Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Selasa, 28 September 2010

Satu Sumber Dua Cerita - Manipulasi Media Pengaruhi Pemikiran Rakyat





Satu sumber cerita tapi dengan gaya bahasa yang tersendiripelbagai media boleh menterjemahkan cerita tersebut mengikut selera masing-masing . Jika pembaca mengikut cerita dari satu media sahaja maka itu sahajalah maklumat yang pembaca itu dapat . Tapi jika pembaca membaca juga dari media lain maka pembaca akan mendapat cerita yang tidak dilaporkan oleh media lain . Begitulah bagaimana media boleh memanipulasikan sesuatu berita untuk dipaparkan kepada orang ramai dan cerita itu boleh mempengaruhi pemikiran orang . Terpulang kepada pembaca untuk mencari sumber alternatif untuk mendapatkan maklumat penuh .

Di Bawah ini saya petik dua berita dari akhbar berlainan tapi dua-dua akhbar menulis berita berasaskan sumber berita yang sama  .

1. Berita ini dipetik dari Utusan Malaysia
Branson: Pegangan dalam GLC wajar dikurangkan


KUALA LUMPUR 27 Sept. - Kerajaan perlu mengurangkan pegangan majoritinya dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk menjadikannya lebih berdaya saing dan kompetitif.
Hartawan dan tokoh perniagaan terkemuka dunia, Sir Richard Branson (gambar) berkata, pengurangan pegangan akan membolehkan syarikat berkenaan berdiri sendiri dan bersaing sesama mereka agar menjadi sebuah perbadanan yang teguh dan mampan.
Katanya, secara automatiknya apabila kerajaan mengurangkan pegangan ia akan mengurangkan tanggungan selain perlu dilakukan secara kompetitif agar apabila syarikat itu diswastakan, ia dapat diurus dengan baik dan menjamin kos tidak melambung naik.
"Untuk bersaing sesebuah syarikat perlu berani meneroka pasaran luar terutamanya antarabangsa agar ia dapat memberi peluang penerokaan kesinambungan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan ketua-ketua organisasi perniagaan tempatan dan antarabangsa dalam ucaptama khas sempena persidangan dua hari 'Dawn of the New Decade: Alternative Investments in Asia di sini hari ini.

Sesi khas itu dipengerusikan oleh bekas wartawan CNN, Lorraine Hahn. Branson yang memiliki kekayaan bernilai AS$4 bilion (RM12 bilion) kini memiliki pelbagai cabang perniagaan dengan anggaran 200 buah syarikat di 30 buah negara.Menurut pengasas Kumpulan Virgin itu, mengurangkan pegangan ke atas GLC perlu dilakukan secara berhati-hati dan telus agar dan dilakukan bukan semata-mata untuk menarik minat pelabur asing.

Dalam pada itu, beliau menyatakan minatnya untuk meneroka pasaran Malaysia dan mencari peluang-peluang pelaburan baru yang boleh diteroka secara bersama.Katanya, ada beberapa peluang perniagaan yang boleh diteroka terutamanya dalam aeroangkasa dan penerbangan.Namun ia memerlukan satu perbincangan terperinci dengan pihak berkuasa selain meneliti beberapa insentif pelaburan yang menarik di negara ini.
"Saya berhasrat untuk membawa beberapa rakan-rakan perniagaan yang boleh melabur di di Malaysia dan ini akan dilakukan dalam masa terdekat nanti," katanya.

Sementara itu, terdapat desas-desus mengatakan usahawan terkemuka itu berminat sama-sama membida kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura



2. Sekarang mari kita baca pula berita ini yang dipetik dari Malaysiakini
Branson: Perbicaraan liwat Anwar jejas pelaburan
Usahawan jutawan Britain Sir Richard Branson berkata perbicaran liwat membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berlangsung memberi kesan ke atas Malaysia dan mematahkan semangat pelabur untuk menanam modal di negara ini.

"Malaysia mempunyai reputasi yang baik di luar negara. Tetapi apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim membawa kesan buruk ke atas Malaysia,” katanya pada majlis khas forum Invest Asia 2010, anjuran International Herald Tribune di Kuala Lumpur, hari ini.

"Saya fikir ia bukan isu utama tetapi yang pasti ia bagaikan duri dalam daging. Saya berpendapat ini telah berlarutan agak lama. Ini tidak baik di luar negara,” katanya .

Bercakap kepada kira-kira 800 pemimpin perniagaan di Kuala Lumpur, Branson berkata, imej negara masih lagi penting kerana ia membolehkan kerajaan untuk menarik para pelabur dan pada masa yang sama, melaksanakan dasar yang lebih baik untuk melengkapinya.

Bekas timbalan perdana menteri itu yang dipecat dan dipenjarakan atas dua tuduhan berasingan membabitkan tuduhan liwat dan rasuah lebih sedekad lalu berkata tuduhan terbaru juga membabitkan liwat dengan pembantunya bertujuan 'membunuh' kerjaya politiknya.

Human Rights Watch menggesa Malaysia menggugurkan tuduhan berkenaan manakala kerajaan Amerika Syarikat pula memberi amaran bahawa ia sedang memerhatikan saga itu dengan dekat.

"Jika Malaysia lebih liberal, lebih ramai orang akan melabur. Jika anda pemimpin yang berani, anda sepatutnya menghapuskan perkara seumpama itu yang merosakkan reputasi negara,” kata Branson.

Usahawan Britain itu diminta mengulas sama ada dasar ekonomi dan pelaburan Malaysia pada masa ini akan terus mampan untuk pertumbuhan masa depan jika iklim politik boleh menjejaskan pelaburan.

Beliau juga berkata, iklim politik semasa tidak menjejaskan Malaysia dengan ketara tetapi kerajaan perlu mengambil langkah-langkah berani untuk menangani isu itu.

"Pada umumnya, saya rasa banyak yang boleh kami di barat ini belajar dari Malaysia dan kami sememangnya mahu belajar dari anda," kata Branson yang dilaporkan mempunyai nilai kekayaan bernilai AS$4 bilion.

Pengasas Virgin Group itu mengembangkan perniagaannya kepada dunia muzik, pengembaraan udara, mudah alih, perhotelan, aeroangkasa dan lain-lain dengan sekitar 200 syarikat di lebih 30 negara.

Usahawan berjaya itu meraikan ulangtahunnya yang ke-60 baru-baru ini, turut memaklumkan pentingnya melakukan kerja-kerja kemanusiaan di kalangan usahawan memandangkan mereka mempunyai sumber kewangan dan kemahiran keusahawanan yang cukup untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Dengan kekayaan yang berlebihan, ia seiring dengan tanggungjawab. Saya rasa pemimpin perniagaan mempunyai keupayaan dan pengalaman yang ahli politik tiada,” katanya.

Sesi khas itu diperantarakan oleh bekas wartawan CNN, Lorraine Hahn.

Forum dua hari yang bertemakan "Dawn of the New Decade" bermula hari ini.

Ia akan menyaksikan perbincangan dari 19 pakar terkemuka antarabangsa, berkongsi pendapat mengenai pilihan pelaburan di Asia dan cara untuk mengukuhkan portfolio pelaburan.


dan banyak lagi berita dari sumber ini tapi dibentangkan dalam persembahan yang berlainan. Jadi pembaca sebenarnya yang perlu menilai berita yang mereka baca.

Branson Calls for Open Competition in Malaysia | The Jakarta Globe

Branson: Malaysia has good reputation

Virgin's Branson warns Malaysia on opposition leader's sodomy ...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam.Kerana itulah pembaca tidak boleh hanya mendapat info dari satu sumber sahaja.Perlu mendapat dari pelbagai sumber dan buat penilaian dengan terperinci.