Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Ahad, 13 November 2011

menTranformasi Sekolah Agama Negeri Pahang




















Membaca laporan akhbar menyatakan bahawa Sekolah Agama Kelantan akan mengorak langkah menawarkan Bahasa Mandarin kepada pelajar-pelajarnya amat mencuit hati saya. Telah banyak perubahan-perubahan yang dilakukan samada di Kelantan mahupun di Terengganu berkaitan dengan pemantapan sekolah-sekolah agama. Siapa tidak kenal nama-nama gah sekolah-sekolah agama di kedua-dua negeri tersebut seperti Maahad Muhammadi, Maahad Tahfiz Sains Pulai Chondong dan lain-lain di Kelantan manakala di Terengganu, Maahad Tahfiz Padang Midin, Sek Menengah Agama Sultan Zainal Abidin dan Sekolah Imtiaz. Natijah dari pembaharuan dan kemajuan yang dilakukan, lepasan sekolah-sekolah berkenaan ramai yang berkualiti menjadi para alim ulama , jurutera , doktor dan economist , pensyarah , saintis dan terkenal di seluruh tanahair.

Sebenarnya saya utarakan situasi ini kerana saya cuba membandingkan dengan perkembangan sekolah-sekolah agama di negeri kelahiran saya Pahang. Hingga hari ini nampaknya perkembangan sekolah agama khususnya di bawah kerajaan negeri masih malap. Agak-agaknya sekolah agama Pahang manakah yang terkenal di seluruh Malaysia. STUSAB? Ihsan? Al-Khairiah? Pulau Tawar?....Maahad Tahfiz Tanjung Lumpur? Entahlah, saya sendiri merasakan sekolah-sekolah berkenaan tidak se gah namanya setanding Maahad Muhammadi di kelantan atau SMASZA di Terengganu.

Bukanlah saya menafikan secara total kualiti sekolah-sekolah agama negeri Pahang dan pelajar-pelajarnya, kerana ramai juga yang telah menjadi ulama terkenal dan pensyarah di universiti adalah lepasan Sekolah Agama Pahang tersebut, namun pada saya jumlahnya amat sedikit dan boleh di bilang dengan jari!

Baru-baru ini saya pergi ke sebuah sekolah agama Pahang yang antara terbaik dan letaknya di tengah bandar. Kerana hasrat hati mahu menghantar anak saya ke sana. Saya berjumpa dengan sahabat lama yang kebetulan mengajar di sekolah tersebut. Ingatkan dia memberikan sokongan supaya saya memasukkan anak saya ke situ tetapi sebaliknya dia menasihati agar saya menghantar anak saya ke Sek Menengah Agama Al-Irsyad iaitu sebuah sekolah agama swasta. Katanya keadaan di sekolah agama Pahang berkenaan tidak banyak membantu pelajar melainkan pelajar tersebut benar-benar excellent. Ini kerana guru-guru selalu tidak cukup dan ada guru-guru yang rajin tidak masuk kelas(isu ini adalah sedia dimaklumi oleh ibubapad semenjak dahulu lagi). Saya juga hairan apabila dimaklumkan bahawa sebelum ini pelajar dimestikan menghafal beberapa surah tetapi kemudiannya dimansuhkan kerana tidak menjadi keperluan!?? Begitu juga dengan keadaan persekitaran sekolah yang sendat dan padat kerana kawasan terlalu sempit. Dalam hati saya berkata, bukankah Pahang ini sangat luas tanahnya, tiadakah tanah yang sesuai untuk diberikan kepada sekolah agama berkenaan untuk lebih membangun dan maju?

Itulah satu contoh salah sebuah sekolah agama Pahang yang boleh dijadikan kayu ukur kepada sekolah-sekolah agama negeri Pahang yang lain. Saya pernah membisikkan kepada seorang sahabat yang sekarang menjadi exco kerajaan Pahang supaya mengambil inisiatif memperjuangkan sekolah-sekolah agama di Pahang. Kalau tidak mahu mencontohi Kelantanpun (kerana dipimpin oleh Ulama) maka contohilah Terengganu yang begitu maju sekolah-sekolah agamanya. Mungkin jika ada masa bawalah pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap pendidikan sekolah agama Pahang melawat sekolah agama Imtiaz sebagai contoh dan cuba terapkan mana yang sesuai ke dalam kurikulum sekolah-sekolah agama Pahang. Silibus, kualiti guru, infrastruktur dan pentadbiran sekolah wajar diberikan nafas baru agar sekolah agama menjadi contoh pendidikan alternatif kepada umat Islam khususnya dan bukannya memaparkan imej mundur.

Saya utarakan masalah ini bukan semata-mata kerana mahu mengata dan membuka pekung di dada tetapi ada ketikanya pekung itu mesti dibuka agar penawarnya dapat dicari bersama-sama, jika tidak ia akan membusuk sendirian...

Mungkin pihak yang berkenaan boleh mengadakan satu seminar membincangkan apakah langkah-langkah praktikal bagi membangunkan sekolah-sekolah agama negeri Pahang dengan melibatkan alumni dan ahli akademi serta pembuat dasar. Perbincangan mestilah bersifat terbuka, telus dan praktikal. Bukannya berbentuk majlis membuang masa dan wang ringgit seperti seminar-seminar yang selalu diadakan sebelum ini, sedangkan hasilnya tiada.
Berikut adalah beberapa website sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan dan Yayasan Terengganu.
(Website sekolah-sekolah agama negeri Pahang saya cuba cari tetapi tidak berjumpa)

klik sini utk artikel asal

Tiada ulasan: