Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Sabtu, 22 Mac 2008

Ternakan lembu tingkatkan pendapatan petani


JERANTUT - Pusat Pemasaran dan Ternakan Lembu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Kampung Paya Rajin di sini merupakan pengendali utama ternakan dan pasaran lembu di Pahang yang dijalankan secara sistematik untuk menambah pendapatan petani luar bandar.
Projek itu menjadi perintis ternakan komersial di kawasan Pahang Barat seiring program Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) yang mula dinikmati di kalangan petani di Jerantut, Maran, Temerloh, Raub dan Kuala Lipis.
Pusat itu mula beroperasi pada 1998 dengan suntikan modal sebanyak RM300,000 di tiga buah kandang dengan kapasiti sebanyak 300 ekor lembu.
Penubuhan pusat itu sejajar dengan permintaan daging lembu yang kian meningkat pada masa ini.
Pusat ternakan baka kacukan Kedah dan Kelantan atau dikenali sebagai 'Berahman' itu mempunyai kemudahan padang ternak, pusat pemprosesan makanan, kolam, pejabat selain bekalan elektrik, air dan lojistik.
Pegawai FAMA daerah, Mohd. Lokman Mohd. Isa berkata, usaha agensi berkenaan merupakan konsep baru berasaskan pendekatan integrasi rantaian bekalan.
Modus operandi Fama, menurut beliau, sebagai pusat pembelian, stok dan memasarkan haiwan berkenaan kepada pemborong di pasar tani, peniaga dan penternak di seluruh negeri.
Beliau berkata, usaha itu juga diperluaskan kepada usahawan ternakan dan pemborong di Selangor, Melaka, Perak, Kelantan, Terengganu dan Lembah Klang yang menjadi rangkaian urusniaga dengan pusat itu.
''Projek ini merupakan pemangkin industri ternakan terbesar untuk memberi peluang kepada petani dan belia di luar bandar menceburi bidang keusahawanan," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Paya Rajin di sini hari ini.
Sejak beroperasi, menurutnya, pusat itu berjaya membantu 250 orang penternak, empat syarikat swasta, sembilan usahawan dan urusniaga bekalan kepada Felda, Risda, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Lembaga Getah Malaysia yang membabitkan perjanjian kontrak pemasaran dan pemindahan teknologi.
Kata Mohd. Lokman, bermula dengan hanya 37 ekor lembu, kini pusat ternakan itu mencatat pulangan sebanyak RM2 juta setahun dengan lebih 1,500 ekor lembu pada masa ini.
''Peranan projek ini bagi menjamin bekalan sentiasa mencukupi di pasaran malah dapat membantu mana-mana rangkaian pasar tani dan ladang ternakan di Pahang yang menghadapi kekurangan bekalan pada waktu tertentu," katanya.
FAMA Pahang, tambahnya, mempunyai stok bekalan lembu antara 1,500 hingga 2,000 ekor untuk keperluan pasar tani dan pusat jualan bagi persiapan umat Islam menyambut perayaan dan majlis tertentu," katanya.
Beliau memberitahu, jumlah itu tidak termasuk pembelian lembu dari tempat lain untuk menambah bilangan haiwan berkenaan dalam stok yang ada bagi pasaran tahun depan.
Mohd. Lokman berkata, projek itu bertujuan menyediakan persekitaran pemasaran yang kondusif bagi meningkatkan penglibatan golongan sasar dan pelabur swasta untuk menjana pertumbuhan ekonomi menerusi sektor ternakan yang lebih efisien.
''Kita tidak akan lari daripada matlamat asal untuk membantu petani yang berpendapatan rendah di Pahang Barat untuk bergiat dalam bidang ternakan menerusi pembelian dan sistem khidmat bantuan ternakan dan pasaran," katanya.
Selain pasaran, katanya, khidmat lain yang diberikan termasuk penyelenggaraan berkaitan pencegahan penyakit, pemberian vitamin, ujian darah, ubat-ubatan serta permit membawa masuk dan keluar yang mendapat kerjasama JPH daerah.
Mohd. Lokman yang merupakan pencetus idea projek tersebut berkata, urusan pusat tersebut dikendalikan seorang Pegawai Pusat Pemasaran
Fama dengan dibantu dua petugas menjaga kandang dan pengurusan tertentu sepenuh masa.
"Purata kita memasarkan lembu berjumlah antara 150 hingga 200 ekor lembu seminggu dan dijangka meningkatkan menjelang musim perayaan," katanya.
Menurut beliau, pusat itu banyak menerima tempahan lembu daripada pengusaha dan usahawan di Pekan, Maran, Kuantan dan negeri-negeri lain.
''Kita mempunyai logistik sendiri iaitu menggunakan beberapa lori untuk menghantar lembu berkenaan ke pusat ternakan dan ladang milik persendirian di seluruh Semenanjung," katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha ternakan di Seri Jaya, Kuantan, Koh Wai Kiat, 33, berkata, syarikatnya telah berurusan dengan pusat itu sejak hampir dua tahun lalu dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan khususnya dari segi harga dan jumlah lembu yang dikehendaki.
''Sebagai penternak yang baru menceburkan diri dalam bidang ini, Fama banyak mengajar saya mengenai teknik pengurusan ternakan lembu, aspek infrastruktur dan kewangan sehingga membolehkan perniagaan saya berjaya," katanya.
Dia menambah, syarikatnya membeli antara 30 hingga 50 ekor lembu betina jenis Berahman dari pusat itu untuk diternak bersama baka lembu jantan di ladang ternakan di Seri Jaya.


Tiada ulasan: