Projek ini berlaku pada tahun 1924 di Jerantut. Ini ialah projek pembinaan rancangan pengairan Paya Kangsa di mukim Pulau Tawar. Cerita ini dipetik dari memoir Dato' Sir Mahmud bin Mat- "Tinggal Kenangan", MB Pahang yang pertama.
Pada tahun 1924, Dato' Sir Mahmud bin Mat bertugas sebagai ADO Kuala Lipis. Untuk menikmati suasana Jerantut terutamanya keadaan mukim Pulau Tawar zaman dulu maka inilah extract dari memoir tersebut....
Tugas penting saya sebagai Penolong Pegawai Daerah adalah untuk membuat lawatan ke mukim-mukim menemui penduduk atas urusan rasmi seperti memungut hasil tanah, mengeluarkan surat hak milik, menguruskan pemindahan hak milik tanah dan menguruskan agihan kebun kecil orang yang sudah meninggal kepada pewaris.
Sebuah perahu ketiap yang besar disediakan untuk Pegawai Daerah untuk perjalanannya di Sungai Jelai dan Sungai Pahang. Perahu itu dikendalikan oleh empat orang awak yang tetap termasuklah jurumudi. Awak yang empat orang ini sudah cukup untuk mengendalikan perahu semasa perahu belayar ke hilir sungai. Untuk menongkahnya ke hulu beberapa orang awak tambahan diperlukan. Lima orang lagi perlu diambil. Pada masa itu kami tidak mempunyai kemudahan motorbot untuk menarik perahu ke hulu hilir sungai.
Sememangnya pengalaman tinggal dan mengembara menaiki perahu ketiap di Sungai Pahang sangat menyeronokkan. Perahu ketiap itu sendiri sangat selesa keadaannya. Ia lengkap dengan tempat tidur, lembek, bantal dan kemudahan lain untuk keselesaan kami.
Sungguh nyaman rasanya kami duduk di atas kabin pada waktu petang dihembusi angin yang sepoi-sepoi bahasa. Kami selalu dapat memilih tempat-tempat untuk berlabuh dan bermalam. Dengan itu dapatlah kami menikmati beberapa sukan seperti menembak burung atau memancing di sungai.
Mukim Pulau Tawar sangat sesuai untuk menembak burung. Di mukim ini terdapat kawasan tanah rata yang sangat luas iaitu Padang Kangsa yang terkenal itu. Pada masa dahulu kawasan tersebut dibajak untuk penanaman padi huma setiap tahun. Kini sudah bertahun-tahun lamanya tanah itu tinggal terbiar sahaja kerana lalang yang menebal di situ. Oleh itu tanah tersebut digunakan untuk kerbau dan lembu meragut rumput. Pada musim hujan burung tetiruk dan burung kedidi akan dikerumun di tempat itu.
Satu rancangan pengairan dibuat oleh kerajaan untuk menjadikan kawasan ini sesuai untuk penanaman padi. Pembinaannya hampir siap tapi malangnya projek yang menelan belanja hampir $130,000 tidak pernah dimanfaatkan.
Saya mendapat tahu bahawa Jabatan Kerja Raya telah menyiapkan pembinaan rancangan pengairan untuk kawasan Padang Kangsa di mukim Pulau Tawar dan mereka sedang membuat percubaan untuk menguji pengaliran air di terusan utama yang dibina selari dengan tebing Sungai Pahang.
Dua hari kemudian saya menghiliri sungai ke mukim Burau untuk melaksanakan urusan tanah. Saya menaiki kereta api ke Jerantut dan dari situ menghiliri Sungai Pahang dengan motorbot. Di Pulau Tawar kami lalu hampir dengan tebing sungai. Di situ saya terdengar bunyi air mencurah dari beberapa saluran di tebing sungai ke dalam Sungai Pahang.
Saya memerhatikan tebing sungai di beberapa tempat roboh. Beberapa pokok dan rumpun buluh yang tumbuh di tebing tersebut turut rebah. Terusan digali terlalu dekat dengan tebing sungai dan tanahnya poros di kebanyakan tempat. Air yang mengalir dalam terusan meresap kedalam lubang-lubang bawah tanah lalu mengalir ke Sungai Pahang. Setibanya air yang mengalir tadi ke hujung terusan, airnya tinggal sedikit untuk dialirkan ke sawah padi. Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila lubang-lubang bawah tanah semakin membesar dengan air yang tidak henti-henti air mengalir. Terpaksalah rancangan itu ditangguhkan buat sementara waktu.
Setelah saya kembali semula ke Kuala Lipis saya bertanya kepada jurutera Jabatan Kerja Raya akan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah serius rancangan perairan di Pulau Tawar. Katanya bahagian bawah dan tepi terusan boleh ditampal dengan konkrit tetapi itu akan menelan belanja yang banyak dan pihak kerajaan tidak bersedia untuk membelanjakan wang yang sebegitu banyak. Maka perkara itu terbiar begitu sahaja.
Selepas banjir besar tahun 1926 skim pengairan Pulau Tawar yang baharu siap musnah sama sekali. Tanah luas yang sepatutnya diairi bertukar menjadi padang lumpur. Tumbuhan-tumbuhan hijau sudah tiada lagi. Lembu dan kerbau yang lari ke bukit untuk menyelamatkan diri daripada banjir enggan turun ke padang dan banyak yang mati kehausan dan kebuluran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan