Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Khamis, 26 April 2012

Pertama Kali Tengku Lan Berbahas di Parlimen Berkaitan Hal-Ehwal Jerantut



Parlimen 81 telah membuat kajian dan banyak membuat pos-pos didalam blog ini (klik sini , sini , sini , sini dan sini)  ini mengenai persoalan-persoalan berkaitan dengan Jerantut didalam Parlimen Malaysia sepanjang 3 (TIGA) penggal dari 1999 hingga 2012 Tengku Lan memegang jawatan Ahli Parlimen Jerantut . Inilah pertama kali Tengku Lan berbahas didalam parlimen malaysia .

Ikuti perbahasan ringkas beliau pada 9 April 2012 dibawah ini .

3. Tan Sri Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar [Jerantut] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan adakah kerajaan berpuas hati dengan pembangunan keseluruhan di kawasan luar bandar Pahang Barat. Kawasan Pahang Barat masih ketinggalandalam segi infrastruktur jalan terutamanya di sebelah kawasan Ulu Tembeling.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah II [Datuk Joseph Entuluanak Belaun]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Jerantut. Tuan Yang di-Pertua kerajaan sentiasa memberikan perhatian untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan luar bandar dan terpencil termasuk kawasan Pahang Barat supaya mereka turut sama menikmati taraf hidup yang lebih baik. Bagi tempoh tahun 2010 hingga 2012 umpamanya, di bawah Projek Jalan Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling Jerantut Pahang, kerajaan sedang menyiapkan jalan dari Kuala Tahan ke Kampung Pagi sepanjang 26 kilometer dengan anggaran kos sebanyak RM25 juta. Untuk fasa seterusnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang merancang untuk menyambung jalan tersebut dari Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling sepanjang 61.3 kilometer dengan anggaran kos sebanyak RM266.3 juta. Projek sambungan ini akan melibatkan pembinaan jalan utama dari Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling sepanjang 44 kilometer dengan jajaran keluar ke Kampung Kuala Sat sepanjang 6.3 kilometer dan ke Kampung Bantal sepanjang 11 kilometer. Di samping itu projek ini juga akan melibatkan pembinaan enam unit jambatan. Apabila keseluruhan projek ini siap nanti ia dijangka akan dapat memberikan manfaat kepada 3,774 orang penduduk di kawasan sekitar. Di samping itu, pihak FELCRA iaitu salah sebuah agensi di bawah kementerian saya, juga ada membina jalan masuk dan kerja-kerja menaik taraf jalan masuk projek perkampungan di Tembeling Tengah, Pahang. Keseluruhan projek tersebut telah menggunakan peruntukan sebanyak RM97,438. Adalah dipercayai bahawa pembinaan jalan-jalan ini akan menambah rangkaian jalan luar bandar di kawasan berhampiran dan dapat digunakan oleh penduduk-penduduk kampung setempat dan secara tidak langsung ianya membantu menggalakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan berhampiran. Sekian, terima kasih.

Tan Sri Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar [Jerantut]:Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang telah menjawab soalan saya tadi dengan begitu baik. Hanya saya hendak memberi sedikit pandangan di sini dan amat mengharapkan Jalan Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling ini dapat disiapkan dengan secepat mungkin. Ini kerana saya adalah Ahli Parlimen yang ketiga waktu jalan ini dijanjikan kepada masyarakat di sebelah Ulu Tembeling. Begitu juga melihatkan masyarakat di Ulu Tembeling ini, mereka adalah terdiri daripada orang-orang yang tua, kerana orang-orang muda sudah banyak keluar daripada kawasan di sebelah Ulu Tembeling. Itulah harapan saya dan selain daripada itu dengan harga petrol yang begitu tinggi pada hari ini ataupun diesel hendak menggunakan bot itu untuk naik turun antara sebelah Ulu Tembeling ke Jerantut ini memakan belanja yang begitu besar. Kalau tidak silap saya satu bot akan memerlukan tidak kurang daripada RM700 hingga RM800 satu trip. Itulah harapan saya kepada kerajaan untuk memandang serius tentang jalan dari Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling, terima kasih.

Datuk Joseph Entulu anak Belaun: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat daripada Jerantut. Komitmen kementerian ini ialah supaya jalan fasa pertama ini siap mengikut perancangan kita sekarang iaitu siap pada tahun 2014. Sebenarnya Tuan Yang di-Pertua, kementerian saya telah membuat permohonan supaya fasa kedua iaitu merancang dan seterusnya melaksanakan jalan-jalan dari Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling tadi, kita telah kemukakan permohonan ini di dalam rolling plan RMKe-10, rolling plan kedua.Akan tetapi pandangan pihak yang tertentu ialah supaya fasa pertama ini yang dijangkasiap pada tahun 2014, disiapkan dahulu dan kementerian berjanji akan mengemukakan jalan ini untuk dilaksanakan dan permohonan ini akan kita buat sebelum tamat jalan fasa pertama inisiap nanti. Sekian, terima kasih.

Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya berhasrat untuk menyatakan pandangan saya berkenaan dengan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Mulia Jerantut tadi kerana pada Februari 2012, Discovery Channel pernah memaparkan perkara yang disebutkan oleh Yang Berhormat Mulia berkenaan dengan kedudukan ekopelancongan world class value katanya di Ulu Tembeling dengan izin, di Taman Negara, Ulu Tembeling. Keseluruhan dipaparkan selama 45 minit. Akan tetapi ditumpukan kepada infrastruktur asas seperti yang dimaksudkan oleh persoalan permulaan tadi, asas tadi. Jadi saya hendak tanya, apakah dasar yang ada oleh Kementerian Luar Bandar, kalau JKR saya boleh faham, tetapi Kementerian Luar Bandar apakah dasar tumpuan dia, masa kita hendak membelanjakan ataupun meluluskan peruntukan untuk jalan-jalan luar bandar sebagaimana ada dalam P.22 yang berbaki melebihi RM2 bilion untuk tahun 2012 ini? Kalau disemak daripada peruntukan asal keseluruhan dalam rolling plan, ada RM4 bilion lebih. Persoalan yang sama juga timbul semasa permintaan untuk jalan-jalan kecil di Ranau. Lebih kurang sama. Kementerian tolak kata ini kerja JKR, ini kata kerja kementerian yang lain tetapi yang sebenarnya tiga wakil rakyat yang mewakili kawasan tersebut, perkara itu masih lagi dalam peringkat perancangan, akan ditimbang. Saya harap perkara ini tidak timbul lagilah. Kata 2014 baru hendak disiapkan, saya rasa kalau tidak hendak buat tidak apa, Pakatan Rakyat akan buatlah terima kasih.[Tepuk]

Datuk Joseph Entulu anak Belaun: Tuan Yang di-Pertua, saya persilakan Pakatan Rakyat bermimpi-mimpi tengah harilah. Sebenarnya Tuan Yang di-Pertua, kementerian ini tidakpernah tidak dapat menggunakan secara habis peruntukan yang diagihkan kepada kita.Akan tetapi harus diingat bukan semua projek peruntukan yang diagihkan kepada kementerian ini pelaksanaannya dibuat oleh kita. Bukan. Kadang-kadang peruntukan projek itu di bawah kita tetapi kadang-kadang DID, kadang-kadang JKR yang melak melaksanakan itu bukan kementerian ini. Jadi kalau pelaksanaan projek itu ada tergendala sekali skala, ada kekangan yang tertentu yang menyebabkan ia tergendala, jadi mestilah kita faham kenapa bukan semata-mata kerana kementerian ini kurang cekap ataupun yang tidak menjalankan tugasnya dengan lancar ataupun dengan licin. Berkenaan dengan RM2 bilion yang dibangkitkan, setahu saya pada dasarnya kementerian ini sekiranya ada balance ataupun baki dari mana-mana projek yang telah misalnya diperuntukkan silingnya RM100 juta tetapi cuma digunakan RM98 juta, baki itu akan dikumpulkan. Kita memang sudah ada senarai untuk projek-projek dan mengikut keutamaan di mana baki ini boleh disalurkan dan tidak pernah sebenarnya peruntukan ini mencukupi. Itulah sebabnya Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua, memang masih banyak lagi tempat yang belum dapat kita laksanakan pembinaan jalan ataupun infrastruktur asas yang lain. Sekian, terima kasih.

[Setelah meneliti perbahasan singkat ini ,pada pandangan p81 , Tengku Lan sebenarnya memang tidak mampu menyuarakan pandangan rakyat Jerantut kepada pihak kerajaan Malaysia. Sepatutnya Tengku Lan perlu menggunakan kesempatan tersebut untuk menyuarakan sepenuhkan isu-isu di Jerantut ini . Kenapa  hanya ada satu soalan daripada Tengku Lan sepanjang tempoh persidangan kali ini yang mungkin persidangan terakhir beliau di parlimen . Atau memang Jerantut tiada masalah sebenarnya pada pandangan beliau ? Sedangkan rakyat melihat begitu banyak projek terbengkalai yang perlu disuarakan dan  dihansardkan di parlimen untuk membuka mata-mata orang-orang di kementerian-kementerian dan pejabat perdana menteri . ]



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tunggu dan lihat la rakyat ulu tembeling selepas PRU 13 nanti......