Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Isnin, 13 September 2010

Tengku Faris dimasyhur sultan Kelantan

Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa hari ini.

Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu pada jam 12.30 tengah hari ini.

“Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29 A undang-undang tubuh kerajaan negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda berkuat kuasa hari ini,” katanya.

Nik Abdul Aziz juga berkata majlis pertabalan akan didakan 'tidak lama lagi'.

Adalah dipercayai Majlis Perajaan bersidang pagi tadi bagi memutuskan pemasyhuran berkenaan.

Keluarga diraja dan ahli dewan undangan negeri dikatakan telah berkumpul di Istana Balai Besar in Kota Bharu sejam jam 11.30 pagi bagi upacara itu tetapi maklumat yang diperolehi adalah samar.

Sultan Ismail Petra telah gering lebih setahun dan dipercayai Tengku Faris menggunakan Artikel 23A, undang-undang perlembagaan tubuh kerajaan Kelantan (bahagian kedua) untuk menduduki takhta negeri.

Undang-undang itu menyatakan seorang pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja, jika mereka berpendapat bahawa Raja yang ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh hukum Syarak untuk menjadi Raja.


Ketika dihubungi, Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad enggan mengulas tetapi berkata butirannya akan didedahkan pada sidang akhbar di istana Kubang Kerian pada jam 2 petang ini.

Beberapa ADUN berkata mereka diarahkan hadir memakai baju Melayu hitam tetapi tidak dimaklumkan sebab untuk berbuat demikian.

“Kami hadir kerana dijemput tetapi tiada butiran yang diberikan,” kata timbalan speaker dewang undangan negeri Kelantan, Mohamad Zaki Ibrahim, ketika dihubungi.

Sementara itu Bernama melaporkan tiada Persidangan Dewan Undangan Khas Negeri Kelantan diadakan hari ini yang dipercayai berkaitan dengan pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan.

sumber : http://www.malaysiakini.com/news/142504

Tiada ulasan: