Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Jumaat, 18 Februari 2011

Kerdau: Siapa Calon UMNO ?

Sebaik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau diisytiharkan kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, Sabtu lepas, gendang pilihan raya sudah mula dipalu meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum memutuskan tarikh pilihan raya kecil berkenaan.

Jentera pilihan raya BN dan PAS mula bergerak dan soal siapa calonnya menjadi tajuk perbincangan di semua peringkat di kawasan DUN itu.

azlanDUN Kerdau terletak di kawasan parlimen Kuala Krau, dua lagi DUN ialah Jenderak dan Jengka.

Mesyuarat khas bahagian Umno Kuala Krau turut diadakan pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Umno bahagian Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said, semua 28 cawangan Umno di bahagian berkenaan telah diarah bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya kecil itu nanti.

Pada hari ini, satu mesyuarat khas Badan Perhubungan Umno Pahang yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob turut diadakan di Yayasan Pahang secara tertutup.

Difahamkan mesyuarat berkenaan turut membincangkan persiapan dan senarai calon BN untuk pilihan raya kecil itu nanti.

Menurut sumber, Umno bahagian Kuala Krau dikatakan telah menyerahkan senarai tujuh nama calon untuk dipilih pucuk pimpinan parti bagi bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.

Nama yang disenaraikan itu ialah naib ketua Umno bahagian Kuala Krau yang juga Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, setiausaha Umno bahagian Kuaa Krau, Abdul Razak Ahmad yang juga seorang peguam, ketua Pemuda Umno bahagian Rodzuan Zaaba (usahawan).

Calon lain ialah ketua Wanita Umno bahagian Kuala Krau, Norehan Abu Bakar (Pegawai Kemas), anggota jawatankuasa Umno bahagian Hassan Mohd Amin (guru), anggota jawatankuasa Umno bahagian Mohd Hanifa Mohidden Ahli (guru) dan bekas Setiausaha Umno bahagian Mohd Arhan Saluddin (usahawan).

Menurut sumber itu lagi, Umno bahagian Kuala Krau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan siapa yang bakal dicalonkan pada pilihan raya kecil itu nanti.

Sementara itu, PAS Pahang juga telah menyenaraikan tujuh nama untuk dicalonkan bagi bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.

Mereka yang disenaraikan itu adalah anak tempatan berkelulusan dalam pelbagai bidang, antaranya bekas pensyarah, aktivis dan anggota biasa parti.
Menurut Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal, mereka yang tersenarai itu dilihat berpotensi untuk menang, selain muda dan berkarisma untuk menjadi calon dan wakil rakyat di kawasan berkenaan.

"Nama-nama berkenaan telah diputuskan pada mesyuarat khas PAS Kawasan Kerdau pada Isnin lepas, senarai itu akan dihantar kepada pucuk pimpinan parti," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata berdasarkan perkembangan politik semasa serta penambahan pengundi baru, PAS yakin akan dapat memenangi pilihan raya kecil itu nanti sekalipun kerusi DUN Kerdau merupakan kawasan kubu kuat BN.

Sementara itu, Ismail berkata beliau yakin BN akan dapat mempertahankan kerusi DUN. 

Bagaimanapun, beliau berkata keyakinan itu tidak bermakna semua 28 cawangan yang ada boleh berpeluk tubuh. 

"InsyaAllah, kita akan dapat mempertahankan kerusi ini dengan majoriti besar jika semua anggota parti bersatu dan bekerja keras," katanya di Temerloh.

Beliau berkata semua cawangan telah diarahkan melakukan persediaan bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikhnya.

"Apa yang penting, kita mesti mengemaskan jentera sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil. Persediaan awal itu perlu dilakukan bagi memudahkan gerak kerja apabila tarikh pilihan raya kecil itu diumumkan kelak," katanya.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau turut berharap semua cawangan terbabit mengetepikan isu remeh dan menumpukan kepada usaha memastikan kemenangan calon BN.

"Apa yang penting kita proaktif mengenal pasti, menghubungi dan mendekati para pengundi," katanya. 

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. 


Tiada ulasan: