Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Jumaat, 25 April 2008

Kaki judi 'bandar kasino' jual kereta


JERANTUT - Kereta terpaksa dijual, hidup pula dikejar hutang.
Semuanya gara-gara ketagihan bermain 'mesin buah' di sebuah premis judi haram di bandar ini menyebabkan Azam (bukan nama sebenar), 29, mengeluh panjang.
"Lima bulan lalu, saya jual kereta Proton Wira RM12,000 kepada seorang kawan sebab nak bayar hutang kalah judi.
"Kerap juga saya berhutang dengan kawan-kawan sebab gila 'mesin buah'. Nombor ekor pun saya tikam. Apabila mereka minta saya bayar, saya tak ada duit sampai terpaksa jual kereta," katanya semasa ditemui di sini semalam.
Azam yang tinggal bersama ibu bapanya di Felda Sungai Retang dekat sini berkata, dia menghabiskan sekurang-kurangnya RM100 setiap kali bermain mesin buah.
"Sehari RM100 mesti habis, kalau 10 hari sudah RM1,000. Semua duit upah kutip hasil sawit ditelan mesin tu," katanya.
Berikutan itu, dia tidak lagi berhajat untuk mengunjungi premis judi haram itu lagi kerana bimbang diberkas polis selepas KOSMO! Ahad kelmarin membongkar bandar Jerantut dan Inderapura sebagai bandar kasino.
Laporan muka depan akhbar tersebut mendedahkan 'dedikasi' para pengusaha premis mesin judi membenarkan hanya peneroka dan penduduk kampung untuk mengelak kegiatan mereka diketahui umum khususnya 'orang luar'.
Dalam pada itu, seorang peneroka di Felda Sungai Retang, Baharom Aziz, 52, berkata, beliau sering terdengar beberapa penduduk merungut golongan belia di situ ketagih berjudi di bandar Jerantut.
"Ramai bercerita yang anak-anak muda di Felda ini banyak jadi kaki judi. Masalah pecah rumah pun kerap berlaku di sini, mungkin itu kerja budak judi atau budak dadah.
"Jadi saya mintalah pihak berkuasa buat operasi segera tutup rumah judi di bandar Jerantut. Makin lama dibiar, makin rosak anak-anak Felda," tambahnya.
Sementara itu, Ahli Exco Majlis Belia Felda Pahang, Abdul Rahman Mohamed telah dipanggil untuk memberi kerjasama kepada pihak polis dalam membantu siasatan berkaitan operasi mesin judi di Bandar Jerantut dan Bandar Inderapura.
Abdul Rahman berkata, beliau telah diminta untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam bagi diambil keterangan berkaitan masalah itu.

Tiada ulasan: