Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Rabu, 16 April 2003

Berbudi pada tanah - Bawa kejayaan kepada Zamri

BIDALAN orang-orang tua `di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' cukup jelas menggambarkan bahawa kesungguhan dan kerja keras antara elemen penting bagi mengubah nasib seseorang.
Di samping itu, mengambil iktibar daripada kejayaan orang lain juga mampu mencetuskan inspirasi untuk kita lebih komited dalam melakar kejayaan.
Pun begitu, sebagai umat Islam setiap kesungguhan perlu diiringi dengan doa dan tawakal kepada Allah S.W.T agar rezeki yang mendatang hasil daripada titik peluh sendiri lebih diberkati.
Demikian antara prinsip hidup yang membawa kejayaan kepada Zamri Yaakob sehingga beliau mampu diangkat sebagai Tokoh Peladang Jaya Peringkat Kebangsaan 2002.
Kesungguhan beliau mengungguli sektor perladangan tanpa mengalah pada cabaran, diperakui oleh Kementerian Pertanian untuk menerima anugerah tersebut dalam satu majlis gemilang.
Terdahulu beliau juga menerima pengiktirafan yang sama di peringkat Negeri Pahang pada 2002.
Beliau percaya, kejayaan tersebut juga adalah hasil daripada keteguhan memegang prinsip bahawa membuat sesuatu kerja perlu yakin dan jangan sesekali mudah patah semangat.
Katanya, tiada jalan pintas untuk berjaya dalam sesuatu bidang, melainkan dengan berusaha keras di samping sokongan ilmu dan kemahiran.
``Sebagai rakyat Malaysia kita sebenarnya amat beruntung, bukan saja dilahirkan di bumi yang subur dan kaya dengan khazanah semula jadi, malah banyak sokongan dan bantuan diberi oleh pihak berkuasa.
``Segala-galanya terpulang kepada kita, bak kata orang pun `tepuk dada tanya selera','' ujarnya ketika dikunjungi di kediamannya di Taman Inderapura, Jerantut, Pahang, baru-baru ini.
Bagi Zamri, banyak bercakap tanpa bekerja juga tidak akan sampai ke mana, bahkan nasib diri dan keluarga tidak mungkin akan berubah menjadi lebih baik.
Berasaskan hakikat itu, beliau sanggup meninggalkan pekerjaan bergaji tetap sebagai Penyelia Kanan di Pejabat Risda Jerantut pada 1999, semata-mata untuk bergiat sepenuh masa dalam sektor perladangan.
Anak kelahiran Kampung Lubuk Kawah, Temerloh ini mahu membuktikan minat dalam bidang pertanian sejak usia muda lagi bukan sesuatu yang sia-sia.
``Pada awalnya saya bercuti tanpa gaji selama setahun untuk mengusahakan bidang ini secara komersial dengan harapan untuk muncul sebagai peladang yang moden dan berjaya,'' ujarnya.
Justeru, Zamri tidak gentar dengan langkah drastik itu, kerana percaya sektor perladangan mempunyai potensi yang cukup cerah jika diusaha secara moden sebagaimana yang telah dibuktikan oleh peladang di negara Jepun dan Korea.
Beliau mengakui, sebagaimana individu yang ingin terbabit dalam perniagaan, pada peringkat awal halangan paling besar ialah modal.
Biarpun telah mengorbankan semua wang imbuhan selepas tamat perkhidmatan kerajaan, ia masih belum mencukupi untuk menampung projek peladangan yang dirancang.
``Membuang rasa malu, saya menapak ke setiap cawangan bank sambil membimbit kertas kerja untuk meyakinkan pegawai pinjaman,'' ujarnya.
Niat ikhlas beliau akhirnya berbalas apabila Bank Islam telah menawarkan pinjaman sebanyak RM260,000 untuk memulakan projek perladangan secara komersial.
Katanya, melalui pembiayaan itu projek kelapa sawit seluas 1.6 hektar yang diusahakan sejak 1996 diperluaskan, di samping memulakan projek ternakan 200 ekor lembu di tanah sendiri seluas 1.6 hektar di Pulau Tawar.
``Mulai saat itu sebahagian besar masa saya tertumpu di ladang ternak dan kelapa sawit. Dalam fikiran saya cuma satu, walau susah macam mana pun saya mesti menjayakan projek ini kerana saya perlu membayar ansuran pinjaman,'' katanya.
Namun Zamri sedar, kejayaan biasanya datang selepas diuji dengan cabaran dan halangan. Beliau diuji Tuhan apabila ladang lembunya yang terletak berhampiran Sungai Pahang musnah dan 50 ekor lembu ternakannya hilang dihanyut banjir pada 2001.
Biarpun sedikit kecewa, ujian tersebut tidak mematahkan semangat beliau, apatah lagi apabila keluarga dan rakan memberi perangsang dan kekuatan untuk beliau bangkit semula meneruskan usaha tersebut.
``Saya berterima kasih kepada Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan dan Pertubuhan Peladang yang banyak memberi nasihat kepakaran untuk kembali meneruskan bidang ini,'' ujarnya.
Dengan berkat ketekunan tanpa mengenal jerih payah, beliau akhirnya menuai budi yang ditabur apabila ladang kelapa sawit dan ternakan lembu mula mengeluarkan hasil.
Zamri tidak berhenti setakat itu, sebaliknya hasil pulangan dilaburkan semula dengan membeli tanah bagi mengusahakan tanaman kelapa sawit seluas 30 hektar, limau madu (0.4 hektar), dokong (0.4 hektar) dan durian (0.4 hektar).
``Saya ingat pesanan orang tua agar jangan cepat dibuai dengan kejayaan, sebaliknya belajar bersyukur dan melipatgandakan lagi usaha supaya rezeki secupak itu boleh jadi segantang dan dikongsi dengan orang lain,'' ujarnya.
Dalam usaha memudahkan hasil ladang dipasarkan, Zamri membeli tiga buah lori, di samping mengupah lima pekerja untuk menguruskan ladang dan ternakannya.
``Aspek pengurusan perlu dibuat secara bersistematik kerana bidang ini semakin berkembang luas dan menghadapi persaingan,'' ujarnya.
Mujurlah isterinya, Hasnah Ngah, 46, turut memberi bantuan tenaga dan buah fikiran agar yang sedikit sebanyak membantu melancarkan lagi pengurusan di ladang.
Hasnah yang berasal dari Terengganu banyak memberi dorongan dan meniup semangat sejak dari awal pembabitan suaminya dalam sektor tersebut.
``Sebagai isteri tanggungjawab pertama saya ialah mendorong beliau agar jangan cepat putus asa dan terus berusaha hingga berhasil,'' kata Hasnah.
Beliau turut membantu kerja-kerja di ladang kelapa sawit dan ternakan lembu agar dapat dibereskan mengikut jadual.
Selain itu, Hasnah mengakui, beliau juga kerap menemani suaminya menghantar lembu ke Terengganu, Kuantan, Lipis dan Kuala Lumpur.
Zamri sendiri percaya, sebagai nakhoda yang mengemudi sebuah keluarga bahagia, kejayaan yang beliau raih turut menjadi pendorong kepada isteri dan anak-anak mahu pun ahli keluarga lain.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Nor Hafizah, 18, yang kini sedang menunggu kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) selepas memperoleh keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, dan Mohd. Haziq, 13, di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajah Afzan di Jerantut.
``Anak lelaki kami nampaknya sudah mula menunjukkan minat di bidang pertanian, tetapi saya harap dia akan menguasai ilmu dan kemahiran sehingga peringkat universiti untuk menjadi peladang moden,'' katanya.
Sementara itu, kesibukan mengurus ladang tidak menghalang Zamri daripada turut aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan berpersatuan.
Malah, kebolehan beliau telah menarik minat pelbagai pertubuhan peladang dan koperasi untuk melantik beliau sebagai ketua di peringkat daerah Jerantut, mahupun peringkat negeri Pahang.
Selain menjadi Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pulau Tawar sejak 1995, Zamri juga dilantik sebagai Pengerusi Koperasi Pekebun Getah Daerah Jerantut sejak 1998.
Kebolehan beliau turut terserlah di peringkat negeri dan kebangsaan apabila terpilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Pertubuhan Peladang Negeri Pahang sejak enam tahun lepas, ALP Pertubuhan Peladang Kebangsaan sejak tahun 2000, Pengerusi Konsortium Pekebun Kecil Kebangsaan dan Pengerusi Koperasi Makanan Beef Berhad Pahang
Kini belau menubuhkan Syarikat KA Farm And Green yang bakal menerokai pelaburan di beberapa negara ASEAN khususnya dalam perladangan dan ternakan.
Zamri juga tidak lokek ilmu dan bersedia berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan rakan seperjuangan petani, peladang dan penoreh getah lain di seluruh negara.
Untuk itu beliau kerap kali menjelajah serata ceruk termasuk Sabah dah Sarawak sebagai penceramah bagi berkongsi ilmu dan pengalaman.
Ditanya mengenai anugerah Tokoh Peladang Jaya Kebangsaan 2002 yang diterima daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, beliau menyifatkannya sebagai pendorong untuk lebih berjaya.
``Penganugerahan itu meninggalkan kenangan paling manis dalam hidup saya, keinginan yang terpendam sekian lama untuk berjumpa Perdana Menteri akhirnya tercapai.
``Malah, pandangan dan nasihat beliau menyuntik semangat saya untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi,'' katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2003&dt=0415&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_02.htm&arc=hive