Saudara Pengarang,
SAYA salah seorang daripada ribuan keturunan asal Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.
Mereka yang arif mengenai sejarah perjuangan menentang penjajahan Inggeris di Pahang pasti akan mengaitkan Pulau Tawar dengan Mat Kilau dan Tok Gajah.
Sepatutnya keunikan dan nilai sejarah Pulau Tawar terus dijaga dan dikekalkan.
Namun kali terakhir Pulau Tawar mendapat perhatian ialah sekitar 70-an, ketika kemunculan semula pahlawan Mat Kilau.
Berita seorang kanak-kanak yang berjaya menghasilkan duit syiling emas dengan hanya memegang abu di dapur rumahnya juga turut menaikkan nama Pulau Tawar suatu ketika dulu.
Namun kini Pulau Tawar semakin sepi dan terus terpinggir dari arus pembangunan. Tidak seperti Kg. Duyong di Melaka yang dijaga dan dipelihara dengan rapi untuk menarik kunjungan pelancong ke tempat kelahiran Hang Tuah.
Begitu juga dengan pembangunan Pasir Salak yang dikaitkan dengan Datuk Maharajalela ketika menentang Residen Inggeris di Perak iaitu Sir J.W.W Birch. Kemudian lihat pula Kg. Padang Mat Sirat di Pulau Langkawi, walaupun cerita Mahsuri hanya dikatakan legenda semata-mata.
Kenapalah begitu malang nasib Pulau Tawar? Dibandingkan dengan Hang Tuah, Mahsuri dan Datuk Maharajalela, saya melihat sejarah Mat Kilau adalah yang terkini.
Sebagai anak jati Pulau Tawar saya agak terkilan dengan sikap pihak-pihak yang berkenaan yang langsung tidak mahu mengembalikan semula sejarah Pulau Tawar ini. Banyak tempat yang boleh dibangunkan untuk dilawati oleh para pelancong. Sebuah kota yang digembar-gemburkan wujud di Johor iaitu Kota Gelanggi sebenarnya terletak berhampiran dengan Pulau Tawar.
Mat Kilau dan beberapa orang pahlawan Melayu ketika itu sering berulang-alik untuk mendalami ilmu kepahlawanan mereka di gua Kota Gelanggi itu.
Saya lihat banyak tapak bersejarah yang boleh dibangunkan semula seperti makam Mat Kilau, rumah kelahiran Mat Kilau, masjid Kg. Pulau Tawar yang dibina sendiri oleh Mat Kilau (tempat pengisytiharan Mat Kilau tahun 1970), rumah dan pejabat pentadbiran Inggeris, sebuah sekolah Inggeris yang pertama didirikan (Clifford), tapak pertemuan dan mesyuarat pahlawan Pahang dengan Sultan Ahmad, istana lama Pahang ketika Sultan bersemayam di situ dan banyak lagi lokasi menarik yang boleh dibangunkan sebenarnya.
Semua tapak bersejarah ini juga hampir musnah ditelan zaman. Makam Mat Kilau misalnya terus usang dan terbiar. Apa yang ada hanyalah sebuah tempat berbumbung yang dihadiahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang suatu ketika dulu.
Selain daripada itu, nama Pulau Tawar mungkin akan terus hilang dari peta sejarah negara. Andainya orang ramai melalui jalan besar antara Bandar Jengka ke Jerantut, tiada lagi papan tanda yang menunjukkan Pulau Tawar sebagai destinasi sejarah. Apa yang ada sekadar menunjukkan arah jalan masuk ke Pulau Tawar.
Dalam usaha kerajaan negeri memajukan industri pelancongan, perkara seperti ini tidak harus berlaku kerana kesan peninggalan sejarah boleh dijadikan tarikan pelancong ke negeri ini. Apa yang lebih menarik, beberapa orang pembesar utama negara seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak juga dikatakan bersusur-galur keturunan pahlawan Mat Kilau.
Justeru saya menyeru supaya kerajaan negeri Pahang menjalankan usaha untuk membangunkan semula Pulau Tawar agar namanya terus segar, sesegar nama Mat Kilau dan Tok Gajah yang sering disebut-sebut hingga ke hari ini.
Sebuah jawatankuasa pembangunan semula Pulau Tawar perlu ditubuhkan sama seperti Jawatankuasa Penyiasat ketika kemunculan Mat Kilau awal 70-an dulu. Jika ini dilakukan, banyak bahan sejarah yang masih disimpan oleh anak cucu dan keturunan Mat Kilau dapat disimpan dalam sebuah galeri.
Jika dilihat kepada bahan pameran mengenai Mat Kilau di Muzium Tokoh Pahang dan Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan, saya dapati apa yang dipaparkan hanyalah gambar dan sedikit cerita ringkas tentang Mat Kilau. Sebaliknya kajian mengenai khazanah Mat Kilau yang lain seperti pedang, keris, pakaian, kitab, al-Quran, barang persilatan, rumah dan sebagainya tidak dikumpulkan untuk dipamerkan.
Mungkin keturunan Mat Kilau yang masih ada hari ini, tidak mahu menyerahkannya kerana mereka juga mahu supaya sebuah galeri Mat Kilau diwujudkan di Pulau Tawar.
Saya sendiri masih menyimpan sebuah buku Salasilah Keturunan Pulau Tawar, tulisan tangan yang berusia kira-kira 57 tahun yang mencatatkan nama orang pertama yang membuka kawasan ini iaitu Malim Yunus dan keturunan Mat Kilau.
Saya juga berharap ramai keturunan cucu cicit asal Mat Kilau akan tampil untuk membantu pihak-pihak berkenaan bagi mengumpul bahan maklumat dan khazanah Mat Kilau yang masih tersimpan. - MOHD SHUKRI JAMALUDDIN, Pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan