JERANTUT, 16 Mac (Hrkh) - PAS kehilangan seorang pemimpinya apabila bekas Timbalan Pesuruhjaya Pahang, Abdul Malik Yusuf 56, kembali kerahmatullah, pagi tadi. -->-->
Allahyarham yang dikenali dengan panggilan 'Cik Malik' di kalangan ahli-ahli PAS itu dilahirkan pada 22 Mei 1952 di Kampung Gintong, Pulau Tawar, Jerantut meninggalkan seorang balu, Hasmah Ibrahim dan lapan orang anak tiga perempuan dan lima lelaki.
Menurut anaknya, Abdul Hadi Abdul Malik, ayahnya menghembuskan nafas terakhir di rumahnya, pada jam 5.55 pagi di sisi keluarga selepas kritikal kira-kira tiga hari lalu.
Allahyarham adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Tahan (1999 - 2004). Beliau adalah di antara enam ahli PAS yang melakar sejarah PAS negeri apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tahan dalam pilihan raya umum ke-10 pada tahun 1999.
Beliau menewaskan calon Umno /BN, Abdul Halim Yunan dengan majoriti 103. Abdul Halim memperolehi 3,624 undi manakala beliau memperolehi 3,727 undi. Bagaimanapun dalam pilihan raya umum ke-11, beliau tewas kepada calon BN yang juga Kadi Daerah Jerantut, Ahmad Jaafar.
Allahyarham adalah bekas kakitangan Felda dan pernah berkidmat di Felda Gugusan Sungai Koyan dan Jengka sebelum meletak jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-9. Bagaimanapun beliau tewas.
Sebelum menyertai PAS, beliau aktif didalam Angkatan Belia Islam (ABIM) daerah Raub dan pernah memegang jawatan bendahari.
Di dalam PAS beliau menyandang beberapa jawatan penting antaranya bendahari Dewan Pemuda PAS Pahang, Yang Dipertua PAS kawasan Jerantut, Setiausaha badan Perhubungan PAS negeri dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.
Beliau merupakan antara pemimpin yang mempunyai bakat semula jadi berpidato dan mahir dengan persilatan Melayu. Beliau boleh besilat dan memukul gendang silat.
Semasa bergelar Adun beliau sering dijemput bersilat di majlis perkahwinan "anak buah" nya.
Jenazahnya diziarahi pemimpin PAS negeri dan kawasan serta rakan-rakan seperjuangan termasuk Adun PAS Kuala Semantan, Syed Hamid Mohamd.
Jenazah beliau disembahyangkan di masjid daerah Jerantut (masjid lama) dan sebelum disemadikan di perkuburan Islam kampung Mat Kilau, Jerantut. - mns
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13313&Itemid=50
Tiada ulasan:
Catat Ulasan