditemui dan tidak kurang 10 bilik karaoke kecil dan beberapa meja snuker di samping terdapat satu pintu rahsia.Sementara itu, Ahli Exco Majlis Belia Felda Pahang, Abdul Rahman Mohamed ketika dihubungi mengakui pernah melihat mesin judi berkenaan di lokasi tersebut pada hujung tahun lalu."Saya difahamkan orang tertentu sahaja yang dibenarkan masuk ke tempat mesin judi itu."Saya sendiri pun pernah nampak hanya setelah dibawa masuk oleh orang yang biasa ke sana," katanya.Katanya, beliau turut menerima beberapa aduan daripada penduduk kampung dan peneroka berdekatan bahawa ada di kalangan mereka terpaksa menggadaikan barang berharga akibat kalah judi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Majukan Hulu Tembeling


JERANTUT 24 April - Kerajaan negeri digesa memajukan tanah di Hulu Tembeling, di sini dengan pelbagai tanaman komersial untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan pedalaman itu.
Menurut penduduk, antara tanaman yang sesuai dimajukan di kawasan tersebut ialah getah dan kelapa sawit selain buah-buahan.
Ini kerana, menurut mereka, masih banyak tanah terbiar milik penduduk dan tanah rizab kerajaan tidak dimajukan dengan sebarang projek.
Seorang penduduk Kampung Pagi, Wan Chik Ibrahim, 45, berkata, sudah sampai masanya kerajaan membangunkan kawasan Hulu Tembeling sebagai pusat pertumbuhan baru berasaskan sektor perladangan dan pelancongan.
Katanya, antara agensi yang dikenal pasti mampu membangunkan kawasan Hulu Tembeling ialah Lembaga Pekebun Kecil Getah (Risda), Lembaga Pemulihan dan Pembangunan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Lembaga Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP).
''Peranan agensi-agensi ini dapat membantu penduduk pedalaman Hulu Tembeling menikmati kemudahan asas dan kemajuan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan masing-masing pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sehubungan itu, Wan Chik meminta Risda, Felcra, LKPP dan agensi berkaitan lain merancang dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi penduduk di lima kampung tradisional di Hulu Tembeling.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Aswad Manan, 26, berkata, tidak banyak perubahan berlaku terutama dalam sektor ekonomi di kawasan itu sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.
''Kerajaan perlu mencari mekanisme baru untuk menempatkan kembali penduduk di persisiran Sungai Tembeling menerusi projek perumahan yang teratur dan pertanian komersial," katanya.
Aswad berkata, kemudahan itu mampu menyekat penghijrahan belia ke bandar dan pada masa sama dapat memajukan tanah terbiar dengan projek pengeluaran makanan.
Seorang penduduk Kampung Pengau, Abdul Jamal Mohd. Yassin, 52, berkata, kampung tradisional yang terdiri daripada Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai boleh membangun jika ada kemudahan prasarana dan pembangunan dalam sektor perladangan.
''Kerajaan perlu memajukan kawasan di sini kerana boleh membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi untuk menambah pendapatan penduduk," katanya.
Tambahnya, projek berkenaan sekali gus dapat mencapai matlamat kemiskinan sifar yang disasarkan kerajaan dua tahun lagi.
Seorang penduduk Kampung Bantai, Zulmarizan Zulkefli, 21, meminta kerajaan menyegerakan pembinaan projek jalan raya dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling jika berhasrat membangunkan projek pertanian di kawasan berkenaan.
''Hasil pertanian dan komoditi lain dapat dihantar dengan cepat ke bandar melalui jalan raya berbanding penggunaan bot penambang yang diamalkan sekarang," katanya.
Beliau menambah, prasarana dan projek pertanian komersial itu akan dapat mengubah corak hidup penduduk di kawasan tersebut kepada lebih moden berbanding sekarang.

Rabu, 23 April 2008

Projek jalan RM97 juta di Hulu Tembeling


JERANTUT 28 Feb. - Masalah perhubungan yang menghantui 8,000 penduduk dijangka selesai apabila kerajaan bersetuju membina jalan raya sepanjang 86 kilometer dari Kampung Tuit Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling di Hulu Tembeling tidak lama lagi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyiapkan kertas kerja bagi membolehkan jalan bernilai RM97 juta itu dilaksanakan segera.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan berkata, apabila siap, jalan itu akan memberi manfaat kepada penduduk di puluhan kampung termasuk Kampung Pagi, Kampung Sat, Kampung Bantal dan Kampung Jeram Perahu.
''Projek jalan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan jalan sepanjang 26 kilometer dari Kampung Tuit Kuala Tahan ke Kampung Pagi dengan kos dianggar sebanyak RM23 juta," katanya kepada Utusan Malaysia ketika bertemu rakyat di Felda Padang Piol, dekat sini hari ini.
Bagi fasa kedua, katanya, membabitkan pembinaan jalan sepanjang 60 kilometer dari Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling yang menelan belanja kira-kira RM74 juta bagi memudahkan penduduk Hulu Tembeling untuk membawa keluar hasil pertanian mereka untuk dipasarkan di Jerantut.
Apabila siap, jelasnya, penduduk hanya akan mengambil masa selama tiga jam untuk ke Bandar Jerantut dan Kuala Tembeling.
Pada masa ini kata beliau, penduduk Hulu Tembeling terpaksa menggunakan bot sebagai perhubungan untuk ke bandar Jerantut dan pekan Kuala Tembeling yang mengambil masa tujuh jam dari Kampung Bantal dan tiga jam dari Kuala Tahan.
Mengulas janji calon Pas yang akan membina jalan dan jambatan Kuala Tembeling ke Pasir Durian jika menang pilihan raya nanti, Wan Amizan berkata, parti pembangkang hanya mampu membuat janji kosong untuk meraih undi.
''Jika menang sekalipun mereka tidak mampu melaksanakannya kerana mereka tidak pernah menjalankan sebarang projek ketika Pas memenangi kerusi DUN Tahan dalam pilihan raya umum 1999.
''Pas tak usah mimpi di siang hari menipu rakyat kerana untuk memajukan negeri yang diperintah mereka pun tidak mampu, inikan pula untuk melaksanakan projek di negeri lain," tegasnya.
Menurut Wan Amizan, penduduk DUN Tahan akan menghadapi masa depan yang gelap jika mengundi Pas.
''Sebaliknya Hulu Tembeling dan Kuala Tahan akan berubah wajah dalam tempoh lima tahun akan datang jika mandat terus diberikan kepada calon BN pada pilihan raya umum ini,'' katanya.
Selain memajukan pusat pelancongan Taman Negara Kuala Tahan, tambah Wan Amizan, Hulu Tembeling akan dibangunkan sebagai pusat kegiatan pertanian kerana terdapat banyak kawasan tanah yang berpotensi untuk tujuan itu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini, Wan Amizan ditentang calon Pas, Nuridah Mohd. Salleh bagi merebut kerusi DUN Tahan.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0229&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_01.htm&arc=hive

Pusat Latihan Teknologi Tinggi

Saya terpanggil untuk menulis mengenai dua buah institusi pengajian yang telah dijanjikan oleh kerajaan persekutuan untuk dibina di parlimen81 bagi RMK8 dan RMK9 . Dalam RMK8 kerajaan berjanji untuk membina sebuah IKBN di parlimen81 tetapi sehingga sekrang saya tidak nampak dimanakah intitusi tersebut . IKBN adalah dibawah Kementerian Belia dan Sukan. EXCO yang bertanggunjawab bagi negeri pahang sejak 1999 ialah Datuk Ahmad Shukri Ismail . Begitu juga ADTEC atau pusat latihan teknologi tinggi dibawah Kementerian Sumber Manusia . Saya nak tanya apa dah jadi dengan kedua-dua institusi ini IKBN dan ADTEC ., sila jawab

parlimen81

Selamat datang ke blog parlimen81 .

parlimen81 adalah wadah menyampaikan berita-berita dan masyarakat setempat di kawasan parlimen p81 Jerantut . sesiapa juga yang mempunyai masalah dan keluahan atau buah fikiran untuk parlimen 81 ini maka anada digalakan untuk meluahkan kepada blog ini . anggaplah anda sebagai rakyat dan juga sebagai ahli parlimen .

yang benar

speaker

Khamis, 17 April 2008

"Kami tidak ada agenda tersembunyi sertai Kelab Penyokong PAS"

JERANTUT, 17 April (Hrkh) - Pengerusi Penaja Kelab Penyokong PAS (India) Pahang, Balasubramaniam Nachiappan 50, berkata beliau tidak mempunyai sebarng agenda politik untuk bersama PAS. -->-->
Menjawab satu soalan yang ditimbulkans seorang hadirin dalam majlis dialog selepas majlis pelancaran Kelab penyokong PAS Pahang (India), Balasubramaniam berkata, pihaknya tidak mempunyai apa-apa kepentingan tersembunyi dengan menyertai Kelab Penyokong PAS.
"Jika kami mempunyai kepentingan politik kami boleh menyertai DAP atau pun KeAdilan dengan keahlian penuh berbanding hanya bertaraf kelab bersama PAS," katanya.
Dalam ucapanya Balasubramaniam melahirkan perasaan gembira kerana PAS memberi peluang kepada kaum India untuk turut bersama PAS memperjuangkan keadilan demi masa depan rakyat khususnya kaum India.
Katanya, masyarakat India yang selama ini bersama MIC/BN sejak 50 tahun lalu mula meninggalkan MIC kerana mereka mula menyedari kegagalan MIC/BN membela kepentingan kaumnya.
"Apakah kami sudah maju dengan sokongan selama 50 tahun kepada MIC selama ini? parti itu hanya memperjuangkan kelompok elit masyarakat India sahaja.
"BN sering menakut-nakutkan kami untuk mendekati PAS kononnya jika PAS berkuasa kami akan dipaksa memeluk Islam, kami juga ditakut-takutkan kononnya akan dihalau oleh PAS ke India jika enggan memeluk Islam. kini kami sudah tahu ia hanyalah pembohongan belaka," katanya.
Bala berjanji akan terus bersama PAS. Majlis pelancaran Kelab penyokong PAS Pahang itu turut dihadiri pemimpin daripada Kelab sama dari Selangor, Perak, Kedah di samping pemimpin daripada beberapa daerah di Pahang. Kelab penyokong PAS Pahang kini mempunyai 150 orang ahli terdiri daripada kaum lelaki, wanita dan belia. - mns

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13981&Itemid=99

Jumaat, 11 April 2008

Bantulah saudara baru ini

JERANTUT 9 April - Seorang saudara baru merayu kerajaan dan pertubuhan Islam di negeri ini membina sebuah rumah untuknya bagi meneruskan kehidupan sebagai seorang Islam yang sempurna.
Ibu tunggal kepada dua anak itu, Serena Abdullah, 42, kini tinggal bersama ibu bapanya yang masih menganut agama lain di Perumahan Kilat Sungai Jan di sini.
''Saya malu kerana tidak tahu sembahyang dan amalan fardu lain walaupun telah lama memeluk Islam. Saya malu dengan jiran Islam di tempat tinggal saya," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan wang tunai daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang di sini semalam.
Pada majlis itu, Serena bersama dua lagi saudara baru masing-masing menerima sumbangan wang tunai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Serena berkata, dia hanya mengenali Islam setelah berkahwin dengan bekas suaminya yang juga seorang mualaf yang kini bekerja di Kuala Lumpur.
Dia yang enggan mendedahkan identiti suaminya memberitahu, selepas diijabkabulkan, Serena tidak pernah mendalami Islam kerana sibuk bekerja.
Serena yang baru bercerai tiga bulan lalu, terpaksa menanggung keperitan memelihara dua anaknya, Anita Soon Abdullah, 14, dan Adam Soon Abdullah, 12.
''Setelah hidup dalam suasana 'kosong', hati saya semakin tegar untuk mendalami Islam kerana tahu agama ini mempunyai banyak kelebihan berbanding agama lain," katanya.
Kerani di sebuah pertubuhan mualaf di bandar Jerantut itu bagaimanapun bersyukur kerana kedua-dua anaknya masih kuat berpegang kepada ajaran Islam.
Ini kerana kedua-dua anaknya menerima pendidikan agama di sekolah berdekatan tempat tinggalnya.
''Saya berhasrat untuk mencari guru agama bagi mengajar anaknya mendalami ilmu Islam," katanya.
Sementara itu, Anita Soon berkata, dia menghadapi masalah untuk mempelajari Islam di rumah kerana ibunya juga tidak memahami ajaran agama itu sepenuhnya.
''Mujurlah rakan daripada kalangan orang Melayu membantu mengajar saya tetapi saya masih memerlukan bantuan guru agama," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, pihaknya akan membantu keluarga tersebut untuk mendapatkan rumah yang selesa.
''Saya dan Perkim akan berunding dengan pihak berkuasa tempatan untuk penempatan sementara di sini sebelum kerajaan menimbang supaya Serena disediakan sebuah rumah tetap," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0410&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_03.htm&arc=hive

Khamis, 3 April 2008

JERANTUT 2 April - Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan akan dibahagikan kepada dua zon pembangunan dalam sektor pelancongan untuk meningkatkan ekonomi penduduk kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, menerusi perancangan itu, zon pertama di Tembeling Tengah akan diberi perhatian dalam bidang pelancongan berasaskan pertanian.
Zon kedua di Hulu Tembeling pula, kata beliau, akan dikekalkan sebagai pusat pertumbuhan pelancongan berasaskan alam semulajadi berikutan kekayaan khazanah rimbanya.
''Pembangunan dua kawasan ini kerana masih banyak sawah dan tanah terbiar yang boleh dimajukan dan keindahan alam sekitar untuk dijadikan tarikan pelawat serta menambah pendapatan penduduk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Amizan memberitahu, Taman Negara Kuala Tahan yang memang dikenali sebagai destinasi pelancongan terkenal di peringkat dunia akan terus berperanan sebagai pusat pelancongan apabila kerajaan akan menaik taraf beberapa kemudahan infrastruktur.
Antara projek yang sedang dilaksanakan, katanya, termasuk lot-lot gerai, laluan pejalan kaki, pintu gerbang dan landskap di hadapan
Sungai Tembeling bagi merancakkan pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan.
Sementara itu, beliau berkata, beberapa kampung di Tembeling Tengah iaitu Kampung Labu, Kampung Merting, Kampung Gol dan Kampung Pasir Sia dikenal pasti berpotensi dimajukan untuk projek pertanian.
Katanya, kampung-kampung tradisional pesisir Sungai Tembeling itu berpotensi dibangunkan berikutan kesuburan tanah dan kedudukannya terletak di antara Bandar Jerantut ke Kuala Tahan.
''Kita akan mendapat kerjasama pengusaha pelancongan dari Lembah Klang dan Bandar Jerantut supaya membawa pelawat singgah di kampung-kampung ini untuk menyaksikan sendiri produk pertanian serta cara hidup masyarakat Melayu di sini," katanya.
Wan Amizan turut meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan belia bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk melaksanakan projek yang boleh menambah pendapatan penduduk.
''Saya sendiri akan turun padang bersama JKKK dan belia untuk memantau agar projek yang dirancang, betul-betul terlaksana dan memberi manfaat untuk penduduk," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut berkata, pihaknya akan turut memajukan semula pusat pelancongan Jeram Perahu di Hulu Tembeling yang suatu ketika memang terkenal di kalangan pelawat tempatan sekitar 1990-an.
''Kita akan tambah beberapa kemudahan asas di Jeram Perahu yang kaya dengan keindahan alam sekitar yang belum tercemar dan pemuliharaan ikan air tawar yang bermutu tinggi sebagai tarikan pengunjung," katanya.
Katanya, pembangunan pelancongan dan pertanian berupaya meningkat taraf hidup penduduk menerusi peluang pasaran dan industri pengangkutan bot penambang Sungai Tembeling.
Beliau menambah, Sungai Tembeling akan dipantau dari aspek kebersihan dan keindahan dari semasa ke semasa supaya menjadi tarikan pelancong.
''Kita juga akan memantau projek memulihara pelbagai spesies ikan air tawar di kawasan antara Kuala Tahan hingga ke Kampung Pagi dengan bantuan agensi tertentu dan belia di Sungai Tembeling itu,'' katanya.

Rabu, 2 April 2008

Mahu tumpu tugas YB’

JERANTUT 31 Mac – Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menafikan keputusannya menolak jawatan Timbalan Menteri Luar berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap mana-mana pihak.
Sebaliknya, jelas beliau, penolakan jawatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru- baru ini kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Ahli Parlimen Jerantut.
Tengku Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut menegaskan, pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 mendorong beliau memberi tumpuan terhadap penyatuan parti di Pahang.
‘‘Penggal ini adalah yang terakhir untuk saya berkhidmat sebagai wakil rakyat dan peluang ini akan digunakan untuk menumpukan tugas yang belum selesai khususnya perpaduan orang Melayu selain meneruskan usaha pembangunan di Jerantut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pertemuan antara UMNO bahagian itu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak dan ADUN Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Pada 18 Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan barisan Kabinet baru tetapi Tengku Azlan dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman masing-masing menolak jawatan Timbalan Menteri Luar dan Timbalan Menteri Pengangkutan yang ditawarkan kepada mereka.
Tengku Azlan menegaskan, keputusan untuk menolak tawaran itu dibuat tanpa sebarang tekanan atau paksaan daripada mana-mana pihak.
‘‘Keputusan ini dibuat oleh saya sendiri dan tidak ada kaitan dengan sesiapa pun.
‘‘Tanpa jawatan dalam Kabinet, saya mempunyai banyak masa untuk bertemu penduduk Jerantut dan menyuntik semula keyakinan rakyat terhadap UMNO,” katanya.
Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan itu juga menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mengaitkannya dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, Disember ini.
Tegas Tengku Azlan, beliau akan terus memberi sokongan kepada Presiden parti dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan usaha-usaha pengukuhan dalam UMNO.
Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Azlan meminta pemimpin di semua peringkat mengikis sikap angkuh dan cepat merasa selesa yang dianggap sebagai faktor pencapaian buruk BN pada pilihan raya lalu.
‘‘Keangkuhan ini menyebabkan ramai pemimpin lama rebah sebaliknya ada pemimpin yang baru dicalonkan mencapai kemenangan dalam pilihan raya,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0401&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_15.htm&arc=hive