Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Rabu, 23 April 2008

parlimen81

Selamat datang ke blog parlimen81 .

parlimen81 adalah wadah menyampaikan berita-berita dan masyarakat setempat di kawasan parlimen p81 Jerantut . sesiapa juga yang mempunyai masalah dan keluahan atau buah fikiran untuk parlimen 81 ini maka anada digalakan untuk meluahkan kepada blog ini . anggaplah anda sebagai rakyat dan juga sebagai ahli parlimen .

yang benar

speaker

Khamis, 17 April 2008

"Kami tidak ada agenda tersembunyi sertai Kelab Penyokong PAS"

JERANTUT, 17 April (Hrkh) - Pengerusi Penaja Kelab Penyokong PAS (India) Pahang, Balasubramaniam Nachiappan 50, berkata beliau tidak mempunyai sebarng agenda politik untuk bersama PAS. -->-->
Menjawab satu soalan yang ditimbulkans seorang hadirin dalam majlis dialog selepas majlis pelancaran Kelab penyokong PAS Pahang (India), Balasubramaniam berkata, pihaknya tidak mempunyai apa-apa kepentingan tersembunyi dengan menyertai Kelab Penyokong PAS.
"Jika kami mempunyai kepentingan politik kami boleh menyertai DAP atau pun KeAdilan dengan keahlian penuh berbanding hanya bertaraf kelab bersama PAS," katanya.
Dalam ucapanya Balasubramaniam melahirkan perasaan gembira kerana PAS memberi peluang kepada kaum India untuk turut bersama PAS memperjuangkan keadilan demi masa depan rakyat khususnya kaum India.
Katanya, masyarakat India yang selama ini bersama MIC/BN sejak 50 tahun lalu mula meninggalkan MIC kerana mereka mula menyedari kegagalan MIC/BN membela kepentingan kaumnya.
"Apakah kami sudah maju dengan sokongan selama 50 tahun kepada MIC selama ini? parti itu hanya memperjuangkan kelompok elit masyarakat India sahaja.
"BN sering menakut-nakutkan kami untuk mendekati PAS kononnya jika PAS berkuasa kami akan dipaksa memeluk Islam, kami juga ditakut-takutkan kononnya akan dihalau oleh PAS ke India jika enggan memeluk Islam. kini kami sudah tahu ia hanyalah pembohongan belaka," katanya.
Bala berjanji akan terus bersama PAS. Majlis pelancaran Kelab penyokong PAS Pahang itu turut dihadiri pemimpin daripada Kelab sama dari Selangor, Perak, Kedah di samping pemimpin daripada beberapa daerah di Pahang. Kelab penyokong PAS Pahang kini mempunyai 150 orang ahli terdiri daripada kaum lelaki, wanita dan belia. - mns

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13981&Itemid=99

Jumaat, 11 April 2008

Bantulah saudara baru ini

JERANTUT 9 April - Seorang saudara baru merayu kerajaan dan pertubuhan Islam di negeri ini membina sebuah rumah untuknya bagi meneruskan kehidupan sebagai seorang Islam yang sempurna.
Ibu tunggal kepada dua anak itu, Serena Abdullah, 42, kini tinggal bersama ibu bapanya yang masih menganut agama lain di Perumahan Kilat Sungai Jan di sini.
''Saya malu kerana tidak tahu sembahyang dan amalan fardu lain walaupun telah lama memeluk Islam. Saya malu dengan jiran Islam di tempat tinggal saya," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan wang tunai daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang di sini semalam.
Pada majlis itu, Serena bersama dua lagi saudara baru masing-masing menerima sumbangan wang tunai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Serena berkata, dia hanya mengenali Islam setelah berkahwin dengan bekas suaminya yang juga seorang mualaf yang kini bekerja di Kuala Lumpur.
Dia yang enggan mendedahkan identiti suaminya memberitahu, selepas diijabkabulkan, Serena tidak pernah mendalami Islam kerana sibuk bekerja.
Serena yang baru bercerai tiga bulan lalu, terpaksa menanggung keperitan memelihara dua anaknya, Anita Soon Abdullah, 14, dan Adam Soon Abdullah, 12.
''Setelah hidup dalam suasana 'kosong', hati saya semakin tegar untuk mendalami Islam kerana tahu agama ini mempunyai banyak kelebihan berbanding agama lain," katanya.
Kerani di sebuah pertubuhan mualaf di bandar Jerantut itu bagaimanapun bersyukur kerana kedua-dua anaknya masih kuat berpegang kepada ajaran Islam.
Ini kerana kedua-dua anaknya menerima pendidikan agama di sekolah berdekatan tempat tinggalnya.
''Saya berhasrat untuk mencari guru agama bagi mengajar anaknya mendalami ilmu Islam," katanya.
Sementara itu, Anita Soon berkata, dia menghadapi masalah untuk mempelajari Islam di rumah kerana ibunya juga tidak memahami ajaran agama itu sepenuhnya.
''Mujurlah rakan daripada kalangan orang Melayu membantu mengajar saya tetapi saya masih memerlukan bantuan guru agama," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, pihaknya akan membantu keluarga tersebut untuk mendapatkan rumah yang selesa.
''Saya dan Perkim akan berunding dengan pihak berkuasa tempatan untuk penempatan sementara di sini sebelum kerajaan menimbang supaya Serena disediakan sebuah rumah tetap," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0410&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_03.htm&arc=hive

Khamis, 3 April 2008

JERANTUT 2 April - Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan akan dibahagikan kepada dua zon pembangunan dalam sektor pelancongan untuk meningkatkan ekonomi penduduk kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, menerusi perancangan itu, zon pertama di Tembeling Tengah akan diberi perhatian dalam bidang pelancongan berasaskan pertanian.
Zon kedua di Hulu Tembeling pula, kata beliau, akan dikekalkan sebagai pusat pertumbuhan pelancongan berasaskan alam semulajadi berikutan kekayaan khazanah rimbanya.
''Pembangunan dua kawasan ini kerana masih banyak sawah dan tanah terbiar yang boleh dimajukan dan keindahan alam sekitar untuk dijadikan tarikan pelawat serta menambah pendapatan penduduk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Amizan memberitahu, Taman Negara Kuala Tahan yang memang dikenali sebagai destinasi pelancongan terkenal di peringkat dunia akan terus berperanan sebagai pusat pelancongan apabila kerajaan akan menaik taraf beberapa kemudahan infrastruktur.
Antara projek yang sedang dilaksanakan, katanya, termasuk lot-lot gerai, laluan pejalan kaki, pintu gerbang dan landskap di hadapan
Sungai Tembeling bagi merancakkan pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan.
Sementara itu, beliau berkata, beberapa kampung di Tembeling Tengah iaitu Kampung Labu, Kampung Merting, Kampung Gol dan Kampung Pasir Sia dikenal pasti berpotensi dimajukan untuk projek pertanian.
Katanya, kampung-kampung tradisional pesisir Sungai Tembeling itu berpotensi dibangunkan berikutan kesuburan tanah dan kedudukannya terletak di antara Bandar Jerantut ke Kuala Tahan.
''Kita akan mendapat kerjasama pengusaha pelancongan dari Lembah Klang dan Bandar Jerantut supaya membawa pelawat singgah di kampung-kampung ini untuk menyaksikan sendiri produk pertanian serta cara hidup masyarakat Melayu di sini," katanya.
Wan Amizan turut meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan belia bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk melaksanakan projek yang boleh menambah pendapatan penduduk.
''Saya sendiri akan turun padang bersama JKKK dan belia untuk memantau agar projek yang dirancang, betul-betul terlaksana dan memberi manfaat untuk penduduk," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut berkata, pihaknya akan turut memajukan semula pusat pelancongan Jeram Perahu di Hulu Tembeling yang suatu ketika memang terkenal di kalangan pelawat tempatan sekitar 1990-an.
''Kita akan tambah beberapa kemudahan asas di Jeram Perahu yang kaya dengan keindahan alam sekitar yang belum tercemar dan pemuliharaan ikan air tawar yang bermutu tinggi sebagai tarikan pengunjung," katanya.
Katanya, pembangunan pelancongan dan pertanian berupaya meningkat taraf hidup penduduk menerusi peluang pasaran dan industri pengangkutan bot penambang Sungai Tembeling.
Beliau menambah, Sungai Tembeling akan dipantau dari aspek kebersihan dan keindahan dari semasa ke semasa supaya menjadi tarikan pelancong.
''Kita juga akan memantau projek memulihara pelbagai spesies ikan air tawar di kawasan antara Kuala Tahan hingga ke Kampung Pagi dengan bantuan agensi tertentu dan belia di Sungai Tembeling itu,'' katanya.

Rabu, 2 April 2008

Mahu tumpu tugas YB’

JERANTUT 31 Mac – Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menafikan keputusannya menolak jawatan Timbalan Menteri Luar berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap mana-mana pihak.
Sebaliknya, jelas beliau, penolakan jawatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru- baru ini kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Ahli Parlimen Jerantut.
Tengku Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut menegaskan, pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 mendorong beliau memberi tumpuan terhadap penyatuan parti di Pahang.
‘‘Penggal ini adalah yang terakhir untuk saya berkhidmat sebagai wakil rakyat dan peluang ini akan digunakan untuk menumpukan tugas yang belum selesai khususnya perpaduan orang Melayu selain meneruskan usaha pembangunan di Jerantut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pertemuan antara UMNO bahagian itu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak dan ADUN Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Pada 18 Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan barisan Kabinet baru tetapi Tengku Azlan dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman masing-masing menolak jawatan Timbalan Menteri Luar dan Timbalan Menteri Pengangkutan yang ditawarkan kepada mereka.
Tengku Azlan menegaskan, keputusan untuk menolak tawaran itu dibuat tanpa sebarang tekanan atau paksaan daripada mana-mana pihak.
‘‘Keputusan ini dibuat oleh saya sendiri dan tidak ada kaitan dengan sesiapa pun.
‘‘Tanpa jawatan dalam Kabinet, saya mempunyai banyak masa untuk bertemu penduduk Jerantut dan menyuntik semula keyakinan rakyat terhadap UMNO,” katanya.
Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan itu juga menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mengaitkannya dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, Disember ini.
Tegas Tengku Azlan, beliau akan terus memberi sokongan kepada Presiden parti dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan usaha-usaha pengukuhan dalam UMNO.
Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Azlan meminta pemimpin di semua peringkat mengikis sikap angkuh dan cepat merasa selesa yang dianggap sebagai faktor pencapaian buruk BN pada pilihan raya lalu.
‘‘Keangkuhan ini menyebabkan ramai pemimpin lama rebah sebaliknya ada pemimpin yang baru dicalonkan mencapai kemenangan dalam pilihan raya,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0401&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_15.htm&arc=hive