Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)
Memaparkan catatan dengan label felda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label felda. Papar semua catatan

Selasa, 19 Oktober 2010

Felda Tipu Peneroka ? ADUN Pulau Tawar Nak Saman Felda ?

Ini adalah berita yang saya petik dari sebuah blog
 
Sdr Md Zain Awang, petugas yang mengumpulkan senarai peneroka-peneroka Felda di Jengka 9 telah dihubungi oleh Pengarah Wilayah Felda Jengka untuk bekerjasama dengan Felda bagi menubuhkan sebuah Jawatankuasa untuk memantau Kilang Felda di Jengka 8.
Mengikut kata Md Zain, Pengarah Wilayah itu menunjukkan rasa simpati terhadap peneroka-peneroka berhubung dengan perahan KPG mereka yang dimanipulasikan oleh Felda dan Kilang Felda.
Dan Jawatankuasa yang ditubuhkan nanti akan bertindak untuk mempastikan tidak ada penyelewengan berlaku.
Md Zain berasa pelik dan hairan kenapa Pengarah Felda Wilayah sanggup menghubunginya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh Peneroka berhubung perahan.
Dan Pengarah Felda Wilayah itu menghubungi beliau setelah Peneroka-Peneroka daripada Felda Jengka 9, Jengka 8, Jengka 10, Jengka 11, Jengka 12, Jengka 13, Jengka 21, Jengka 22, Jengka 23, Jengka 24, Jengka 25, Felda Kota Gelanggi 1, Gelanggi 2, Gelanggi 3, Gelanggi 4, Felda Jenderak Utara dan Jenderak Selatan berkumpul dan berbincang untuk mengumpulkan Peneroka-Peneroka bertujuan untuk memfailkan saman terhadap Felda berhubung dengan perahan KPG yang diselewengkan oleh Felda dan Kilang Felda.
Bagaimanapun, Md Zain mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengarah Wilayah Felda Jengka, beliau menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dengan Felda bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah Peneroka yang sudah sekian lama ditipu oleh Felda berhubung dengan isu perahan KPG.
Md Zain menyatakan bahawa rata-rata Peneroka di kawasan ini hanya diberikan KPG antara 18% hingga 20% sahaja dan majoritinya hanya 18%. Peneroka-peneroka kerugian sebanyak RM200.00 hingga RM400.00 sebulan hasil penipuan Felda ini.
"Jika Felda sanggup berunding, kita tak perlu saman Felda, tetapi rundingan yang hendak diadakan itu mestilah dengan kehadiran Peguam-Peguam kami, supaya peneroka-peneroka tidak dipermainkan,"kata Md Zain, sambil mengalu-alukan inisiatif yang bakal diambil oleh Felda itu.
Menurut Sdr Md Zain, peneroka-peneroka bukan sahaja menuntut supaya KPG mereka dinaikkan hingga ke paras yang sebenar mengikut perkiraan MPOB dan selain dari itu Felda hendaklah bersedia membayar ganti rugi selama tidak kurang dari 15 tahun kerana penyelewengan yang mereka telah lakukan terhadap Peneroka.
Md Zain juga menerima kunjungan daripada mereka yang kononnya mewakili YB Dr Shukri, ADUN Pulau Tawar. Wakil itu meminta Md Zain bekerjasama dengan YB Shukri kerana kononnya YB itu sanggup mengumpulkan peneroka-peneroka Felda disitu dan sanggup juga membawa Felda ke muka Mahkamah.
Md Zain mengalu-alukan tawaran Dr Shukri itu, dan beliau terperanjat kerana ADUN Barisan Nasional sudah menjadi berani mahu menyaman Felda, tetapi Md Zain was-was dengan kunjungan mereka yang kononnya mewakili Dr Shukri itu, dan "rasanya boleh Kiamat dunia ini kalau ADUN BN Pulau Tawar itu sanggup menyaman Felda".
"Walaubagaimana pun saya akan memberikan kerjasama dan pada bila-bila masa sanggup bertemu Dr Shukri dan memberikan sokongan jika benar YB itu mahu membantu kami menyaman Felda," kata Md Zain.
Kerjadian ini adalah aneh dan pelik, kata Md Zain, selama ini kami ditipu berterusan oleh Felda, Felda langsung tidak memperdulikan kami, tetapi apabila kami membawa Peguam-Peguam untuk mengambil tindakan saman, tiba-tiba Felda dan Wakil Rakyat BN mencadangkan perkara-perkara yang sukar diyakini.
Bagi Sdr Md Zain, inilah indahnya perjuangan. Jika peneroka-peneroka tidak berjuang dan membiarkan saja Felda menipu mereka, Felda dan BN tidak memberikan apa-apa perhatian terhadap mereka.
Beliau ingin melihat perkembangan ini dan menganggapnya sebagai positif, tetapi didalam jangka yang sama, usaha-usaha melalui Peguam untuk menyaman Felda akan diteruskan juga agar Felda dan Wakil BN tidak mempermain-mainkan Peneroka, kata Md Zain.
 
 

Sabtu, 9 Februari 2008

Peneroka dapat tanah tambahan


JERANTUT 17 Feb. – Seramai 387 peneroka Felda Sungai Tekam di sini, terharu apabila mendapat tanah tambahan seluas dua hektar seorang untuk dimajukan dengan tanaman kelapa sawit.
Ketua Kampung Felda Sungai Tekam, Hashim Kadir. 73, berkata, pemberian tanah oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu amat menggembirakan hati penduduk tanah rancangan itu.
Katanya, peneroka Felda Sungai Tekam yang mendiami kawasan itu pada tahun 1962, hanya mendapat lapan hektar berbanding tanah rancangan lain yang memperoleh 10 hektar seorang.
Menurutnya yang juga Ketua UMNO Felda Sungai Tekam, pemberian kerajaan itu membuktikan penghargaan kerajaan kepada peneroka yang melalui pelbagai cabaran ketika membuka tanah rancangan tersebut.
‘‘Felda Sungai Tekam perlu diletakkan sebaris dengan Felda Lurah Bilut kerana sejarah penubuhannya adalah sama dengan semangat kegigihan peneroka untuk meneroka hutan belantara,” katanya.
Hashim ditemui selepas majlis penyerahan surat hak milik kampung tradisional dan rancangan Felda serta pemberian komputer kepada 37 masjid Felda Daerah Jerantut di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak Sungai Tekam di sini, oleh Timbalan Perdana Menteri, semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar; Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Yusof Noor dan Pengarah Besar Felda, Datuk Ahmad Tarmizi Alias.
Seorang penduduk Felda Sungai Tekam, Mazlan Manan, 45, yang mengambil geran bagi ibu bapanya turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang peka dengan keperluan masyarakat peneroka Felda.
Katanya, pemberian tambahan surat hak milik tanah itu membuktikan kerajaan negeri dan Felda menunaikan janji untuk menyerahkan geran itu demi masa depan mereka.
Seorang lagi penduduk, Mat Aris Mohd. Sidek, 69, menyifatkan tambahan tanah seluas dua hektar lagi, memenuhi tuntutan warga peneroka generasi pertama yang berjuang untuk mendapatkan tanah seluas 10 hektar.
‘‘Pada masa ini, rancangan Sungai Tekam telah ditanam semula dengan produk utama kelapa sawit dan getah sejak hampir 10 tahun lalu yang memberi pulangan lumayan kepada penduduk,” katanya.
Rakannya, Ali Talib, 72, gembira kerana hasrat untuk melengkapkan kawasan tanahnya kepada 10 hektar sudah tercapai apatah lagi diserahkan sendiri oleh waris sulung Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Seorang lagi generasi kedua Felda, Shamsuddin Abd.Rahman, 37, berjanji akan memanfaatkan tanah peninggalan keluarganya itu dengan aktiviti pertanian secara komersial yang menepati hasrat Felda.
Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya menyifatkan pembangunan Felda yang diasaskan bapanya sebagai khazanah negara yang perlu dimajukan selari dengan kemajuan glokal.
Oleh itu, kata Najib, warga Felda harus bersedia daripada segi minda dan fizikal untuk menerima perubahan yang dibawa kerajaan.
‘‘Gagasan mewujudkan masyarakat Felda yang berjaya dalam pelbagai bidang akan dicapai jika semua pihak memberi sokongan padu terhadap apa juga perancangan untuk meningkat kehidupan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Najib mengingatkan warga Felda tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang disifatkannya sebagai pengacau dan penghalang kemajuan kerana cara politik mereka hanya retorik semata-mata.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0218&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_01.htm&arc=hive

Jumaat, 1 Februari 2008

RM200j baiki rumah peneroka

JERANTUT 30 Jan. - Felda memperuntukkan RM200 juta bagi membantu para peneroka membaiki dan membesarkan rumah mereka menerusi skim pinjaman perumahan 2008.
Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, peneroka yang berminat memohon skim itu, boleh menghubungi pihak pengurus di tanah-tanah rancangan Felda, Felda Wilayah atau di ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur.
Katanya, mereka hanya perlu mengisi borang khas dan menyediakan penjamin dan jika menepati syarat permohonan itu akan dilulus segera.
''Felda menyediakan peruntukan itu kerana mendapati ada rumah peneroka yang dibina sejak mula rancangan dibuka berpuluh tahun lalu, masih tidak berubah wajah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap peneroka mengambil kesempatan tersebut bagi membolehkan mereka hidup dalam rumah yang lebih besar dan selesa, terutamanya yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Belia dan Sukan berharap peneroka tidak mempersia-siakan peluang itu kerana peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha Felda untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Menurut Dr. Ahmad Shukri, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu melaksanakan pembangunan untuk rakyat dan pembukaan tanah rancangan Felda di seluruh negara seluas dua juta hektar tanah adalah bukti BN bersungguh-sungguh membantu rakyat miskin.
''Kerajaan BN akan berbuat apa sahaja demi kepentingan rakyat dan agenda utama kerajaan ialah untuk menghapuskan kemiskinan tegar yang kini hanya tinggal 0.7 peratus sahaja di seluruh negara.
''Peneroka Felda yang terdiri daripada 112,000 keluarga yang berasal daripada keluarga miskin yang kini hidup selesa dengan pendapatan antara RM1,000 sehingga RM8,000 sebulan adalah bukti kejayaan BN yang sentiasa berusaha dan prihatin terhadap masalah rakyat," kata beliau.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar mengingatkan rakyat, terutamanya peneroka jangan mudah terperangkap dengan janji-janji manis pembangkang setiap kali tiba musim pilihan raya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0131&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_06.htm&arc=hive

Jumaat, 25 Januari 2008

Lima buah kampung dinaik taraf pusat pelancongan agro

JERANTUT 23 Jan. - Lima buah kampung yang terletak di sepanjang Sungai Tembeling akan dinaikkan taraf sebagai pusat pelancongan agro mulai tahun ini untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjungi kawasan itu dan Taman Negara.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Belia dan Sukan, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail memberitahu, kampung tersebut adalah Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai.
Usaha itu, kata beliau, membuktikan kerajaan negeri tidak mengabaikan pembangunan penduduk di pedalaman malah akan terus berusaha mengimbangi taraf ekonomi penduduk agar jurang kehidupan mereka tidak terlalu ketara berbanding penduduk di daerah lain.
''Projek itu akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), antaranya adalah meluluskan peruntukan RM200,000 untuk menggalakkan lebih ramai penduduk setempat terlibat dalam homestay dan projek kraftangan," kata Dr. Ahmad Shukri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Kecemerlangan Pelajar di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini hari ini.
Menurut beliau, kedudukan kelima-lima buah kampung itu agak terpencil dan hanya boleh dihubungi dengan bot melalui Sungai Tembeling sejauh 120 kilometer dari bandar Jerantut dengan mengambil masa lima jam perjalanan.
Projek itu, katanya, bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan penduduk malah boleh menarik lebih ramai pelancong ke Ulu Tembeling serta Taman Negara.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pulau Tawar memberitahu, kerajaan bercadang untuk membina rangkaian jalan raya yang bermula daripada Kampung Tuit Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling melalui Kampong Pagi yang membabitkan peruntukan sebanyak RM26 juta.
Sehubungan itu kata Ahmad Shukri, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diminta menyiapkan laporan termasuk kos sebenar projek itu sepanjang 60 kilometer.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri membelanja RM5 juta bagi membaiki dan menaik taraf jalan sepanjang 60 kilometer daripada Felda Sungai Retang ke Taman Negara baru-baru ini untuk kemudahan pelancong dan orang ramai.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0124&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_05.htm&arc=hive

Rabu, 8 Mac 2006

Felda bina bandar herba RM200 juta

JERANTUT 7 Mac - Felda akan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan sebuah bandar herba di negeri ini, tidak lama lagi.
Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, peruntukan tersebut turut membabitkan aspek pengurusan dan pentadbiran, ladang dan kilang herba serta kemudahan-kemudahan lain.
Katanya, pihak pengurusan Felda sudah mengenal pasti beberapa lokasi untuk projek bandar itu yang antara lainnya menempatkan kawasan ladang herba iaitu di Gugusan Lepar berhampiran Felda Kota Gelanggi 4 dan Kuala Tahan, di sini.
``Pembinaan bandar herba dan projek ladang herba itu membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar dan antara lokasi dalam cadangan ialah berdekatan Kuala Tahan. Ia dijangka mampu memacu bidang pelancongan Taman Negara di sini di samping memajukan industri herba sebagai peluang pekerjaan untuk penduduk di situ,'' katanya di sini hari ini.
Pada pertengahan tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan cadangan membangunkan sebuah bandar herba di negeri ini dalam usaha mengkomersialkan aktiviti pertanian yang berdaya saing dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Aminuddin Ishak berkata, bandar herba itu yang lokasi awalnya ialah di Maran seperti dicadangkan oleh kerajaan negeri kepada pihak Felda.
Bagaimanapun, Dr. Ahmad Shukri berkata, Felda bersedia menimbang cadangan kawasan berkenaan oleh kerajaan negeri.
Beliau menambah, syarikat Felda Herbal Corporation yang bertanggungjawab terhadap projek itu akan memberi taklimat kepada kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat.
Dr. Ahmad Shukri seterusnya berkata, peruntukan besar itu termasuk kos melakukan kerja-kerja awal antaranya pengukuran dan pembersihan kawasan, penyediaan pelan, perancangan tanaman, penyelidikan dan pengurusan tertentu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar berkata, projek bandar herba itu nanti akan berasaskan infrastruktur moden yang membabitkan bidang penyelidikan dan pengeluaran ubat-ubatan.
Justeru, menurutnya, semua aspek penyediaan ladang perlu kajian teliti termasuk lokasi, kemudahan asas dan kesesuaian tanah yang bakal dilaksanakan secara berperingkat.
``Felda Herbal Corporation akan menggunakan kaedah moden ini bagi menanam pelbagai jenis tumbuhan herba secara besar-besaran untuk komersial antaranya spesies tumbuhan pegaga, kunyit, tongkat ali, kacip fatimah, mengkudu, hempedu bumi dan misai kucing bagi memastikan pengeluaran besar-besaran memenuhi permintaan luar,'' jelasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2006&dt=0308&pub=utusan_malaysia&sec=ekonomi&pg=ek_08.htm&arc=hive