Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)
Memaparkan catatan dengan label bn. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bn. Papar semua catatan

Jumaat, 25 April 2008

Majukan Hulu Tembeling


JERANTUT 24 April - Kerajaan negeri digesa memajukan tanah di Hulu Tembeling, di sini dengan pelbagai tanaman komersial untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan pedalaman itu.
Menurut penduduk, antara tanaman yang sesuai dimajukan di kawasan tersebut ialah getah dan kelapa sawit selain buah-buahan.
Ini kerana, menurut mereka, masih banyak tanah terbiar milik penduduk dan tanah rizab kerajaan tidak dimajukan dengan sebarang projek.
Seorang penduduk Kampung Pagi, Wan Chik Ibrahim, 45, berkata, sudah sampai masanya kerajaan membangunkan kawasan Hulu Tembeling sebagai pusat pertumbuhan baru berasaskan sektor perladangan dan pelancongan.
Katanya, antara agensi yang dikenal pasti mampu membangunkan kawasan Hulu Tembeling ialah Lembaga Pekebun Kecil Getah (Risda), Lembaga Pemulihan dan Pembangunan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Lembaga Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP).
''Peranan agensi-agensi ini dapat membantu penduduk pedalaman Hulu Tembeling menikmati kemudahan asas dan kemajuan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan masing-masing pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sehubungan itu, Wan Chik meminta Risda, Felcra, LKPP dan agensi berkaitan lain merancang dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi penduduk di lima kampung tradisional di Hulu Tembeling.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Aswad Manan, 26, berkata, tidak banyak perubahan berlaku terutama dalam sektor ekonomi di kawasan itu sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.
''Kerajaan perlu mencari mekanisme baru untuk menempatkan kembali penduduk di persisiran Sungai Tembeling menerusi projek perumahan yang teratur dan pertanian komersial," katanya.
Aswad berkata, kemudahan itu mampu menyekat penghijrahan belia ke bandar dan pada masa sama dapat memajukan tanah terbiar dengan projek pengeluaran makanan.
Seorang penduduk Kampung Pengau, Abdul Jamal Mohd. Yassin, 52, berkata, kampung tradisional yang terdiri daripada Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai boleh membangun jika ada kemudahan prasarana dan pembangunan dalam sektor perladangan.
''Kerajaan perlu memajukan kawasan di sini kerana boleh membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi untuk menambah pendapatan penduduk," katanya.
Tambahnya, projek berkenaan sekali gus dapat mencapai matlamat kemiskinan sifar yang disasarkan kerajaan dua tahun lagi.
Seorang penduduk Kampung Bantai, Zulmarizan Zulkefli, 21, meminta kerajaan menyegerakan pembinaan projek jalan raya dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling jika berhasrat membangunkan projek pertanian di kawasan berkenaan.
''Hasil pertanian dan komoditi lain dapat dihantar dengan cepat ke bandar melalui jalan raya berbanding penggunaan bot penambang yang diamalkan sekarang," katanya.
Beliau menambah, prasarana dan projek pertanian komersial itu akan dapat mengubah corak hidup penduduk di kawasan tersebut kepada lebih moden berbanding sekarang.

Rabu, 23 April 2008

Projek jalan RM97 juta di Hulu Tembeling


JERANTUT 28 Feb. - Masalah perhubungan yang menghantui 8,000 penduduk dijangka selesai apabila kerajaan bersetuju membina jalan raya sepanjang 86 kilometer dari Kampung Tuit Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling di Hulu Tembeling tidak lama lagi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyiapkan kertas kerja bagi membolehkan jalan bernilai RM97 juta itu dilaksanakan segera.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan berkata, apabila siap, jalan itu akan memberi manfaat kepada penduduk di puluhan kampung termasuk Kampung Pagi, Kampung Sat, Kampung Bantal dan Kampung Jeram Perahu.
''Projek jalan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan jalan sepanjang 26 kilometer dari Kampung Tuit Kuala Tahan ke Kampung Pagi dengan kos dianggar sebanyak RM23 juta," katanya kepada Utusan Malaysia ketika bertemu rakyat di Felda Padang Piol, dekat sini hari ini.
Bagi fasa kedua, katanya, membabitkan pembinaan jalan sepanjang 60 kilometer dari Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling yang menelan belanja kira-kira RM74 juta bagi memudahkan penduduk Hulu Tembeling untuk membawa keluar hasil pertanian mereka untuk dipasarkan di Jerantut.
Apabila siap, jelasnya, penduduk hanya akan mengambil masa selama tiga jam untuk ke Bandar Jerantut dan Kuala Tembeling.
Pada masa ini kata beliau, penduduk Hulu Tembeling terpaksa menggunakan bot sebagai perhubungan untuk ke bandar Jerantut dan pekan Kuala Tembeling yang mengambil masa tujuh jam dari Kampung Bantal dan tiga jam dari Kuala Tahan.
Mengulas janji calon Pas yang akan membina jalan dan jambatan Kuala Tembeling ke Pasir Durian jika menang pilihan raya nanti, Wan Amizan berkata, parti pembangkang hanya mampu membuat janji kosong untuk meraih undi.
''Jika menang sekalipun mereka tidak mampu melaksanakannya kerana mereka tidak pernah menjalankan sebarang projek ketika Pas memenangi kerusi DUN Tahan dalam pilihan raya umum 1999.
''Pas tak usah mimpi di siang hari menipu rakyat kerana untuk memajukan negeri yang diperintah mereka pun tidak mampu, inikan pula untuk melaksanakan projek di negeri lain," tegasnya.
Menurut Wan Amizan, penduduk DUN Tahan akan menghadapi masa depan yang gelap jika mengundi Pas.
''Sebaliknya Hulu Tembeling dan Kuala Tahan akan berubah wajah dalam tempoh lima tahun akan datang jika mandat terus diberikan kepada calon BN pada pilihan raya umum ini,'' katanya.
Selain memajukan pusat pelancongan Taman Negara Kuala Tahan, tambah Wan Amizan, Hulu Tembeling akan dibangunkan sebagai pusat kegiatan pertanian kerana terdapat banyak kawasan tanah yang berpotensi untuk tujuan itu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini, Wan Amizan ditentang calon Pas, Nuridah Mohd. Salleh bagi merebut kerusi DUN Tahan.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0229&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_01.htm&arc=hive

Rabu, 2 April 2008

Mahu tumpu tugas YB’

JERANTUT 31 Mac – Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menafikan keputusannya menolak jawatan Timbalan Menteri Luar berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap mana-mana pihak.
Sebaliknya, jelas beliau, penolakan jawatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru- baru ini kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Ahli Parlimen Jerantut.
Tengku Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut menegaskan, pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 mendorong beliau memberi tumpuan terhadap penyatuan parti di Pahang.
‘‘Penggal ini adalah yang terakhir untuk saya berkhidmat sebagai wakil rakyat dan peluang ini akan digunakan untuk menumpukan tugas yang belum selesai khususnya perpaduan orang Melayu selain meneruskan usaha pembangunan di Jerantut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pertemuan antara UMNO bahagian itu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak dan ADUN Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Pada 18 Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan barisan Kabinet baru tetapi Tengku Azlan dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman masing-masing menolak jawatan Timbalan Menteri Luar dan Timbalan Menteri Pengangkutan yang ditawarkan kepada mereka.
Tengku Azlan menegaskan, keputusan untuk menolak tawaran itu dibuat tanpa sebarang tekanan atau paksaan daripada mana-mana pihak.
‘‘Keputusan ini dibuat oleh saya sendiri dan tidak ada kaitan dengan sesiapa pun.
‘‘Tanpa jawatan dalam Kabinet, saya mempunyai banyak masa untuk bertemu penduduk Jerantut dan menyuntik semula keyakinan rakyat terhadap UMNO,” katanya.
Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan itu juga menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mengaitkannya dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, Disember ini.
Tegas Tengku Azlan, beliau akan terus memberi sokongan kepada Presiden parti dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan usaha-usaha pengukuhan dalam UMNO.
Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Azlan meminta pemimpin di semua peringkat mengikis sikap angkuh dan cepat merasa selesa yang dianggap sebagai faktor pencapaian buruk BN pada pilihan raya lalu.
‘‘Keangkuhan ini menyebabkan ramai pemimpin lama rebah sebaliknya ada pemimpin yang baru dicalonkan mencapai kemenangan dalam pilihan raya,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0401&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_15.htm&arc=hive

Ahad, 23 Mac 2008

Kes Jenayah: MB Pahang Bakal Jatuh 3 Bulan Lagi

22 Mac 2008 Berita panas ini diterima dari pada salah seorang kroni cucu yang merupakan orang terapat dengan MB Pahang Dato' Nan Yaakob. Biarpun berita ini tidak dapat disahkan lagi, tetapi menurut sumber maklumat yang diterima, angin sudah bertiup dan dahan sudah pun mula bergoncang. Kabarnya, satu kes "Jenayah" yang melibatkan Dato' Nan akan dibongkarkan dalam masa terdekat ini. Segala fail-fail dan bukti-bukti kukuh mengenai penglibatan MB Pahang itu telah ada dan menunggu masa untuk didedahkan.Seandainya maklumat ini benar, mungkin ia juga ada kaitan dengan tindakan MB Pahang itu yang menggugurkan beberapa orang exco kerajaan negeri Pahang iaitu Dato' Shukri (ADUN Pulau Tawar) dan Dato' Shahiruddin (ADUN Dong) dari senarai terbarunya untuk penggal ini. Alasan yang diberikan ialah untuk memilih hanya mereka yang bersih sahaja menjadi exco pada kali ini. Dato' Shukri yang merupakan bekas exco kesihatan, belia dan sukan negeri sebelum ini dipercayai banyak terlibat dengan penyalahan guna kuasa. Beliau banyak terbabit dengan isu rompakan balak terutamanya di daerah Jerantut Pahang. Cucu mendapat maklumat, beliau menggunakan kuota JKKK untuk memohon kawasan balak yang kesemuanya dikatakan seluar lebih dari 100 ekar. Kabarnya lebih 30 buah JKKK telah mendapat habuan balak bahkan ada JKKK yang mendapat tiga kali pusingan. Namun rahsia terbongkar bila seorang JKKK di sebuah kampung mendedahkan penipuan Dato' Shukri. Bayaran yang diterima oleh JKKK sepatutnya mencecah ratusan ribu ringgit. Namun oleh kerana kebijaksanaan beliau untuk menipu orang-orang kampung, setiap kelulusan kawasan balak beliau hanya memberi tidak kurang dari RM50,000 sahaja kepada JKKK, selebihnya habuan beliau. Bayangkan kalau satu kawasan mendapat keuntungan bayaran mencecah RM300,000 ! Bayangkan juga beliau mengambil keuntungan daripada lebih 30 JKKK. Berapa banyak wang yang disapu oleh bekas exco ini?. Itu belum termasuk penipuan rumah PPRT di Kg. Pulau Tawar sendiri yang pernah cucu dedahkan dalam akhbar Berita harian satu ketika dulu. Projek yang hanya menelan belanja sekitar RM1.2 Juta, tetapi Dato' Shukri memohon peruntukkan sehingga RM1.8 Juta, ini bermakna beliau mengaut lagi keuntungan atas angin sebanyak RM600,000 disitu. Inilah sikap sebenar Dato' Shukri, exco yang digugurkan MB Pahang itu.Begitu juga dengan kes Dato' Shahiruddin, beliau dipercayai menjadi orang kanan dalam isu rasuah yang melibatkan Datuk Isa Samad bekas MB Negeri Sembilan dulu. Akibatnya beliau telah dikenakan tindakan displin oleh UMNO. Namun nasibnya baik, beliau agak rapat dengan istana maka akhirnya beliau selamat dan terlepas daripada hukuman selanjutnya. Namun kini beliau juga digugurkan dari barisan exco Pahang yang baru.Persoalannya disini, apakah Dato' Nan benar-benar menamakan exco yang bebas rasuah?. Nama-nama seperti Maznah Mazlan (DUN Muadzam Shah) yang dikatakan menggelapkan duit sumbangan RM1 Juta wanita UMNO semasa pilihanraya kecil Batu Talam. Ketua Wanita UMNO Pahang itu dikatakan memasukkan wang tersebut ke akaun peribadinya sendiri. Akibatnya Dato' Nan begitu murka, justeru itulah beliau hanya memberikan satu kerusi sahaja untuk wanita UMNO Pahang dalam pilihanraya umum lalu. Apapun Maznah dikekalkan sebagai exco.Begitu juga dengan Dato' Tan (DUN Chenor), yang dikatakan banyak terlibat dengan kes balak serta lain-lain urusan tanah di negeri Pahang. Dato' Nan juga amat popular dalam memperkayakan suku sakatnya. Beliau gemar membolot kekayaan dan gemar memberi rasuah setiap kali pemilihan UMNO bahagian Maran. Selain daripada isu rasuah, Dato' Tan amat popular dengan "skandal" wanita simpanan. Sudah beberapa kali rumah tangganya bergoncang dan kesnya hampir2 dibawa ke mahkamah syariah. Beliau juga telah mempunyai fail kes keluarga di pejabat agama Islam Daerah Kuantan. Dalam pilihanraya 2004 lalu, Dato' Nan dikatakan pernah cuba menumbuk Dato' Nan akibat namanya tidak dicalonkan untuk pilihanraya umum ke-11 ketika itu.Sebenarnya banyak lagi exco Dato' Nan yang mempunyai kes-kes rasuah dan moral yang memalukan. Namun mengapakah mereka ini dikekalkan? Ada pendapat mengatakan ia bertujuan untuk menutup salah laku MB itu, yang sebenarnya lebih banyak terlibat dengan jenayah dan rasuah di negeri Pahang. Maka itulah, ramai pihak dalam UMNO Pahang sendiri kecewa dengan sikap Dato' Nan. Maka mereka memberanikan diri untuk mendedahkan kepincangan kerajaan negeri Pahang serta MB Pahang itu sendiri. Apakah kerja-kerja ini dilakukan oleh orang dalam?. Sama-sama kita tunggu Pahang pula bergoncang!. Apapun, menurut sumber berkenaan beliau memberi tempoh tiga bulan untuk melihat MB Pahang itu jatuh. Semua fail-fail dan dokumen berkenaan kes Dato' Nan sudah ada dan menunggu masa untuk didedahkan. Sama-sama kita nantikan episod menarik ini.

Jumaat, 21 Mac 2008

RM300j bina pusat latihan berkemahiran tinggi

RM300j bina pusat latihan berkemahiran tinggi
JERANTUT 19 Mac – Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM300 juta bagi membina sebuah pusat latihan berteknologi tinggi di kawasan seluas 15 hektar di Kampung Temin dekat sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee (gambar) berkata, kerja-kerja pembersihan tapak telah bermula sejak September lalu dan kini hampir 60 peratus siap.
Katanya, proses pembinaan kompleks bangunan itu akan bermula bulan depan apabila kerja-kerja pembersihan tapak selesai sepenuhnya dan dijangka mengambil masa dua tahun sebelum operasi pengambilan pelatih bermula.
‘‘Pusat tersebut adalah salah satu usaha kerajaan untuk memberikan latihan kepada belia supaya mereka mempunyai kemahiran bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir yang diperlukan pelabur terutama dalam Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Lee yang juga Ketua MCA Bahagian Jerantut berkata, pusat itu adalah yang pertama dibina di Pahang bagi memberi peluang latihan kepada belia lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.
Tambah beliau, belia dari Pahang Barat seperti Jerantut, Lipis, Raub, Temerloh, Bentong, Maran, Bera dan Cameron Highlands akan diberi keutamaan untuk mengikuti latihan kemahiran di institut tersebut.
Lee memberitahu, pusat latihan tersebut akan dilengkapi asrama, bengkel latihan, setor, pejabat pentadbiran dan peralatan pembelajaran yang serba canggih.
‘‘Pusat latihan ini akan mengambil pelatih seramai antara 300 hingga 500 orang yang akan menjalani latihan di dalam bidang kejuruteraan jentera, mesin dan lain lain.
‘‘Pembinaan pusat latihan itu bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga muda terlatih dalam pelbagai bidang perindustrian berteknologi tinggi,” kata beliau.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0320&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_07.htm&arc=hive

Selasa, 18 Mac 2008

Bina segera projek jalan raya Hulu Tembeling


JERANTUT 16 Mac - Penduduk Hulu Tembeling yakin kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada projek pembinaan jalan raya sepanjang 98 kilometer yang menghubungkan tujuh kampung di sini bagi merancakkan lagi pembangunan di kawasan pedalaman itu.
Sehubungan itu, mereka berharap kerajaan negeri akan menunaikan janji bagi meneruskan projek jalan raya dari Kampung Tuit, Kuala Tahan ke Mat Daling di sini yang dinantikan penduduk sejak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu.
Mereka berkata, selagi pengangkutan bot penambang Sungai Tembeling menjadi alat perhubungan, kawasan Hulu Tembeling akan terus ketinggalan daripada arus pembangunan.
Menurut mereka, penduduk dari Kampung Pengau, Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Gusai, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan perkampungan Orang Asli Sungai Kucing sukar berulang-alik ke Bandar Jerantut sekali gus menyukarkan hasil pertanian dibawa keluar untuk dipasarkan.
Penduduk meletakkan harapan yang tinggi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak yang mempunyai pengalaman sebagai pentadbir dan usahawan untuk mempercepatkan projek jalan raya agar dapat mencorakkan kehidupan mereka menerusi pembangunan di situ.
Penduduk Kampung Pengau, Karim Telut, 86, berkata, dia yakin jalan raya itu dapat direalisasikan pada tahun ini berasaskan kesungguhan wakil rakyat yang baru untuk membawa perubahan di pedalaman Tembeling.
''Sejak negara merdeka, kami menanti projek jalan raya ke kampung ini. Saya yakin kemenangan Barisan Nasional (BN) mampu melaksanakan kemudahan asas ini," katanya ketika ditemui di Kuala Tahan, dekat sini hari ini.
Justeru, jelas Karim, hasratnya adalah untuk melihat jalan raya dibina untuk memudahkan penduduk berurusan ke Bandar Jerantut.
Pemandu bot, Rosli Zakaria, 46, berkata, kos petrol dan peralatan enjin bot yang kian meningkat menyebabkan penduduk terpaksa pergi ke Bandar Jerantut untuk berbelanja sebanyak dua kali dalam sebulan.
''Harga petrol meningkat menyebabkan kami berbelanja sebanyak RM500 pergi dan balik dari Kuala Tahan ke Hulu Tembeling.
''Kadar sewa pelancong juga meningkat RM600 untuk sekali perjalanan. Kadar ini membebankan penumpang dan kami (pemandu bot) tidak ada pilihan lain iaitu mengenakan tambang berasaskan kenaikan harga minyak dan peralatan bot,'' katanya.
Dia yang memandu bot penambang sejak 20 tahun lalu berkata, jika ada jalan raya, penduduk dan pelancong lebih selesa menaiki kenderaan darat kerana lebih cepat dan murah.
Penduduk Kampung Bantai, Japrun Ali, 49, berkata, projek jalan raya perlu dilaksanakan segera untuk memacu ekonomi petani supaya dapat memasarkan hasil pertanian dengan mudah.
''Di tempat lain sudah ada jalan raya menghubungkan ke kawasan pedalaman, saya yakin projek ini akan dilaksanakan tahun ini berasaskan kesungguhan wakil rakyat baru untuk memajukan kawasan di sini,'' katanya.
Japrun berharap projek berkenaan tidak wajar ditangguhkan berikutan beberapa jambatan telah disiapkan di laluan itu beberapa tahun lalu.
Seorang penduduk Kampung Pagi, Fatimah Noor, 67, berkata, kesukaran perhubungan menyebabkan golongan wanita tidak berpeluang membabitkan diri secara serius dengan bidang keusahawanan.
''Di sini banyak peluang pertanian boleh diusahakan tetapi ketiadaan jalan raya membantutkan segala-galanya kerana kos membawanya ke bandar dengan bot penambang agak mahal," katanya.
Ketiadaan kemudahan itu, menurut Fatimah, ramai belia berkeluarga berhijrah keluar.
Seorang pemborong binaan, Abd. Hamid Dahaman, 72, berkata, dengan wujudnya kemudahan jalan raya, ia dapat merancakkan lagi sektor pembinaan di Hulu Tembeling sekali gus menambah bilangan usahawan bidang berkenaan.
''Selama ini, kami sukar mengangkut peralatan binaan dari Bandar Jerantut ke tapak projek kerana ketiadaan jalan raya dan upah pengangkutan yang mahal,'' katanya.
Sehingga kini, tambahnya, pemborong menggunakan jalan balak membawa peralatan binaan ke pedalaman Tembeling.
''Peralatan itu tidak boleh dibawa ke Tembeling apabila musim tengkujuh kerana jalan berlumpur dan adakalanya jambatan runtuh,'' jelasnya.
Seorang lagi penduduk Pengau, Rahmah Mahmud, 65, berkata, ketiadaan jalan raya menyukarkan penduduk keluar untuk membeli barang keperluan dapur dan memperoleh ubat di Bandar Jerantut.
''Barang makanan yang dijual di kampung harganya berlipat kali ganda mahal, kami yang sudah tua dan uzur ini tidak mampu mengeluarkan wang lebih untuk berbelanja dapur,'' katanya.
Dia menambah, wakil rakyat yang baru perlu mempercepatkan projek berkenaan kerana penduduk tidak sabar-sabar untuk menikmati pembangunan.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0317&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_01.htm&arc=hive

Isnin, 17 Mac 2008

Usaha bantu 150 keluarga miskin tegar

Usaha bantu 150 keluarga miskin tegar
JERANTUT 15 Mac - Seramai 150 keluarga di Hulu Tembeling dijangka bebas daripada kemiskinan tegar menerusi rancangan penempatan semula yang akan dilaksanakan di Kampung Pagi di sini tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kerajaan akan menyediakan peluang kepada mereka untuk menyertai projek berorientasikan pertanian, penternakan dan pelancongan selain industri kecil dan sederhana (IKS).
Beliau berkata, konsep agropolitan ini akan menjadi pemangkin pembangunan meliputi beberapa buah kampung tradisional di pesisiran Sungai Tembeling dan kawasan penempatan yang mundur, terpencil dan terbiar di Tahan.
''Ia merangkumi pembinaan kemudahan infrastruktur serta pembangunan ladang komersial dan sampingan seperti tanaman kontan, ternakan dan perikanan, '' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Menurut Wan Amizan, ia turut memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan melalui penyediaan taman bimbingan kanakkanak, dewan serba guna, surau serta latihan kemahiran untuk kumpulan sasar.
Peserta yang terpilih, katanya, akan diberi tanah seluas antara enam hingga lapan hektar untuk tanaman komersial di samping bekerja di ladang kelapa sawit atau getah yang akan dibangunkan agensi yang akan ditentukan oleh kerajaan.
Katanya, projek yang sama berkonsepkan agropolitan telah dilaksanakan di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar sejak tiga tahun lalu, manakala di Tanjong Gahai (Kuala Lipis) masih dalam penyelenggaraan agensi RISDA.
''Kita juga akan memberi peluang peserta yang terdiri daripada belia yang sudah berkeluarga untuk bergiat aktif dalam sektor pelancongan kerana kampung ini (Kampung Pagi) berdekatan dengan Taman Negara Kuala Tahan," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0316&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_02.htm&arc=hive

Jumaat, 14 Mac 2008

Penduduk lega projek RM4 juta siap sepenuhnya

JERANTUT 12 Mac - Seramai 300 penduduk Kampung Durian Hijau di sini lega apabila tiga projek infrastruktur bernilai RM4 juta siap sepenuhnya di kampung itu.
Projek-projek tersebut adalah pembinaan dua batang jalan raya bernilai RM2 juta, bangunan baru sekolah rendah (RM1.4 juta) dan jeti persinggahan bot berharga RM60,000.
Ketua Kampung Durian Hijau, Mohamad Dahaman berkata, projek itu dapat memberi manfaat kepada penduduk untuk menjana bidang pertanian, pelancongan dan pendidikan.
Dengan siapnya projek-projek tersebut, katanya, penduduk kampung tradisional di persisiran Sungai Pahang itu tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
Selain itu, kata beliau, Jabatan Perikanan turut menyalurkan bantuan sebanyak 26,000 ekor benih spesies ikan temoleh, kerai dan lampan kepada penduduk untuk menjadikan Sungai Pahang di kampung berkenaan sebagai pembiakan ikan air tawar.
''Kita berharap kemudahan-kemudahan ini dapat memacu kejayaan kampung ini dan mengubah kehidupan penduduk menerusi peluang ekonomi dan pendidikan.
''Kemudahan berkenaan dapat mencorak kampung ini sebagai pusat pertumbuhan baru menerusi sektor pertanian dan pelancongan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohamad, 57, berkata, pihaknya meminta agensi-agensi kerajaan berkaitan sentiasa memberi khidmat bimbingan dan teknikal agar kegiatan pertanian serta ternakan memberi hasil pulangan lumayan kepada penduduk.
Pengerusi Belia MAYC Kampung Durian Hijau, Mat Ramli Norman berkata, pembangunan yang wujud di kampung itu dapat mengelakkan golongan muda berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan.
''Kita percaya wakil rakyat di sini akan memberi keyakinan untuk belia bergiat aktif dalam usahawan tani dan produk makanan untuk pasaran luar," katanya
Ketua Wanita UMNO Kampung Durian Hijau, Siti Esah Idris berkata, beliau yakin pembinaan bangunan sekolah baru di kampung itu memberi keselesaan kepada pelajar untuk mengikuti pembelajaran.
Menurutnya, kemudahan yang disediakan dapat memberi peluang kepada kaum wanita kampung berkenaan bergiat aktif dalam bidang keusahawanan tani selain menambah pendapatan keluarga.
Seorang penduduk, Shamsiah Mat, 40, berkata, projek jeti baru yang dibina memudahkan penduduk membawa hasil kampung ke bandar berdekatan.
Jelasnya, pelancong atau pelawat yang menyertai ekspedisi berakit dan bot Sungai Pahang juga boleh berkunjung di kampung berkenaan dengan mudah.
''Kemudahan asas ini memberi prospek yang baik untuk pembangunan pelancong di sini kerana kampung ini berdekatan Pusat Pelancongan Gunung Senyum dan perkampungan homestay di Jengka 25," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu akan mengubah imej kampung tradisional sebagai pusat pertumbuhan baru.
Beliau menambah, pelbagai usaha akan diteruskan terutama pembangunan modal insan golongan muda, peningkatan hasil pertanian dan mengeksploitasi sumber tempatan untuk kegiatan pelancongan.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0313&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_02.htm&arc=hive

Rabu, 12 Mac 2008

Wan Amizan hadapi tugas berat bangunkan Tembeling

JERANTUT 10 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan yang baru, Wan Amizan Wan Abdul Razak mengakui menghadapi tugas berat untuk meneruskan projek-projek pembangunan di pedalaman Hulu Tembeling di sini yang masih ketinggalan.
Menurut beliau, antara projek pembangunan yang perlu dilaksanakan segera adalah pembinaan jalan raya sejauh 86 kilometer dari Kampung Tuit ke Mat Daling dan menaik taraf kampung tradisional di persisiran Sungai Tembeling.
''Projek jalan raya perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi menggantikan bot penambang Sungai Tembeling yang selama ini menjadi pengangkutan utama penduduk ke Bandar Jerantut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lalu, Wan Amizan, 36, yang mendapat 5,112 undi menewaskan calon Pas, Nuridah Mohd. Salleh yang memperoleh 3,755 undi.
Wan Amizan yang juga Ketua Pemuda UMNO Jerantut berkata, projek fasa pertama jalan raya yang menghubungkan Tuit ke Kampung Pagi sepanjang 26 kilometer membabitkan kos sebanyak RM23 juta akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Jelas beliau, fasa kedua projek berkenaan akan disambung ke Kampung Sat, Bantai dan Mat Daling secara berperingkat dengan melibatkan kos keseluruhan bernilai RM97 juta.
Katanya, jalan raya merupakan perhubungan utama untuk membawa hasil pertanian termasuk kelapa sawit dan getah ke Bandar Jerantut.
Wan Amizan berkata, pengalamannya terpaksa mengharungi Sungai Tembeling menggunakan bot penambang untuk menjelajah enam kampung di Hulu Tembeling sejauh 100 kilometer semasa berkempen lalu membuktikan kerajaan perlu segera membina jalan raya ke kawasan berkenaan.
''Saya akan berusaha memastikan kemudahan ini akan direalisasikan mengikut jadual," katanya.
Wan Amizan menjelaskan, kerajaan akan menyusun semula penempatan baru di persisiran Sungai Tembeling dengan membabitkan projek pertanian buah-buahan dan kontan.
Sehubungan itu, katanya, projek jalan raya yang dijalankan berupaya membangunkan kawasan pedalaman yang masih ketinggalan dan pada masa sama dapat menarik kembali belia pulang ke kampung masing-masing untuk bergiat dalam sektor pertanian dan pelancongan.
''Ini adalah tugas berat yang terpaksa saya pikul dan lalui untuk merealisasikan pembangunan Hulu Tembeling khususnya mengubah kehidupan penduduk dan membebaskan saki-baki kemiskinan tegar berkenaan," katanya.
Kemenangan di DUN Tahan mengalahkan Pas, katanya, membuktikan penduduk memerlukan BN menyegerakan projek-projek pembangunan di sini.
Bapa kepada empat orang anak itu tidak menghadapi masalah memimpin DUN Tahan kerana beliau sendiri dilahirkan di Kampung Jong Berlabuh, Tembeling Tengah.
Kebanyakan penduduk Hulu Tembeling, menurut beliau, mempunyai pertalian keluarga dan menerima dengan baik kehadirannya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0311&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_02.htm&arc=hive

Sabtu, 8 Mac 2008

Kerajaan punyai strategi bangunkan kampung tradisional

JERANTUT 6 Mac - Kerajaan mempunyai strategi yang tersusun untuk membangunkan kampung-kampung tradisional di pinggir Sungai Pahang dan Sungai Tembeling terutama dalam sektor pertanian dan pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, mekanisme itu bertujuan membantu mengubah kehidupan penduduk yang berpendapatan rendah dan menghapuskan saki baki kemiskinan tegar menerusi pertanian.
Beliau berkata, agensi seperti Felcra, RISDA, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan akan membantu penduduk berkenaan yang mempunyai tanah terbiar untuk melaksanakan projek perladangan getah, kelapa sawit, tanaman kontan dan ternakan ikan air tawar untuk pasaran sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat dan kenaikan harga yang memberangsangkan.
"Strategi kerajaan di kampung tradisional untuk membantu pendapatan penduduk termasuk warga emas dan mereka yang miskin tegar serta pada masa yang sama menarik golongan belia kembali ke kampung masing-masing," katanya.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan jeti baru dan melepaskan benih ikan air tawar di Sungai Pahang, di Kampung Durian Hijau, di sini hari ini.
Ahmad Shukri berkata, kerajaan menyediakan kemudahan asas di kampung-kampung tradisional di pinggir Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dengan membina jalan raya dan jeti untuk memudahkan petani memunggah hasil pertanian ke bandar Jerantut dan tempat pengumpulan hasil pertanian.
"Tidak perlu dipersoalkan niat kerajaan kerana sebelum pilihan raya ini banyak projek kemudahan asas dibina yang membabitkan kos yang tinggi di kampung-kampung tradisional.
"Kita membalas kepercayaan pengundi dan rakyat sejak pascamerdeka dan memanifestasikan semua pembangunan secara berperingkat hingga keadaan ekonomi semakin baik dan pendapatan penduduk semakin selesa," katanya.
Oleh itu, tambah beliau, rakyat perlu memberi mandat sekali lagi kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunannya.
"Usaha murni ini terbukti kebenaran, apabila kemiskinan tegar berjaya dikurangkan daripada 50 peratus kepada 3 peratus sahaja menjelang 2010.
"Bagi DUN Pulau Tawar, kita akan menumpukan sektor perumahan untuk penduduk miskin dengan membina 150 buah rumah lagi di Bukit Rang dan Galong pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga merancang untuk membahagikan lot tanah di Bukit Rang dan kampung tradisional untuk belia berkeluarga membina rumah dan memudahkan mereka menumpukan perhatian kepada bidang pertanian sebagai sumber pendapatan.
Mengenai pembangunan di Durian Hijau, tambahnya, kerajaan membina dua batang jalan raya bernilai RM2 juta, bangunan baru sekolah rendah berharga RM1.4 juta dan jeti persinggahan bot berharga RM60,000 yang telah digunakan untuk kemudahan memunggah hasil kampung.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0307&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_03.htm&arc=hive

Sabtu, 1 Mac 2008

120 keluarga miskin dapat rumah percuma

JERANTUT 28 Feb. – Kerajaan akan mengagihkan 120 unit rumah secara percuma kepada keluarga miskin terpilih dalam Projek Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) di Kampung Seri Galong, Pulau Tawar di sini tidak lama lagi.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar berkata, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismai berkata, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM1.6 juta bagi melaksanakan projek tersebut.
Katanya, projek itu adalah sebahagian usaha kerajaan menempatkan keluarga miskin secara bersepadu dalam satu kawasan yang dibekalkan dengan pelbagai kemudahan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, gerai, kedai, padang permainan serta masjid.
‘‘Apabila siap, projek itu akan menempatkan seramai 120 keluarga miskin yang dipilih dari seluruh daerah ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Shukri berkata, rumah berharga RM16,000 seunit itu mengandungi tiga bilik, ruang tamu, dapur dan bilik air.
Selain itu, katanya, keluarga miskin terpilih itu akan turut disediakan kawasan pertanian serta diberikan saham Felcra sebagai sumber pendapatan.
Ahmad Shukri merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut itu berkata, sebuah projek perintis telah dilaksanakan di Kampung Bukit Rang yang menempatkan seramai 50 keluarga miskin terpilih dari seluruh daerah Jerantut.
Menurut beliau, mereka diberikan peluang bekerja di ladang Felcra atau menjalankan pekerjaan sendiri yang mampu memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 sebulan.
‘‘Kerajaan akan menyelesaikan masalah kemiskinan terutama kemiskinan tegar secara komprehensif melalui agensi kerajaan seperti Felcra dan Risda supaya mereka mampu membaiki kehidupan dan berdikari,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Shukri memberitahu, dalam tempoh 10 tahun akan datang, Jerantut bakal menjadi pusat pelaburan dan daerah yang maju dalam industri pertanian apabila kerajaan menaik taraf jalan dan kemudahan asas bagi melaksanakan projek Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) tidak lama lagi.
Katanya, pembinaan prasarana itu akan menyemarakkan lagi industri pelancongan kerana daerah itu mempunyai beberapa produk bertaraf dunia seperti Taman Negara di Hulu Tembeling.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0229&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_02.htm&arc=hive

Rabu, 20 Februari 2008

Kolej Komuniti Pahang Barat dibina

JERANTUT 18 Feb. – Kolej Komuniti bernilai RM10 juta yang bakal memberi latihan kemahiran kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan Pahang Barat, dijangka siap hujung tahun ini.
Pengerusi Koperasi Pemuda Bersatu Jerantut (KPBJ), Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, projek pembinaan kolej yang dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi kepada koperasi itu, berjalan mengikut jadual.
‘‘Kompleks bangunan ini terletak di Taman Wawasan akan menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran dan aktiviti kokurikulum pelajar sejajar keperluan yang digariskan oleh kementerian itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Amizan yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Jerantut berkata, kerajaan membina kolej itu bagi membantu lepasan SPM mengikuti latihan teknikal dan pengurusan lain di peringkat sijil dan diploma.
Projek pembinaan 12 buah premis kolej itu, katanya, membabitkan peruntukan sebanyak RM6 juta.
‘‘Kelengkapan kemudahan pentadbiran dan lojistik lain pula melibatkan peruntukan tambahan sejumlah RM4 juta.
‘‘Setiap kelas boleh menempatkan seramai antara 12 hingga 15 pelajar dan dijangka memulakan sesi pengajian pada akhir tahun ini,” katanya.
Jelas beliau, kolej berkenaan akan melatih lebih ramai pelajar luar bandar, Felda dan Orang Asli dalam bidang teknikal.
Sehubungan itu, katanya, daerah Jerantut akan menjadi pusat pertumbuhan ilmu bagi kalangan belia untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.
Beliau menambah, projek tersebut merupakan pemacu bagi KPBJ untuk meneruskan kegiatan dalam sektor pembinaan.
Di samping katanya, projek pertanian KPBJ membabitkan penyertaan ramai ahlinya di daerah Jerantut.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0219&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_01.htm&arc=hive

Sabtu, 16 Februari 2008

Bantuan baik pulih rumah di Hulu Tembeling

JERANTUT 14 Feb. - Bantuan membaik pulih rumah yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada penduduk miskin di Hulu Tembeling di sini, mencerminkan keprihatinan kerajaan tersebut dalam mengutamakan kebajikan masyarakat pedalaman.
Terbaru, BN menghulurkan bantuan bernilai RM16,000 kepada lima keluarga miskin di Kampung Pagi, Pengau dan Lentun di sini, yang meliputi simen, atap zink, papan dan pelbagai bahan lain bagi tujuan membaik pulih rumah mereka.
Peralatan berkenaan dipunggah dengan bot dari jeti Taman Negara, Kuala Tahan ke kampung-kampung terlibat.
Ketua Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 36, berkata, bantuan daripada kerajaan BN untuk membaik pulih rumah penduduk miskin itu melibatkan kerja menggantikan atap bocor, dinding yang rosak dan menurap lantai serta tandas dengan simen.
"Bantuan ini memberi sedikit kelegaan kepada penduduk agar mereka memiliki kediaman lebih selesa dan boleh menumpukan kegiatan mencari rezeki untuk keluarga masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia dekat sini, hari ini.
Seorang penerima bantuan, Abdullah Abd. Rahman, 67, berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan wakil rakyat di situ yang bermurah hati memberi peralatan binaan untuk membaik pulih rumahnya yang sudah rosak.
"Dapatlah saya dan keluarga berteduh dengan selesa setelah menggantikan atap zink yang baru berbanding sebelum ini yang kerap bocor ketika hujan," katanya.
Abdullah yang mempunyai lima orang anak berkata, bantuan itu menggambarkan kerajaan BN hari ini bersikap adil dan berkongsi kekayaan ekonomi dengan penduduk miskin di luar bandar.
Penduduk Pengau, Razali Malik, 45, berkata, bantuan berkenaan disifatkan sebagai hadiah untuk keluarganya setelah menjalani kehidupan yang kurang selesa kerana keadaan rumahnya yang reput dan rosak.
"Mujurlah ada bantuan daripada kerajaan. Jika tidak, beginilah keadaan rumah saya kerana tidak mampu untuk berbelanja membeli peralatan binaan yang mahal," katanya.
Rakannya, Othman Mohamad, 64, berkata, sumbangan peralatan itu dapat mengurangkan belanja membeli bahan binaan lain untuk membesarkan rumahnya bagi menampung jumlah keluarga yang ramai.
Beliau yang mempunyai sembilan orang anak, seterusnya berkata, kesungguhan kerajaan membela nasib keluarga miskin terbukti menerusi sumbangan peralatan binaan itu.
Sementara itu, wakil BN, Ahmad Jaafar, menjelaskan bantuan peralatan binaan berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan RM250,000 dari kerajaan untuk membiayai kebajikan keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan asnaf yang lain.
"Kita telah menerima laporan lengkap daripada semua ketua kampung mengenai masalah kebajikan keluarga dan peruntukan ini disalurkan secara berperingkat dalam bentuk peralatan tertentu," katanya.
Beliau menambah, bantuan ditumpukan dengan memberi peralatan membina rumah, tandas dan kemudahan lain untuk keluarga berkenaan agar kehidupan mereka lebih terjamin dan selesa.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0215&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_06.htm&arc=hive

Rabu, 13 Februari 2008

Hulu Tembeling bakal pengeluar mangga utama

JERANTUT 11 Feb. - Mukim Hulu Tembeling bakal menjadi pengeluar mangga utama di Pahang apabila seluas 1,200 hektar tanah terbiar di kawasan itu dimajukan dengan tanaman tersebut tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Ahmad Jaafar berkata, projek di bawah pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan menjadikan lima kampung di mukim itu sebagai pusat pertumbuhan baru berasaskan hasil pertanian di negeri ini.
''Projek tanaman buah-buahan menerusi peruntukan pembangunan ECER bakal mencorakkan kawasan pedalaman Jerantut sebagai pusat ekonomi yang baru.
''Ini sekali gus membuktikan tanggungjawab sosial kerajaan dalam membantu mengubah pendapatan golongan petani di sini," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Selimbar/Chebong dekat sini, hari ini.
Menurut Ahmad, kerajaan akan memulihkan tanah terbiar di Kampung Pagi dan Kuala Sat dengan menumpukan tanaman mangga dan buah-buahan tempatan lain bagi tujuan komersial.
Katanya, kawasan di Hulu Tembeling amat sesuai dengan tanaman buah-buahan, selain suasana persekitaran hutan tropika Taman Negara yang terletak berhampiran tapak projek tersebut.
Katanya, menerusi pembangunan penyelidikan dan pasaran oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), buah-buahan berkenaan berpotensi dieksport terutama ke negara-negara Arab, Jepun dan ASEAN.
''Projek ini juga memberi peluang petani di sini memajukan tanah milik sendiri menerusi kemudahan khidmat bimbingan teknikal dan pasaran oleh agensi berkenaan," katanya.
Usaha itu, katanya, merupakan langkah kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup petani luar bandar bagi membasmi kemiskinan tegar menerusi peluang dalam bidang pertanian.
Sehubungan itu, beliau berkata, projek berkenaan akan merancakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan di Taman Negara dengan membolehkan pelawat menikmati buah-buahan tropika, selain masakan ikan air tawar serta keindahan flora dan fauna di sini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, kerajaan akan menyiapkan projek jalan raya dari Kuala Tahan ke Mat Daling sejauh 90 kilometer tidak lama lagi.
''Saya berharap penduduk bersabar dan kerajaan sedang merancang projek ini secara berperingkat," katanya.
Beliau menambah, projek jalan raya itu akan memberi kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk tempatan yang selama ini menggunakan pengangkutan bot di Sungai Tembeling untuk menjalankan urusan harian.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0212&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_06.htm&arc=hive

Jumaat, 1 Februari 2008

RM200j baiki rumah peneroka

JERANTUT 30 Jan. - Felda memperuntukkan RM200 juta bagi membantu para peneroka membaiki dan membesarkan rumah mereka menerusi skim pinjaman perumahan 2008.
Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, peneroka yang berminat memohon skim itu, boleh menghubungi pihak pengurus di tanah-tanah rancangan Felda, Felda Wilayah atau di ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur.
Katanya, mereka hanya perlu mengisi borang khas dan menyediakan penjamin dan jika menepati syarat permohonan itu akan dilulus segera.
''Felda menyediakan peruntukan itu kerana mendapati ada rumah peneroka yang dibina sejak mula rancangan dibuka berpuluh tahun lalu, masih tidak berubah wajah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap peneroka mengambil kesempatan tersebut bagi membolehkan mereka hidup dalam rumah yang lebih besar dan selesa, terutamanya yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Belia dan Sukan berharap peneroka tidak mempersia-siakan peluang itu kerana peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha Felda untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Menurut Dr. Ahmad Shukri, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu melaksanakan pembangunan untuk rakyat dan pembukaan tanah rancangan Felda di seluruh negara seluas dua juta hektar tanah adalah bukti BN bersungguh-sungguh membantu rakyat miskin.
''Kerajaan BN akan berbuat apa sahaja demi kepentingan rakyat dan agenda utama kerajaan ialah untuk menghapuskan kemiskinan tegar yang kini hanya tinggal 0.7 peratus sahaja di seluruh negara.
''Peneroka Felda yang terdiri daripada 112,000 keluarga yang berasal daripada keluarga miskin yang kini hidup selesa dengan pendapatan antara RM1,000 sehingga RM8,000 sebulan adalah bukti kejayaan BN yang sentiasa berusaha dan prihatin terhadap masalah rakyat," kata beliau.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar mengingatkan rakyat, terutamanya peneroka jangan mudah terperangkap dengan janji-janji manis pembangkang setiap kali tiba musim pilihan raya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0131&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_06.htm&arc=hive

Hulu Tembeling berubah wajah

JERANTUT 30 Jan. - Hasrat para penduduk Hulu Tembeling untuk melihat sebuah pusat pertumbuhan ekonomi baru di daerah ini, kini menjadi kenyataan dengan terbinanya empat buah premis perniagaan bernilai RM200,000.
Projek di Kampung Pagi, Hulu Tembeling dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Ia dilihat mampu merintis peluang pembangunan yang lebih rancak dalam sektor pertanian dan pelancongan selain memacu semangat keusahawanan di kalangan para penduduk tempatan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, Kampung Pagi yang terletak berhampiran Taman Negara Kuala Tahan dengan menaiki bot penambang kira-kira 45 minit perjalanan, bakal menjadi pusat persinggahan pelancong asing dan domestik menerusi Program Homestay di Mukim Hulu Tembeling.
Seorang penduduk terbabit, Zainuddin Nong, 44, berkata, projek berkenaan dapat mengubah senario kampung tersebut dalam bidang pemasaran hasil pertanian dan persinggahan pelancong.
''Premis ini boleh memberi keselesaan penduduk yang terdiri daripada petani dan nelayan Sungai Tembeling memasarkan hasil pertanian termasuk ikan air tawar, sekali gus menjadi tumpuan pelawat untuk menikmati hasil kampung yang segar dan berkualiti," katanya di sini hari ini.
Genda Kia, 70, berkata, dia berterima kasih kepada PKNP dan kerajaan negeri kerana membina projek berkenaan dalam usaha merealisasikan tanggungjawab sosial iaitu mengubah kampung tradisional di persisiran Sungai Tembeling menjadi pusat pertumbuhan baru.
''Kami yakin projek lain akan menyusul selepas pilihan raya nanti dan membuktikan kerajaan BN bersungguh-sungguh untuk membela nasib penduduk luar bandar," katanya.
Genda yang juga Imam Masjid Kampung Pagi, menambah, premis berkenaan memberi peluang penduduk menjual barang runcit, makanan tradisional berasaskan ikan air tawar, ikan salai dan hasil kampung yang lain untuk menambah pendapatan.
Warga emas Kampung Pengau, Abdullah Hashim, 67, pula berkata, projek itu amat dialu-alukan oleh penduduk tempatan kerana ia menjadi tapak perniagaan baru bagi mereka.
''Setelah 50 tahun merdeka, inilah baru nampak projek perniagaan walaupun kecil tetapi bermakna buat penduduk di sini," katanya.
Pada masa yang sama, Abdullah meminta kerajaan BN Pahang agar membina segera sebatang jalan raya dari Kuala Tahan ke Kampung Pagi supaya pembangunan lebih pesat dapat direalisasikan.
Pada masa ini, penduduk terpaksa menggunakan pengangkutan air untuk ke bandar Jerantut.
Seorang penduduk Lentun, Fatimah Noor, 60, memberitahu, kemudahan yang ada di premis itu memberi peluang khususnya warga emas mendapatkan keperluan harian.
''Kami tidak perlu lagi ke Kuala Tahan dan bandar Jerantut kerana semua kemudahan (barang) ada dijual di sini terutamanya keperluan dapur dan peralatan pertanian," katanya.
Sebelum ini, katanya, mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi daripada segi pengangkutan dan penginapan untuk berulang alik ke bandar Jerantut bagi mendapatkan barangan keperluan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Ahmad Jaafar menjelaskan, projek tersebut untuk kemudahan penduduk berniaga sejajar dengan pembangunan homestay dan pusat pertumbuhan baru di kawasan Kuala Tahan.
''Premis ini telah pun siap Disember tahun lalu dan PKNP akan memilih penduduk kampung ini untuk memulakan perniagaan tidak lama lagi," katanya.
Selain premis, katanya, kerajaan BN juga membina dua buah jeti di Sungai Tembeling, jambatan Sungai Pengau dan projek jalan sejauh tiga kilometer dari Kampung Pagi ke Lentun bernilai RM250,000 pada tahun lalu.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0131&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_07.htm&arc=hive

Jumaat, 25 Januari 2008

Lima buah kampung dinaik taraf pusat pelancongan agro

JERANTUT 23 Jan. - Lima buah kampung yang terletak di sepanjang Sungai Tembeling akan dinaikkan taraf sebagai pusat pelancongan agro mulai tahun ini untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjungi kawasan itu dan Taman Negara.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Belia dan Sukan, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail memberitahu, kampung tersebut adalah Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai.
Usaha itu, kata beliau, membuktikan kerajaan negeri tidak mengabaikan pembangunan penduduk di pedalaman malah akan terus berusaha mengimbangi taraf ekonomi penduduk agar jurang kehidupan mereka tidak terlalu ketara berbanding penduduk di daerah lain.
''Projek itu akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), antaranya adalah meluluskan peruntukan RM200,000 untuk menggalakkan lebih ramai penduduk setempat terlibat dalam homestay dan projek kraftangan," kata Dr. Ahmad Shukri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Kecemerlangan Pelajar di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini hari ini.
Menurut beliau, kedudukan kelima-lima buah kampung itu agak terpencil dan hanya boleh dihubungi dengan bot melalui Sungai Tembeling sejauh 120 kilometer dari bandar Jerantut dengan mengambil masa lima jam perjalanan.
Projek itu, katanya, bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan penduduk malah boleh menarik lebih ramai pelancong ke Ulu Tembeling serta Taman Negara.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pulau Tawar memberitahu, kerajaan bercadang untuk membina rangkaian jalan raya yang bermula daripada Kampung Tuit Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling melalui Kampong Pagi yang membabitkan peruntukan sebanyak RM26 juta.
Sehubungan itu kata Ahmad Shukri, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diminta menyiapkan laporan termasuk kos sebenar projek itu sepanjang 60 kilometer.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri membelanja RM5 juta bagi membaiki dan menaik taraf jalan sepanjang 60 kilometer daripada Felda Sungai Retang ke Taman Negara baru-baru ini untuk kemudahan pelancong dan orang ramai.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0124&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_05.htm&arc=hive

Khamis, 6 Disember 2007

Bida plat kereta Exco diteliti BPR

KUANTAN 4 Dis. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) Pahang sedang meneliti kes tender nombor pendaftaran CCC 3 dan CCC 8 yang sebelum ini didakwa dibida dua Exco kerajaan negeri itu pada nilai RM62,400 setiap satu.
Pengarahnya, Simi Abdul Ghani berkata, proses penelitian bertumpu kepada aspek sama ada telah berlaku sebarang unsur rasuah dalam proses tender berkenaan.
“Proses penelitian kes akan diteruskan sehingga kita menemui bukti sama ada berlaku rasuah atau tidak,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Dua Exco Pahang yang membida nombor CCC 3 dan CCC 8 masing-masing pada nilai RM62,400 ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Perpaduan, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Bagaimanapun, mereka kemudian menarik diri daripada membeli nombor plat berkenaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=1205&pub=utusan_malaysia&sec=dalam%5Fnegeri&pg=dn_04.htm&arc=hive

Membida nombor plat

KEPUTUSAN tender nombor pendaftaran kenderaan CCC yang diumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, minggu lalu mengejutkan penduduk negeri ini berikutan dua Exco kerajaan Pahang dinamakan sebagai berjaya membida RM62,400 bagi CCC 3 dan harga yang sama juga untuk CCC 8.
Fakta yang didedahkan pihak media itu telah mengundang reaksi pantas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Semasa sidang Dewan Undangan Negeri Pahang Kesebelas, Jumaat lalu, beliau membuat penjelasan bahawa dua Exco berkenaan tidak membida pada harga setinggi itu sebaliknya ia ditawarkan oleh JPJ.
Susulan kenyataan MB itu, Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Shahiruddin Abdul Moin, tampil membuat sidang media menjelaskan beliau hanya membida pada harga RM5,000 melalui permohonan kepada Menteri Pengangkutan lalu diarahkan mengisi Borang Tender MV10 berserta bayaran RM3,000 sebagai deposit.
Penjelasan itu yang disiarkan kebanyakan media cetak 25 November lalu, turut menyalahkan JPJ Pahang kerana mengumumkan beliau sebagai berjaya memiliki CCC 8 pada harga RM62,400 manakala keputusan itu dipaparkan di Ibu Pejabat JPJ.
Shahiruddin mendakwa JPJ telah mencalarkan nama baiknya sebagai ahli politik kanan Pahang sehingga bakal berhadapan tindakan hilang jawatan Exco sekiranya terus membeli nombor itu.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Perpaduan, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail memberi penjelasan ringkas berhubung isu CCC 3 dengan kenyataan, beliau hanya memasukkan borang kosong ke dalam peti tender JPJ tanpa sebarang deposit sementara menantikan surat sokongan Timbalan Menteri Pengangkutan.
Tetapi beliau mendakwa JPJ menghantar surat tawaran pada 21 November lalu mengatakan dia berjaya memperoleh nombor itu pada harga RM62,400.
Selepas membaca penjelasan dua Exco ini serta Menteri Besar Pahang melalui kenyataan mereka yang disiarkan sebahagian besar media cetak, timbul enam persoalan berikutan terdapat percanggahan ketara dalam prosedur operasi standard (SOP) tender nombor pendaftaran JPJ, dengan apa yang mereka jelaskan.
Pertama, adakah terdapat mana-mana peruntukan undang-undang membenarkan JPJ untuk menawarkan sebarang nombor pendaftaran dengan harga ditetapkan oleh JPJ sendiri kepada mana-mana individu.
Jika merujuk kepada prosedur SOP nombor pendaftaran, harga tidak ditetapkan oleh JPJ sebaliknya ditentukan melalui proses tender terbuka yang mana pembida dengan harga tertinggi akan ditawarkan nombor berkenaan dan bukannya JPJ sesuka hati menawarkan harga dan nombor itu kepada sesiapa.
Kedua, adakah terdapat mana-mana peruntukan undang-undang yang membenarkan kuasa Menteri Pengangkutan atau Timbalan Menteri Pengangkutan untuk menentukan berapa harga sesuatu nombor pendaftaran dan siapa yang bakal memilikinya.
Jika peruntukan sedemikian wujud, ternyata kerajaan menolak hasil lumayan daripada bidaan nombor itu kerana melalui proses tender secara terbuka, harga bidaan boleh mencecah ratusan ribu ringgit bagi sesuatu nombor.
Kenapa perlu disekat hasil negara itu melalui campur tangan politik?
Kalau adapun ihsan menteri, ia hendaklah bersifat untuk membantu meringankan beban rakyat untuk sesuatu perkara yang amat diperlukan dan bukannya bagi sesuatu seperti mahu menggunakan nombor kenderaan yang cantik bagi tujuan bermegah.
Ketiga, merujuk kepada kenyataan Ibu Pejabat JPJ Putrajaya dalam akhbar KOSMO, 25 November lalu, pihak JPJ menegaskan bahawa mereka tidak menetapkan sebarang harga bagi sesuatu nombor sebaliknya pembida tentukan sendiri harga maksimum yang mereka mampu pada Borang MV10.
Persoalannya, mengapa dua Exco berkenaan bertegas menyatakan bahawa mereka tidak pernah meletakkan bidaan sebegitu tinggi sebaliknya pihak JPJ yang meletakkan harga RM62,400 bagi setiap nombor itu. Mana yang betul sebenarnya?
Keempat, Shukri dalam Mingguan Malaysia tarikh 25 November juga, menjelaskan beliau hanya memasukkan borang JPJ MV10 yang kosong tanpa dituliskan nilai bidaan, ke dalam peti tender JPJ untuk nombor CCC 3.
Persoalannya, jika prosedur mengisi borang kosong dibenarkan oleh JPJ, ia bererti satu penipuan dan mengkhianati pembida lain kerana proses tender terbuka adalah memilih harga tertinggi dan bukannya borang kosong yang kemudiannya akan diisi harga sebaik mengetahui nilai tertinggi pembida lain.
Kelima, amat tidak munasabah apabila dua Exco berkenaan menyatakan bahawa mereka hanya berhasrat untuk membeli nombor berkenaan sekiranya harga tawaran bernilai sekitar RM5,000 sahaja.
Adakah dua Exco ini tidak mengetahui bahawa belum pernah ada dalam sejarah JPJ mana-mana negeri yang menerima harga kurang daripada RM15,000 bagi nombor pendaftaran satu digit.
Lebih hairan lagi, dua Exco berkenaan ketika ini sudah diketahui umum menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran satu digit (8 dan 3). Tidak masuk akal mereka tidak mengetahui harga nombor yang mereka sudah miliki.
Keenam, Shahiruddin dalam sidang medianya mengemukakan dua bukti dokumen tender daripada JPJ iaitu surat tawaran dengan nilai RM62,400 dan Borang MV10 dengan catatan harga tempahan RM5,000.
Berdasarkan SOP proses tender nombor pendaftaran mana-mana JPJ, sebaik peti tender mula dibuka (ada yang disaksikan pegawai BPR), Panel Tender JPJ akan melihat Borang MV10 dengan tawaran nilai paling tinggi bagi sesuatu nombor sebelum mengeluarkan surat tawaran kepada pembida berkenaan.
Bermakna, angka di dalam surat tawaran JPJ mesti bersamaan dengan angka yang ditawarkan oleh pembida dalam Borang MV10. Mengapa dalam kes Shahiruddin angkanya berbeza?
Malah prosedur juga menetapkan bahawa pembida perlu membayar deposit sebanyak 10 peratus daripada nilai bidaan untuk nilai tawaran melebihi RM2,000 atau RM500 untuk bidaan bawah nilai itu.
Namun, dalam kes Shahiruddin, beliau mendakwa membuat bidaan RM5,000, tetapi membayar depsit RM3,000. Bukankah RM3,000 merujuk kepada bidaan RM30,000?
Jika benar, mengapa kaedah pembayaran seorang Exco berbeza daripada SOP yang telah ditetapkan?
Pelbagai persoalan yang timbul ini sudah pastinya tidak dapat terlepas daripada mempertikaikan integriti JPJ kerana umum amat sedia maklum dengan proses tender sesuatu nombor pendaftaran.
Tambahan pula, dua Exco berkenaan amat bertegas mahukan penjelasan daripada JPJ berhubung isu itu seolah menggambarkan JPJ suatu institusi yang tidak cekap dan tidak telus seterusnya perlukan saringan daripada BPR.
Penyelesaian terbaik untuk polemik ini adalah rundingan semeja antara Exco berkenaan, Menteri Besar Pahang dan pihak JPJ manakala BPR perlu memainkan peranan menilai integriti kedua-dua pihak.
Sikap berdiam diri JPJ Pahang bukan penyelesaian kepada isu yang berbangkit ini.
Jawapan yang sewajarnya perlu diberikan sama ada oleh pihak Ibu Pejabat JPJ atau JPJ Pahang.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=1205&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

Rabu, 14 November 2007

Bekas imam saman Setiausaha UMNO RM3 juta

Bekas pegawai Masjid Tengku Abdullah, Jerantut semalam memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM3 juta terhadap Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Zamri Yaakob kerana mendakwa difitnah.
Zakaria Khalib, 42, memfailkan saman itu melalui Tetuan MK Othman & Co di pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya Temerloh di sini pada 3.10 petang tadi, mendakwa Zamri melalui suratnya bertarikh 15 September tahun lepas kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan disalinkan kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Pahang dengan secara salah dan niat jahat menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya.
Beliau mendakwa Zamri dalam surat tersebut menuduh beliau, yang ketika itu Imam Satu Masjid Tengku Abdullah, Jerantut, mempersendakan konsep Islam Hadhari sebagai bentuk ajaran agama baru serta sesat yang diperjuangkan pemimpin UMNO dalam ceramah agama yang disampaikan.
Beliau turut dituduh menjatuhkan hukum murtad dan bunuh kepada sesiapa yang menyokong kerajaan serta menggunakan platform masjid dengan membenarkan penceramah bebas dan tidak bertauliah menyampaikan ceramah politik pembangkang.
Zakaria juga dikatakan sering memperlekeh dan menuduh tugas-tugas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terutama dari kalangan pemimpin UMNO yang korupsi, tidak amanah, membina kekayaan peribadi, mencuri hasil negara dan lain-lain.
Zakaria juga dikatakan menghentam peribadi Perdana Menteri sebagai keturunan abdi Badwi Arab Jahiliah yang memimpin UMNO serta mengutuk kerajaan yang sedia ada.
Zakaria mendakwa akibat fitnah tersebut, beliau dihina, dikeji dan dicemuh oleh masyarakat seolah-olah beliau merupakan seorang penderhaka kepada baginda dan seluruh rakyat.
Zakaria yang ditemani peguamnya, Mohd Fadzly Mohd Ramly juga percaya akibat daripada surat tersebut telah menyebabkan dia ditukarkan ke Pekan dan kini menjawat jawatan di bahagian pengurusan JAIP.
Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta serta satu injunksi untuk menghalang Zamri atau pekerja-pekerjanya daripada menerbitkan perkataan berunsur fitnah selain mahu Zamri meminta maaf sepenuhnya dan menarik balik tuduhan fitnah ke atasnya.
Zakaria memulakan perkhidmatannya bersama JAIP dengan menjadi Imam di Masjid Lipis pada tahun 1995, Pekan 1997, Bera (masjid Triang) dan memohon ditukar ke Jerantut pada tahun 2004. Dia kemudian telah ditukar ke Pekan ke bahagian Pengurusan pada tahun lepas.

http://dppwp.wordpress.com/2007/11/14/bekas-imam-saman-setiausaha-umno-rm3-juta/