JERANTUT 9 April - Seorang saudara baru merayu kerajaan dan pertubuhan Islam di negeri ini membina sebuah rumah untuknya bagi meneruskan kehidupan sebagai seorang Islam yang sempurna.
Ibu tunggal kepada dua anak itu, Serena Abdullah, 42, kini tinggal bersama ibu bapanya yang masih menganut agama lain di Perumahan Kilat Sungai Jan di sini.
''Saya malu kerana tidak tahu sembahyang dan amalan fardu lain walaupun telah lama memeluk Islam. Saya malu dengan jiran Islam di tempat tinggal saya," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan wang tunai daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang di sini semalam.
Pada majlis itu, Serena bersama dua lagi saudara baru masing-masing menerima sumbangan wang tunai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Serena berkata, dia hanya mengenali Islam setelah berkahwin dengan bekas suaminya yang juga seorang mualaf yang kini bekerja di Kuala Lumpur.
Dia yang enggan mendedahkan identiti suaminya memberitahu, selepas diijabkabulkan, Serena tidak pernah mendalami Islam kerana sibuk bekerja.
Serena yang baru bercerai tiga bulan lalu, terpaksa menanggung keperitan memelihara dua anaknya, Anita Soon Abdullah, 14, dan Adam Soon Abdullah, 12.
''Setelah hidup dalam suasana 'kosong', hati saya semakin tegar untuk mendalami Islam kerana tahu agama ini mempunyai banyak kelebihan berbanding agama lain," katanya.
Kerani di sebuah pertubuhan mualaf di bandar Jerantut itu bagaimanapun bersyukur kerana kedua-dua anaknya masih kuat berpegang kepada ajaran Islam.
Ini kerana kedua-dua anaknya menerima pendidikan agama di sekolah berdekatan tempat tinggalnya.
''Saya berhasrat untuk mencari guru agama bagi mengajar anaknya mendalami ilmu Islam," katanya.
Sementara itu, Anita Soon berkata, dia menghadapi masalah untuk mempelajari Islam di rumah kerana ibunya juga tidak memahami ajaran agama itu sepenuhnya.
''Mujurlah rakan daripada kalangan orang Melayu membantu mengajar saya tetapi saya masih memerlukan bantuan guru agama," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, pihaknya akan membantu keluarga tersebut untuk mendapatkan rumah yang selesa.
''Saya dan Perkim akan berunding dengan pihak berkuasa tempatan untuk penempatan sementara di sini sebelum kerajaan menimbang supaya Serena disediakan sebuah rumah tetap," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0410&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_03.htm&arc=hive
Tiada ulasan:
Catat Ulasan