Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Khamis, 27 Mac 2008

Penduduk mahu menteri kerap 'turun padang'

JERANTUT 26 Mac - Penduduk pedalaman Hulu Tembeling mahu menteri yang dipilih menganggotai Kabinet baru-baru ini lebih kerap turun ke kawasan mereka bagi meninjau dan memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan segera.
Sambil menyatakan akan terus memberi kepercayaan dan berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka berharap pemimpin-pemimpin terbabit tidak melupakan janji-janji yang dibuat pada musim pilihan raya umum lalu.
Kata mereka, senario yang berlaku sebelum dan selepas pilihan raya umum tidak menggugat pendirian mereka untuk tetap memberikan sokongan kerana yakin hanya BN dan UMNO sahaja mampu membawa pembangunan ke kawasan itu.
Salah seorang penduduk Kampung Bantai, Zulkefli Jamaluddin, 45, berkata, mereka mengharapkan kerajaan BN terus memimpin kerana banyak agenda pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) perlu direalisasikan mengikut jadual untuk faedah dan kepentingan orang ramai.
''Saya yakin senario panas di beberapa negeri tidak menghilangkan keyakinan penduduk luar bandar terhadap pemimpin BN. Kita tahu mereka boleh menangani situasi berkenaan dengan bijak," katanya.
Justeru kata Zulkefli, agenda pembangunan di pedalaman Hulu Tembeling wajar dilaksanakan segera sejajar dengan keyakinan dan harapan penduduk di situ.
Penduduk Kampung Pengau, Shahraddin Abd. Karim, 42, pula berkata, dia percaya pemimpin BN dapat menangani segala kemelut dan berhadapan pelbagai cabaran dengan matang berasaskan pengalaman dan sejarah lalu.
''Pemimpin berkenaan perlu memenangi hati penduduk menerusi pelaksanaan projek pembangunan yang lebih adil. Kami yang tinggal di pedalaman hanya mahukan sedikit keselesaan seperti tempat lain," katanya.
Sehubungan itu, kata Shahraddin, menteri yang dilantik mewakili kerajaan perlu lebih kerap meninjau ke kawasan-kawasan pedalaman seperti Hulu Tembeling kerana ia antara kawasan yang masih terpinggir daripada arus pembangunan.
Seorang warga emas Kampung Pagi, Muji Mohamad, 67, memberitahu, kawasan Hulu Tembeling mundur berbanding tempat lain kerana sistem perhubungannya sejauh 100 kilometer masih terpaksa menggunakan bot penambang.
''Selagi menggunakan bot penambang untuk ke kampung di sini, pembangunan tidak banyak dan kehidupan penduduk masih di takuk lama," katanya.
Walaupun tidak menafikan sudah ada kemudahan bekalan elektrik dan sekolah tetapi tegasnya, jalan raya penting untuk mempercepatkan arus pembangunan.
Penduduk Kampung Pagi, Abd. Hamid Dahaman, 72, berpendapat, penduduk Hulu Tembeling tetap setia serta yakin kerajaan BN mampu menyelesaikan masalah pembangunan pedalaman Hulu Tembeling dan membasmi kemiskinan.
Pun begitu katanya, kerajaan perlu memikirkan mengapa pembangunan yang telah lama dirancang terbantut untuk dijayakan di kawasan berkenaan.
Aswad Manan, 26, meminta agar kerajaan memberi peluang yang saksama dalam apa juga projek dan rancangan ekonomi kepada belia di kawasan tersebut.
Soal perumahan dan keusahawanan berasaskan ekonomi katanya, perlu dizahirkan bagi mengelakkan penghijrahan berleluasa belia ke kawasan bandar.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0327&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_01.htm&arc=hive

Tiada ulasan: