Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Ahad, 17 Disember 2017

HANSARD PARLIMEN BERKAITAN IMAMS

RANG UNDANG-UNDANG
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2018
Bacaan Kali Yang Kedua
DAN
USUL
ANGGARAN PEMBANGUNAN 2018

Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula perbahasan atas masalah, “Bahawa Rang Undang-undang Perbekalan 2018 ini dibacakan kali yang kedua sekarang” dan “Bahawa Usul yang berikut ini dirujuk kepada Jawatankuasa sebuah-buah Majlis”.

“Bahawa Dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari empat puluh lapan bilion ringgit (RM48,000,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2018, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 24 Tahun 2017, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut.” [9 November 2017]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya. Saya jemput Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menjawab. Sila Yang Berhormat Menteri.
11.34 pg.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan [Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebelum saya memulakan penggulungan saya, saya ingin mengalu-alukan kedatangan pelawat-pelawat daripada delegasi ketua-ketua kampung daripada Parlimen Padang Rengas. [Tepuk] Begitu juga daripada Yokohama Taxi Associations yang daripada Yokohama dan melawat negara kita.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat berikut:
(i) Yang Berhormat Putatan;
(ii) Yang Berhormat Lenggong;
(iii) Yang Berhormat Kuala Kangsar;
(iv) Yang Berhormat Sekijang;
(v) Yang Berhormat Lanang;
(vi) Yang Berhormat Sibuti;
(vii) Yang Berhormat Batu Sapi;
(viii) Yang Berhormat Rantau Panjang;
(ix) Yang Berhormat Labuan;
(x) Yang Berhormat Kangar;
(xi) Yang Berhormat Parit;
(xii) Yang Berhormat Sibu;
(xiii) Yang Berhormat Sepanggar;
(xiv) Yang Berhormat Gerik;
(xv) Yang Berhormat Batu Gajah;
(xvi) Yang Berhormat Kota Melaka;
(xvii) Yang Berhormat Sik;
(xviii) Yang Berhormat Kudat; dan
(xix) Yang Berhormat Pengkalan Chepa.

Yang telah membangkitkan perkara-perkara di bawah tanggungjawab Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Sepanjang perbahasan Bajet 2018 peringkat dasar, pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ketiga Belas ini.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat Rantau Panjang meminta kementerian menjelaskan sejauh manakah keberkesanan langkah-langkah pemantauan pengendali-pengendali umrah melalui Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) yang dilaksanakan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penggunaan sistem Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) oleh kementerian belum lagi dilaksanakan. Cadangan penggunaan sistem IMAMS ini merupakan satu lonjakkan transformasi dalam memantau pengendalian pakej umrah dan ziarah oleh agensi pengendali umrah demi menjaga kepentingan jemaah. Jadi dia punya keberkesanan itu kita belum tahu lagi. Kita belum laksana.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian telah menguruskan banyak kes penipuan pakej umrah ziarah sebelum ini. Apa yang paling mendukacitakan adalah isu jemaah terkandas sama ada mereka tidak dapat berlepas ke tanah suci mahupun tidak dapat pulang ke Malaysia pada masa-masa yang sepatutnya. Jemaah yang terlibat dalam kes-kes seperti ini menjadi mangsa keadaan di atas kerakusan dan ketamakan sebilangan pengendali-pengendali umrah dan ziarah sehinggakan ada jemaah yang kehilangan pekerjaan kerana gagal pulang bertugas.

Ada jemaah sakit yang kehabisan bekalan ubat disebabkan terkandas. Ada juga kes jemaah yang kehilangan semua wang tabungan mereka yang telah dibayar untuk pakej umrah ziarah ini tetapi masih terkandas di Malaysia. Adalah amat menyedihkan apabila kes-kes seumpama ini turut menjejaskan imej agama Islam dan seterusnya mencemarkan imej negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sering dijadikan model oleh negara-negara Islam yang lain.

Pihak kementerian telah mengkaji kaedah pengurusan pihak Kerajaan Arab Saudi dalam usaha mereka memastikan tiada permasalahan yang timbul ke atas jemaah-jemaah umrah di tanah suci yang jumlahnya mencecah jutaan umat Islam setiap tahun. Ketegasan penguasa Kerajaan Arab Saudi sebenarnya turut disokong oleh penggunaan sistem bersepadu atas talian yang berkesan dalam membantu pihak kerajaan mereka mengenal pasti muassasah-muassasah yang wajib bertanggungjawab menguruskan jemaah dengan teratur sepanjang mereka berada di tanah suci.

Sehubungan dengan itu, pihak kementerian yakin dengan penggunaan sistem seumpama ini akan dapat membantu aspek pemantauan, siasatan dan penguatkuasaan pengurusan jemaah Malaysia dengan teratur yang dilaksanakan oleh semua pengendali industri umrah bermula daripada tempahan dan pembelian pakej umrah ziarah itu sendiri. Sistem IMAMS ini akan membolehkan kementerian memastikan tanggungjawab agensi pengendali umrah ke atas jemaah mereka dilaksanakan dengan baik dan teratur tanpa ada sebarang unsur manipulasi mahupun penipuan.

Sistem ini juga akan dapat membolehkan kementerian memantau status tempahan dan pengesahan semua keperluan logistik jemaah khususnya yang melibatkan tiket penerbangan, penginapan dan visa umrah telah benar-benar ditempah, dibayar dan disahkan oleh agensi pengendali umrah ziarah terbabit tanpa sebarang alasan dan pindaan pada saat-saat akhir.

Justeru, pihak kementerian percaya pelaksanaan sistem IMAMS ini akan dapat mengatasi masalah manipulasi dan penipuan pengendalian pakej umrah ziarah dengan secara telus dan seterusnya akan dapat melindungi bakal jemaah ke tanah suci khususnya warga emas daripada menjadi mangsa pihak syarikat pengendali umrah yang tidak bertanggungjawab.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Ya.
■1140

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas penjelasan yang telah diberi. Saya ingin tahu apakah yang melibatkan kos? Berapakah kos yang akan ditanggung oleh peserta umrah yang kena dibayar kepada pihak IMAMS ini dan siapakah mereka ataupun orang yang mengendalikan IMAMS ini? Minta penjelasan.

Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz: Bayaran RM90.10 ini termasuk GST yang dikenakan kepada syarikat mengendali umrah ziarah sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas pengurusan jemaah. Di mana kementerian juga turut maklum bahawa peniaga mungkin akan memindahkan harga tersebut kepada pengguna pula dengan menaikkan kadar harga pakej-pakej yang ditawarkan. Sebenarnya pengendalilah yang kena bayar.

Cadangan kadar RM90.10 ini melibatkan dua elemen utama iaitu RM40 bagi perlindungan insurans takaful umrah yang melindungi jemaah secara komprehensif dan mengikut garis panduan pihak kementerian yang ditetapkan daripada mula perjalanan pergi sehingga tamat perjalanan pulang. Perlindungan insurans merangkumi lima elemen utama iaitu:
(i) kemalangan diri termasuk khairat kematian;
(ii) kesulitan perjalanan;
(iii) perubatan;
(iv) pemindahan kecemasan; dan
(v) bayaran balik deposit tiket disebabkan penutupan agensi pelancongan.

RM45 pula adalah kos pentadbiran, penyelenggaraan dan operasi sistem yang akan dilaksanakan oleh Syarikat IMAMS dengan pemantau oleh pihak kerajaan dan RM5.10 adalah GST. Jadi inilah caj yang dikenakan kepada mereka yang akan mengambil bahagian dalam untuk pergi ke tanah suci di bawah program umrah ziarah ini.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Ya terima kasih. Penjelasan sedikit Yang Berhormat Menteri. Biasanya pengendali umrah yang gagal ini memberi alasan utama lewat mendapat visa umrah. Mereka sudah mempunyai tiket, jadi akhirnya tergendala perjalanan itu alasan mereka. Soalan yang saya ingin mendapat penjelasan apakah tindakan yang dikenakan kepada mereka pengendali ini yang gagal hingga menyebabkan tadi kehilangan kerja dan sebagainya. Jadi apa tindakan tegas kepada mereka ini? Adakah tarik sahaja lesen tetapi tidak memberi apa-apa denda kepada mereka? Terima kasih.

Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua pertama sekali soal alasan yang diberi iaitu bahawa visa ini lambat diberikan ini dapat diatasi dengan sistem IMAMS yang mana kita memastikan itu tiket penerangan di bawah sistem IMAMS ini dan juga tempahan untuk tempat tinggal di tanah suci dan juga permohonan visa itu dibuat. Jadi ketiga-tiga ini adalah penting kerana tanpa visa maka tidak boleh lah pergi ke tanah suci walaupun sudah mendapat apa yang dikatakan tempatnya yang sudah ada, tiket penerbangan yang sudah ada. Jadi dengan sistem ini dia integrasi bila visa dapat barulah tempat dan tiket penerbangan itu akan dibuat. Bermakna ia akan menjamin bahawa permohonan visa itu dilakukan sekali dengan penempahan tempat tinggal di tanah suci dan juga dengan tiket penerbangan. Jadi adalah diharapkan dengan adanya sistem IMAMS ini ia akan dapat mengatasi masalah alasan yang selalu diberi iaitu bahawa visa yang telah lambat diberi.
Keduanya di bawah akta kita bukan hanya sekadar kita boleh tarik balik lesen untuk menjalankan kerjanya sebagai syarikat agensi pelancongan tetapi ia jua kalau ada elemen penipuan, maka dia juga boleh didakwa di mahkamah bukan hanya sekadar di denda tetapi juga boleh dikenakan tindakan yang lebih keras lagi.

Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]: Yang Berhormat Menteri sedikit ya. Boleh? Saya hendak ucapkan tahniah kepada kementerian yang mencadangkan satu sistem untuk memantau penipuan-penipuan perjalanan umrah ini. Cuma barangkali kita boleh kemas kini kan lagi. Pertamanya IMAMS itu sendiri adakah akan diberikan kepada koperasi-koperasi yang menjadi milik
masyarakat sehingga akhirnya keuntungan daripada IMAMS itu juga akhirnya mengalir semula kepada rakyat satu.

Yang kedua insurans yang dicadangkan atau takaful yang dicadangkan tadi adakah dia akan melepaskan bebanan daripada syarikat pengendali umrah jika berlaku sebarang risiko-risiko yang lain kerana biasanya pengendali umrah ini memang akan ada mereka-mereka yang cuma mengambil kesempatan untuk hanya menerima untung tetapi tidak bersedia menerima kerugian. Itu soalan saya. Terima kasih.

Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz: Terima kasih Yang Berhormat. Pertama sekali ini saya ingin sebutkan bahawa pelaksanaan sistem IMAMS sini bukanlah bertujuan untuk hendak memberikan keuntungan kepada koperasi-koperasi syarikat. Tujuan kita mengadakan IMAMS ini adalah untuk menjaga kebajikan orang yang menempah untuk yang hendak pergi umrah. Itu jauh lebih penting lagi. Itu keutamaan kita. Jadi kalau Yang Berhormat tanya kepada saya hendak bagi untung kepada koperasi itu bukanlah keutamaan kita. Yang kita hendak jaga itu orang yang hendak pergi umrah supaya mereka itu tidak tertipu.

Keduanya saya telah sebut di sini bahawa lima elemen utama dalam soal insurans ialah:
(i) kemalangan diri termasuk khairat kematian;
(ii) kesulitan perjalanan –mungkin di tengah jalan ada sedikit-sedikit kesulitan itu akan di cover oleh insurans;
(iii) perubatan;
(iv) pemindahan kecemasan; dan
(v) bayaran balik deposit tiket disebabkan penutupan agensi pelancongan.

Jadi ini saya rasa lima elemen ini telah pun merangkumi semua masalah yang mungkin dihadapi oleh pembeli-pembeli pakej umrah ini. Jadi selain daripada itu, maka ia tidak ada coverage-lah. Terima kasih Yang Berhormat ada lagi?

Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]: Ada Yang Berhormat Menteri. Yang akan cover tadi adalah takaful bukan insurans yang berunsurkan Islam sahaja bukan syarikat insurans konvensional?

Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz: RM40 bagi perlindungan insurans takaful umrah. Terima kasih.

Ada lagi?

Tidak ada?

Baik.

Terima kasih habis kita soal umrah ini.

http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-13112017.pdf

Tiada ulasan: