Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Ahad, 17 Disember 2017

HANSARD PARLIMEN BERKAITAN IMAMS

RANG UNDANG-UNDANG
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2018
Bacaan Kali Yang Kedua
DAN
USUL
ANGGARAN PEMBANGUNAN 2018

Aturan Urusan Mesyuarat dibacakan bagi menyambung semula perbahasan atas masalah, “Bahawa Rang Undang-undang Perbekalan 2018 ini dibacakan kali yang kedua sekarang” dan “Bahawa Usul yang berikut ini dirujuk kepada Jawatankuasa sebuah-buah Majlis”.

“Bahawa Dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari empat puluh lapan bilion ringgit (RM48,000,000,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2018, dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 24 Tahun 2017, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut.” [9 November 2017]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya. Saya jemput Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menjawab. Sila Yang Berhormat Menteri.
11.34 pg.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan [Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebelum saya memulakan penggulungan saya, saya ingin mengalu-alukan kedatangan pelawat-pelawat daripada delegasi ketua-ketua kampung daripada Parlimen Padang Rengas. [Tepuk] Begitu juga daripada Yokohama Taxi Associations yang daripada Yokohama dan melawat negara kita.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat berikut:
(i) Yang Berhormat Putatan;
(ii) Yang Berhormat Lenggong;
(iii) Yang Berhormat Kuala Kangsar;
(iv) Yang Berhormat Sekijang;
(v) Yang Berhormat Lanang;
(vi) Yang Berhormat Sibuti;
(vii) Yang Berhormat Batu Sapi;
(viii) Yang Berhormat Rantau Panjang;
(ix) Yang Berhormat Labuan;
(x) Yang Berhormat Kangar;
(xi) Yang Berhormat Parit;
(xii) Yang Berhormat Sibu;
(xiii) Yang Berhormat Sepanggar;
(xiv) Yang Berhormat Gerik;
(xv) Yang Berhormat Batu Gajah;
(xvi) Yang Berhormat Kota Melaka;
(xvii) Yang Berhormat Sik;
(xviii) Yang Berhormat Kudat; dan
(xix) Yang Berhormat Pengkalan Chepa.

Yang telah membangkitkan perkara-perkara di bawah tanggungjawab Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Sepanjang perbahasan Bajet 2018 peringkat dasar, pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ketiga Belas ini.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli Yang Berhormat Rantau Panjang meminta kementerian menjelaskan sejauh manakah keberkesanan langkah-langkah pemantauan pengendali-pengendali umrah melalui Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) yang dilaksanakan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penggunaan sistem Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) oleh kementerian belum lagi dilaksanakan. Cadangan penggunaan sistem IMAMS ini merupakan satu lonjakkan transformasi dalam memantau pengendalian pakej umrah dan ziarah oleh agensi pengendali umrah demi menjaga kepentingan jemaah. Jadi dia punya keberkesanan itu kita belum tahu lagi. Kita belum laksana.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian telah menguruskan banyak kes penipuan pakej umrah ziarah sebelum ini. Apa yang paling mendukacitakan adalah isu jemaah terkandas sama ada mereka tidak dapat berlepas ke tanah suci mahupun tidak dapat pulang ke Malaysia pada masa-masa yang sepatutnya. Jemaah yang terlibat dalam kes-kes seperti ini menjadi mangsa keadaan di atas kerakusan dan ketamakan sebilangan pengendali-pengendali umrah dan ziarah sehinggakan ada jemaah yang kehilangan pekerjaan kerana gagal pulang bertugas.

Ada jemaah sakit yang kehabisan bekalan ubat disebabkan terkandas. Ada juga kes jemaah yang kehilangan semua wang tabungan mereka yang telah dibayar untuk pakej umrah ziarah ini tetapi masih terkandas di Malaysia. Adalah amat menyedihkan apabila kes-kes seumpama ini turut menjejaskan imej agama Islam dan seterusnya mencemarkan imej negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sering dijadikan model oleh negara-negara Islam yang lain.

Pihak kementerian telah mengkaji kaedah pengurusan pihak Kerajaan Arab Saudi dalam usaha mereka memastikan tiada permasalahan yang timbul ke atas jemaah-jemaah umrah di tanah suci yang jumlahnya mencecah jutaan umat Islam setiap tahun. Ketegasan penguasa Kerajaan Arab Saudi sebenarnya turut disokong oleh penggunaan sistem bersepadu atas talian yang berkesan dalam membantu pihak kerajaan mereka mengenal pasti muassasah-muassasah yang wajib bertanggungjawab menguruskan jemaah dengan teratur sepanjang mereka berada di tanah suci.

Sehubungan dengan itu, pihak kementerian yakin dengan penggunaan sistem seumpama ini akan dapat membantu aspek pemantauan, siasatan dan penguatkuasaan pengurusan jemaah Malaysia dengan teratur yang dilaksanakan oleh semua pengendali industri umrah bermula daripada tempahan dan pembelian pakej umrah ziarah itu sendiri. Sistem IMAMS ini akan membolehkan kementerian memastikan tanggungjawab agensi pengendali umrah ke atas jemaah mereka dilaksanakan dengan baik dan teratur tanpa ada sebarang unsur manipulasi mahupun penipuan.

Sistem ini juga akan dapat membolehkan kementerian memantau status tempahan dan pengesahan semua keperluan logistik jemaah khususnya yang melibatkan tiket penerbangan, penginapan dan visa umrah telah benar-benar ditempah, dibayar dan disahkan oleh agensi pengendali umrah ziarah terbabit tanpa sebarang alasan dan pindaan pada saat-saat akhir.

Justeru, pihak kementerian percaya pelaksanaan sistem IMAMS ini akan dapat mengatasi masalah manipulasi dan penipuan pengendalian pakej umrah ziarah dengan secara telus dan seterusnya akan dapat melindungi bakal jemaah ke tanah suci khususnya warga emas daripada menjadi mangsa pihak syarikat pengendali umrah yang tidak bertanggungjawab.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee]: Ya.
■1140

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri di atas penjelasan yang telah diberi. Saya ingin tahu apakah yang melibatkan kos? Berapakah kos yang akan ditanggung oleh peserta umrah yang kena dibayar kepada pihak IMAMS ini dan siapakah mereka ataupun orang yang mengendalikan IMAMS ini? Minta penjelasan.

Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz: Bayaran RM90.10 ini termasuk GST yang dikenakan kepada syarikat mengendali umrah ziarah sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas pengurusan jemaah. Di mana kementerian juga turut maklum bahawa peniaga mungkin akan memindahkan harga tersebut kepada pengguna pula dengan menaikkan kadar harga pakej-pakej yang ditawarkan. Sebenarnya pengendalilah yang kena bayar.

Cadangan kadar RM90.10 ini melibatkan dua elemen utama iaitu RM40 bagi perlindungan insurans takaful umrah yang melindungi jemaah secara komprehensif dan mengikut garis panduan pihak kementerian yang ditetapkan daripada mula perjalanan pergi sehingga tamat perjalanan pulang. Perlindungan insurans merangkumi lima elemen utama iaitu:
(i) kemalangan diri termasuk khairat kematian;
(ii) kesulitan perjalanan;
(iii) perubatan;
(iv) pemindahan kecemasan; dan
(v) bayaran balik deposit tiket disebabkan penutupan agensi pelancongan.

RM45 pula adalah kos pentadbiran, penyelenggaraan dan operasi sistem yang akan dilaksanakan oleh Syarikat IMAMS dengan pemantau oleh pihak kerajaan dan RM5.10 adalah GST. Jadi inilah caj yang dikenakan kepada mereka yang akan mengambil bahagian dalam untuk pergi ke tanah suci di bawah program umrah ziarah ini.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Ya terima kasih. Penjelasan sedikit Yang Berhormat Menteri. Biasanya pengendali umrah yang gagal ini memberi alasan utama lewat mendapat visa umrah. Mereka sudah mempunyai tiket, jadi akhirnya tergendala perjalanan itu alasan mereka. Soalan yang saya ingin mendapat penjelasan apakah tindakan yang dikenakan kepada mereka pengendali ini yang gagal hingga menyebabkan tadi kehilangan kerja dan sebagainya. Jadi apa tindakan tegas kepada mereka ini? Adakah tarik sahaja lesen tetapi tidak memberi apa-apa denda kepada mereka? Terima kasih.

Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua pertama sekali soal alasan yang diberi iaitu bahawa visa ini lambat diberikan ini dapat diatasi dengan sistem IMAMS yang mana kita memastikan itu tiket penerangan di bawah sistem IMAMS ini dan juga tempahan untuk tempat tinggal di tanah suci dan juga permohonan visa itu dibuat. Jadi ketiga-tiga ini adalah penting kerana tanpa visa maka tidak boleh lah pergi ke tanah suci walaupun sudah mendapat apa yang dikatakan tempatnya yang sudah ada, tiket penerbangan yang sudah ada. Jadi dengan sistem ini dia integrasi bila visa dapat barulah tempat dan tiket penerbangan itu akan dibuat. Bermakna ia akan menjamin bahawa permohonan visa itu dilakukan sekali dengan penempahan tempat tinggal di tanah suci dan juga dengan tiket penerbangan. Jadi adalah diharapkan dengan adanya sistem IMAMS ini ia akan dapat mengatasi masalah alasan yang selalu diberi iaitu bahawa visa yang telah lambat diberi.
Keduanya di bawah akta kita bukan hanya sekadar kita boleh tarik balik lesen untuk menjalankan kerjanya sebagai syarikat agensi pelancongan tetapi ia jua kalau ada elemen penipuan, maka dia juga boleh didakwa di mahkamah bukan hanya sekadar di denda tetapi juga boleh dikenakan tindakan yang lebih keras lagi.

Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]: Yang Berhormat Menteri sedikit ya. Boleh? Saya hendak ucapkan tahniah kepada kementerian yang mencadangkan satu sistem untuk memantau penipuan-penipuan perjalanan umrah ini. Cuma barangkali kita boleh kemas kini kan lagi. Pertamanya IMAMS itu sendiri adakah akan diberikan kepada koperasi-koperasi yang menjadi milik
masyarakat sehingga akhirnya keuntungan daripada IMAMS itu juga akhirnya mengalir semula kepada rakyat satu.

Yang kedua insurans yang dicadangkan atau takaful yang dicadangkan tadi adakah dia akan melepaskan bebanan daripada syarikat pengendali umrah jika berlaku sebarang risiko-risiko yang lain kerana biasanya pengendali umrah ini memang akan ada mereka-mereka yang cuma mengambil kesempatan untuk hanya menerima untung tetapi tidak bersedia menerima kerugian. Itu soalan saya. Terima kasih.

Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz: Terima kasih Yang Berhormat. Pertama sekali ini saya ingin sebutkan bahawa pelaksanaan sistem IMAMS sini bukanlah bertujuan untuk hendak memberikan keuntungan kepada koperasi-koperasi syarikat. Tujuan kita mengadakan IMAMS ini adalah untuk menjaga kebajikan orang yang menempah untuk yang hendak pergi umrah. Itu jauh lebih penting lagi. Itu keutamaan kita. Jadi kalau Yang Berhormat tanya kepada saya hendak bagi untung kepada koperasi itu bukanlah keutamaan kita. Yang kita hendak jaga itu orang yang hendak pergi umrah supaya mereka itu tidak tertipu.

Keduanya saya telah sebut di sini bahawa lima elemen utama dalam soal insurans ialah:
(i) kemalangan diri termasuk khairat kematian;
(ii) kesulitan perjalanan –mungkin di tengah jalan ada sedikit-sedikit kesulitan itu akan di cover oleh insurans;
(iii) perubatan;
(iv) pemindahan kecemasan; dan
(v) bayaran balik deposit tiket disebabkan penutupan agensi pelancongan.

Jadi ini saya rasa lima elemen ini telah pun merangkumi semua masalah yang mungkin dihadapi oleh pembeli-pembeli pakej umrah ini. Jadi selain daripada itu, maka ia tidak ada coverage-lah. Terima kasih Yang Berhormat ada lagi?

Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [Kuala Nerus]: Ada Yang Berhormat Menteri. Yang akan cover tadi adalah takaful bukan insurans yang berunsurkan Islam sahaja bukan syarikat insurans konvensional?

Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz: RM40 bagi perlindungan insurans takaful umrah. Terima kasih.

Ada lagi?

Tidak ada?

Baik.

Terima kasih habis kita soal umrah ini.

http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-13112017.pdf

Khamis, 23 November 2017

MB Baru Untuk Pahang Selepas PRU14 ?

Spekulasi spekulasi spekulasi ..... ha ha ha ....

Mungkinkah ini persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang yang sedang berlangsung sekarang ini adalah persidangan terakhir untuk Dato Nan di Pahang . Datok Nan kata ADUN Mentakap baru sepenggal masuk DUN .

MB dan lama duduk dalam DUN . Sebab dah lama , jadi mungkinkah ini adalah yang terakhir untuk MB .

Kalau betul ini adalah yang terakhir . Kebiasaaannnya MB yang tidak bertanding di DUN akan ditawarkan untuk bertanding di parlimen  kan . kebiasaaannya lah bukan semua . Ada yang ditawarkan jadi Yang DiPetuan Negeri .

Tapi kalau ikut kebiasaan dulu dulu maka nya di parlimen manakah Dato Nan akan bertanding ?

Bentong ? Tak mungkin . MCA tak akan benarkan rasanya .

Pekan ? Nak letak PM najib dimana pulak ?

Cameroon Highand ? .... ish ish ish MIC punya tu

Antara lokasi selamat untuk Dato Nan adalah Jerantut , Bera , Kuala Krau , Paya Besar , Rompin dan Lipis .

Kalau letak Dato Nan kat Kuantan , Indera Mahkota , Raub , Temerloh  , kemungkinan besar kes bekas MB Johor dan bekas KM Melaka akan berulang . Dah tentu risiko ini tidak mahu diulangi lagi.

Kalau Dato Nan ke Bera , Dato Ismail Sabri nak ke mana ? Mungkinkah Dato Ismail Sabri akan ke Jerantut ?

Kalau Dato Ismail Sabri ke Jerantut untung lah orang Jerantut . Menteri KKLW  tu . banyak peruntukan menteri KKLW ni.

Kalau Dato Nan ke parlimen , rasanya paling tinggi pun hanya akan dapat jadi Timbalan Menteri jer .

Kalau Dato Ismail Sabri ke Jerantut , Cikgu Lan nak kemana ?  Mungkin bertanding DUN Pulau Tawar ganti Dr Shukri . Kalau Dato Nan bersara dari MB , Dr Shukri pun akan bersara juga lah hi hi hi.

Lau Lee pun dah lama kat DUN Damak tu ,seagkatan dengan Dr Shukri mungkin juga akan diganti kali ini . Persoalannya siapa ? Adakah anak perempuan Dato Lim Ah Chap yang juga bendahari MCA Jerantut ? 

DUN Tahan memerlukan orang yang tahan lasak . Masih lasak kah DSWA untuk menerajui DUN Tahan ?

Selasa, 7 November 2017

23hb Ogos 2018 Adalah Tarikh Akhir Pilihanraya Umum ke 14 Perlu Diadakan

Tarikh luput mandat kerajaan persekutuan yg diterajui oleh BN sekarang ialah pada 24 Jun 2018.  Ini adalah berdasarkan kepada hari pertama sidang Dewan Rakyat selepas PRU-13. 

Hasil semakan di laman web rasmi Parlimen Malaysia, hari pertama sidang Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum itu adalah pada 24 Jun 2013.

Jadi SPR perlu mengadakan pilihanraya umum dalam tempoh 60hari selepas parlimen terbubar . Jadi tarikh akhirnya adalah pada 23 Ogos 2018.
PM Najib boleh pada bila bila masa bermula sekarang untuk memohon kepada Yang DiPertuan Agung  untuk membubarkan parlimen.

Jadi semua parti politik di Jerantut mestilah bersiap sedia dengan jentera masing untuk menarik perhatian pengundi . Berkempenlah dengan berhemah . 

Isnin, 6 November 2017

JERANTUT PERLUKAN PROJEK RANGSANGAN EKONOMI YANG STABIL

Apakah program rangsangan ekonomi Jerantut sekarang ini  ?
Projek rangsangan ekonomi yang stabil. Ia , yang stabil. Yang berjangka panjang.

Rangsangan Yang Telah Sedia Ada :

Pertanian
1. Pembangunan Tanah Terbiar Oleh Felcra
2. Pembangunan Ladang Hutan oleh Yayasan Pahang , LKNP dan Tabung Haji
3. Pembangunan Tanah Rancangan Felda
4. Bantuan Tanam Semula dan Penanam Tanah Terbiar oleh RISDA dan MPOB
5. PPPTR

Pendidikan
1. Pembangunan ADTEC

Infrastruktur
1. Pembangunan Jalanraya Kuala Tahan Ke Kg Bantal.

Pelancongan
1. Taman Negara

Ada lagi ke ? Macam tiada jer lagi.

Apa cadangan projek ransangan yang lain ? Yang stabil dan berimpak besar. Ahli politik dan ekonomi boleh jawb tak ?

Jumaat, 3 November 2017

TEKAI HYDRO PROJECT - MEREALISASIKAN PROJEK YANG TERTANGGUH LAMA

Perancangan asal Tekai Hydro Project akan dibina pada tahun 1989. Tapi mungkin dari segi faktor kewangan dan dasar penswastaan janakuasa ketika itu menyebabkan project ini ditanguhkan . Walau ditangguhkan ketika itu tetapi ianya tidak pernah dibuang dari master plan pembangunan tenaga negara. Hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai ketika untuk dilaksanakan . Perancangan seterusnya ialah untuk menyiapkan projek ini pada tahun 2020 . Tapi perkembangan terkini memungkinkan projek ini akan berlaku sedikit kelewatan . Walaubagaimanapun proses pengeluaran dokumen tender sedang dilakukan oleh pihak kerajaan dan TNB.

Idea untuk mengujudkan sebuah empangan hydro di Ulu Pahang telah dilontarkan sekitar akhir tahun 70-an iaitu zaman perdana menteri kedua - Tun Abdul Razak . Pada tahun 1980 Tun Hussien Onn sebagai Perdana Menteri ketiga telah mengarahkan supaya feasibility study dijalankan untuk projek ini . Maka satu pasukan telah dibentuk  dibawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri .Hasil hubungan erat Malaysia  dengan kerajaan Jepun ketika itu , Tun Hussin telah meminta kepakaran Jepun untuk mengkaji kebolehupayaan projek Hidro eletrik di ulu Pahang ini .

Kerajaan Jepun telah menyahut permintaan kerajaan Malaysia ketika itu dengan menghantar pasukan pakar mereka selama 10 hari ke Malaysia bermula 27 October hingga 5 November 1980 bagi mendapatkan gambaran awal project . Kemudian pada 18-10 Februari 1981 telah dibuat satu workshop antara pihak Jepun dan Malaysia bagi membuat pedetailan akhir kerja-kerja berkaitan feasibiliti studi yang akan dilakukan . Hasil dari worshop yang telah dijalankan maka kerajaan Jepun menghantar satu pasukan pakar untuk melakukan kajian kebolehupayaan di lapangan pada 1 Mac 1981 hingga 15 Disember 1982 .  Laporan kajian yg komprehensif telah  disiapkan pada Ogos 1983 dan dibentangkan kepada EPU pada September 1983. Kajian ini merangkumi pelbagai perkara seperti jalan akses , hydrologi , geologi , contruction method dan anggaran kos.

Dengan ketiadaan GoogleMap ketika itu , sebanyak 4 penerbangan telah dilakukan untuk membuat pemetaan aerial , mengambil sebanyak 72 keping gambar aerial . Proses ini telah dilakukan oleh Jabatan Pemetaan Malaysia.


Kajian ini juga telah memutuskan bahawa dua empamgan perlu dibina iaitu Upper Dam dan Lower Dam. Jarak diantara Upper dan Lower ini ialah sejauh 25km . Upper Dam akan menjana sebanyak 150MW dan Lower Dam akan menjana sebanyak 5.8MW.




Lower Dam akan beroperasi 24 sehari 7 hari seminggu sementara Upper Dam akan beroperasi sebagai peaking stationn selama 5 jam sehari .















Rabu, 18 Oktober 2017

Calon Calon PRU14 : BN vs PH vs PAS

Berikut adalah senarai terkini calon2 PRU14 bagi DUN Tahan DUN Pulau Tawar DUN Damak dan Parlimen Jerantut .

Parlimen Jerantut :
BN : Dato Ahmad Nazlan (Penyandang)
PH : Dr Hamzah Jaafar
PAS : Tuan Ibrahim Tuan Man

DUN Tahan :
BN : Dato Sri Wan Amizan (Penyandang)
PH : Wan Mohd Shahir
PAS : Ustaz Zakhwan

DUN Damak :
BN : Calon Baru (MCA)
PH : Cikgu Koh
PAS : Ustaz Zuridan Daud

DUN Pulau Tawar :
BN : Calon Baru (UMNO)
PH : Mohamed Wahid
PAS : Ustaz Yohanis Ahmad




Isnin, 2 Oktober 2017

4 Tahun Dah Berlalu. Masa Untuk Membentangkan KPI Masing2 .

4 tahun dah berlalu . Tinggal lagi kurang dari 6 bulan utk PRU14 . Kini adalah masa untuk Ahli Parlimen Jerantut . Adun Damak , Adun Tahan dan Adun Pulau Tawar utk membentangkan KPI masing2 yg telah didendangkan sebelum PRU13 dulu . Janji2 yg telah di lafazkan kepada pengundi dalam PRU13 dulu perlulah dibentangkan progresnya .

Apa yang dah siap . Apa yang sedang berjalan. Apa yang tidak berjaya dilaksanakan  . Kenapa lambat disiapkan . Kenapa tidak dilaksanakan . Apa kekangan kekangan yg melambatkan perlaksanaan.

Rakyat kena tahu . Rakyat bukan setakat kena tahu tapi menjadi hak rakyat untuk tahu. Mereka memilih tuan berdasarkan janji2 tuan . Bukan main senyap jer. Bentangkan KPI masing2 secara profesional.

Rakyat pun kenalah ambil tahu prestasi wakil yang dipilih dalam PRU13 dulu.... Bukan main angguk angguk iling iling jer.

Mana yang baik kekalkan mana yang prestasinya teruk kena buanglah dalam PRU14.

Isnin, 25 September 2017

Viral Pegawai JPJ Boleh Berbahasa Cina . Masih Ramai Warganegera Malaysia Tak Fasih Berbahasa Melayu

Hebat sangatkah boleh berbahasa asing?

Heboh satu Malaysia, menjadi viral apabila seorang staf JPJ berbangsa Melayu menggunakan bahasa Cina berinteraksi dengan dua pelajar Cina daripada China, ketika berurusan di kaunter. Semua netizen memuji. Tetapi kita pernah hebohkan atau viral beratus ribu, malahan juta rakyat Malaysia yang masih tidak boleh berbahasa kebangsaan atau berbahasa Melayu dengan baik. Apa sudah jadi? Kera di hutan disusukan, anak di ruamh mati tak makan.

Saya tidak pernah hairan jika orang Melayu boleh berbahasa Cina (Mandarin). Ini adalah perkara biasa dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, apatah lagi kita mempunyai Sekolah Vernakular. Anak saya semuanya boleh berbahasa Cina. Saya anggap itu sebagai kredit atau kelebihan, bukan satu kebanggaan yang patut saya megahkan.

Apa guna hebat berbahasa asing jika bahasa sendiri merempat di bumi sendiri? Dalam taklimat Hari Malaysia baru-baru ini bersama Parti Cina (MCA), PM mengingatkan orang Cina supaya dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Saya harap MCA faham maksud PM. Jangan hanya melepaskan batuk ditangga. Sambut Hari Malaysia semata-mata untuk sambut. Realitinya, sambutan itu hanya kulit semata-mata. Isinya kosong.

Saranan PM ini sangat baik, tetapi ia tidak akan berjaya jika tidak diinstitusikan atau diundang-undangkan perkara ini. Dalam maksud, dikuatkuasakan melalui undang-undang.

Sudah sampai masanya BM disyaratkan sebagaia syarat utama untuk menjadi warganegara ini.
Jika pilihan diberikan, selagi itulah BM akan menjadi bahasa berdagang di negara sendiri

Kebolehan menguasai berbagai bahasa adalah sat kelebihan bukan satu kekuatan. Kekuatan sebenar adalah apabila rakyat Malaysia menghayati agenda negara sebenar. Jika BM itu adalah agenda negara, ia mesti disambut tanpa berkecuali.

Adalah sesuatu yang amat pelik dan menjengkelkan apabila rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa negara dengan baik. Jika warga Bangladesh boleh berbahasa Melayu dengan baik dalam jangkamasa tidak sampai setahun tinggal di bumi bertuah ini, kenapa rakyat Malaysia yang lahir di sini bergenerasi tidak dapat menguasai BM dengan baik?

Ini ada kaitan dengan sikap kita. Memandang BM sebagai bahasa bangsa Melayu bukan bahasa kebangsaan atau bahasa negara. BM tidak penting, tidak ada nilai. Jika disenaraikan bahasa yang mesti dikuasai hari ini. Saya yakin BM akan menduduki tempat terakhir. Mereka (ultra kiasu) lebih mengutamakan bahasa ibunda terlebih dahulu, diikuti bahasa Inggeris, tidak mustahil bahasa Jepun dan lain-lain bahasa. BM di mana? BM tidak ada nilai.

Saya menyeru kepada pemimpin negara, berhentilah berpolitik. Negara China dan Jepun, tidak ramai rakyat boleh berbahasa Inggeris, semua menggunakan bahasa ibunda, negara ini terus maju. Begitu juga negara-negara lain seperti Thailand, Vietnam dan sebagainya. Negara Filipina, bahasa Inggerisnya cair, tetapi masih tidak maju. Apakah bahasa penentu atau tanda aras kepada kemajuan sesebuah negara?

Apa yang menentukan kemajuan sesebuah negara? Bukan bahasa tetapi sikap. Sikap yang lebih penting. Justeru, sikap perlu berubah. Jika tidak, sikap memandang rendah agenda negara  mesti diubah. Bagaimana cara mengubah? Kuatkuasakan undang-undang.

Saya amat yakin, keadaan negara ini pasti akan berubah jika kedudukan BM benar-benar didaulatkan. Kenapa ramai pelajar bukan Melayu boleh skor A dalam BM ketika PT3 (PMR) dan SPM. Jawapan mudah, sebab telah dikuatkuasakan sebagai syarat lulus dan dapat sijil. Jika tidak ada syarat demikian, jangan harap BM akan dipelajari dan diusahakan untuk lulus dengan cemerlang.

Tidak ada gunakan dapat A dalam BM dalam SPM jika BM sekadar hafalan untuk lulus peperiksaan. Bila diuji pelajar yang mendapat A ini daripada segi komunikasi, amat menyedihkan. Kedengaran bunyi bahasa seperti bulung bulung telebang di angkase, itulah hasilnya.

Sesiapapun tidak menafikan kepentingan mempelajari bahasa asing. Bodohlah jika ada yang menolak kelebihan mempelajari bahasa asing. Tetapi janganlah kerana terlalu obsess dengan bahasa asing, bahasa negara merempat di bumi sendiri.

Inilah yang sedang berlaku di Malaysia. Kita sangat berbangga dengan diversiti yang ada di Malaysia, warna-warni Malaysia. Semua orang bangga. Saya pun bangga. Tetapi bagaimana dengan agenda negara.

Saya amat bimbang, sekiranya kita terus memandang remeh perkara ini dan tidak tegas dalam perlaksanaan BM, kita tidak akan ke mana-mana. Nak kata kita hebat sangat, tidak juga. Malah, negara Thailand dan Vietnam sudah mula mengorak langkah meninggalkan kita.

Kenapa negara Thailand agak terkehadapan berbanding dengan negara kita daripada segi kemajuan ekonomi dan pertanian? Adakah kerana kebolehan orang Siam berbahasa Inggeris. Jawapannya, tidak. Jati diri orang Siam sangat kuat. Jatidiri inilah yang telah membangunkan dan melonjakkan negara Thailand. Sanggup mati untuk Siam. Berkorban apa sahaja. Harta ataupun nyawa.

Sana sini semuanya Siam. Semua maklumat dalam bahasa Siam. Segala produk dan bahan penyiaran semuanya ‘disiamkan’ terlebih dahulu sebelum dibawa keluar

Pendek kata, Thailand berjaya melahirkan rakyat yang sanggup mati untuk negara. Sebab itu di Thailand, tidak ada kategori atau pengkelasan bangsa. Semuanya bangsa Siam, tidak kiralah sama ada asal usul mereka ada yang bukan Siam. Orang Cina di Thailand tidak lagi dikenali sebagai Cina, tetapi mereka adalah orang Siam.

Jika ada orang Cina Thailand mengaku mereka adalah orang Cina, pasti mereka akan dihantar balik .

Berbanding dengan negara kita, bahasa asing lebih didaulatkan di sana sini. Semua maklumat dalam bahasa asing. BM menjadi bahasa merempat. Lihatlah maklumat papan tanda, produk, siaran TV radio dan sebagainya. Berapa banyak rancangan dalam BM berbanding dengan bahasa asing?

Jangan pergi jauh, masuklah ke dalam semua bank komersial yang ada, semuanya dalam bahasa asing. Ini tidak termasuk nama-nama yang sudah bertukar, Kedai Telekom menjadi TM Point, Bank Bumiputera menjadi CIMB dan sebagainya. Apakah begitu hina menggunakan perkataan BM seoerti “kedai”, “bumiputera” dan lain-lain bahasa Melayu. Apakah BM ini terlalu hina, sehingga tidak ada lagi nama-nama taman perumahan atau nama bangunan komersial menggunakan BM. Semuanya sudah menjadi Verge, Conezion, Velocity, Time Square, Queensbay, Eastin, D’Casa dan macam-macam lagi. Majoritinya langsung tidak ada kena mengena dengan bangsa-bangsa yang ada di negara kita ini.

Kenapa begitu mudah nama-nama ini diluluskan? Apakah tugas Majlis Perbandaran atau Majlis Tempatan (Daerah) hanya meluluskan? Yang DiPertua Perbandaran atau Pegawai Perancang Bandar buat apa? Makan gaji buta?

Hina sangatkah nama seperti Mawar, Melati, Melur, Kencana, Pertama, pertama dan lain-lain nama-nama Melayu yang indah yang boleh diletakkan kepada  nama kepada taman perunahan dan bangunan komersial. Apakah pelancong tidak akan membeli atau membeli belah dalam bangunan komersial yang menggunakan nama BM dalam bangunan komersialnya.

Sebenarnya pelancong datang di Malaysia mahu cari apa? Cari nama orang putih? Cari arak? Cari pelacur? Atau mahu cari apa? Tidak kah mereka mahu mencari suatu kelainan dalam negara ini. Mengenali adat budaya, cara hidup kita dan sebagainya.

Jika mahukan bahasa mereka sendiri atau cara hidup mereka sendiri seperti, arak, pelacur, judi dan lain-lain, mereka semua sudah ‘mandi’ dengan semua kemaskiatan itu di negara sendiri. Mereka sebenarnya mahu apa berkunjung ke negara kita? Jangan lah kita terlalu perasan dengan mengatakan pelancong akan lari jika arak dan pelacur tidak disajikan. Mereka sudah mandi dengan semua kemaksiatan itu.

Amat memalukan bila pelancong datang ke sini, kita sajikan lagu rock yang mereka sudah pun terlebih rock. Tidakkah ketika itu mereka mahu mendengar keroncong, inang, zapin dan sebagainya?

Terbaharu, saya ‘tertengkar’ dengan ‘tok guru’ atau professor yang lebih tua daripada saya. Bila saya membangkitkan isu kenapa Thailand dan Indonesia lebih berjaya dalam pembinaan jati diri dan pembangunan negara bangsa. Profesor ini menjawab, “ada apa dengan Thailand dan Indonesia, mereka bergaduh sesama mereka dan saling menjatuh antara satu sama lain”.

Saya sungguh terkejut bagaimana seorang professor boleh berkata sedemikian. Thailand dan Indonesia, hanya ‘bergaduh’ dalam soal masalah dalaman mereka. Negara mereka terus bergerak maju. Rakyat mereka sangat setia kepada tanahair. Malah sanggup mati mempertahankan jati diri negara, seperti agama, bangsa dan negara.

Contoh Thailand, walaupun pemerintah mereka dan parti mereka sering bertukar, kesetiaan dan ketaatan mereka kepada Raja, Buddha dan identiti Siam, tidak berbelah bahagi. Begitu juga Indonesia. Mereka sanggup mati untuk itu, meskipun ada pemimpin mereka dijatuhkan dalam kalangan mereka (tentera).

Tetapi, tidak kita, berapa ramai yang sanggup mati untuk agama, bangsa dan negara. Kita belum diuji. Suatu hari nanti jika diuji dengan peperangan, baharulah kita menepuk kepala, siapa yang setia, siapa yang tidak? Siapa yang akan sanggup mati, siapa yang akan lari. Sekarang ini pun sudah berapa ramai yang lari? Saya amat yakin ramai yang akan lari.

Mungkin ada yang sinis dengan pena saya. Tetapi saya amat yakin, saya dapat merasakan percikannya. Mungkin yang lain tidak merasai kerana kita terlalu berpolitik. Agenda negara sanggup diketepikan kerana kepentingan politik dan kuasa.

Dipetik dari FB Riduan Tee.

Khamis, 21 September 2017

Apa itu Rasuah?

Apa itu Rasuah?

hadiah vs rasuah
Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.
Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.
Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694)terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:
  1. Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
  2. Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
  3. Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18Akta SPRM 2009]
  4. Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23Akta SPRM 2009]
Di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Gagal Melapor

1. Gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah
  • Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009
  • DENDA : Tidak lebih RM100,000  
  • PENJARA : Tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali  
2. Gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan
  • Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009
  • DENDA : Tidak lebih RM10,000 
  • PENJARA : Tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali 

Anda Dilindungi

Masyarakat tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan PEMBERI MAKLUMAT adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.
  1. PEMBERI MAKLUMAT adalah orang yang membuat pendedahan tentang jenayah rasuah berdasarkan pengetahuannya. Mereka dilindungi di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009.
  2. PEMBERI MAKLUMAT boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
  3. PEMBERI MAKLUMAT yang menjadi SAKSI bagi sesuatu kes rasuah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

Ahad, 5 Februari 2017

HARGA MINYAK NAIK IKUT KADAR YANG BETUL KE TAK? KAMI KIRA DAN INI JAWAPANNYA

EKONOMI

HARGA MINYAK NAIK IKUT KADAR YANG BETUL KE TAK? KAMI KIRA DAN INI JAWAPANNYA

February 3, 2017

Tepat jam 12 tengah malam pada 1 Februari 2017, sekali lagi kita dapat berita minyak naik. Tiap kali harga minyak naik, tiap kali tu jugaklah orang ramai akan bersesak kat petrol station, dan tiap kali jugaklah orang ramai lepas geram kat Najib.
Muka dua posen.
Apa sebenarnya yang menentukan harga minyak kat Malaysia ni sebenarnya? Main tekan je ke dalam kalkulator? Time harga minyak mentah dunia naik, harga minyak Malaysia naik sekali. Tapi time harga minyak mentah dunia turun, harga minyak Malaysia tak pulak turun.
Benda ni la yang kami cuba nak kira dalam artikel ni, tapi nak start pun punyalah susah sebabnya…

Tiap kali minyak naik, penerangan kerajaan berbeza-beza

Dalam bulan lepas je, ada DUA penerangan oleh gomen yang buat kitorang konfius, dan apa yang kitorang faham daripada setiap penerangan adalah:
a) Harga minyak naik ikut harga minyak mentah dunia 
Klik untuk artikel di Utusan.
Bila harga petrol dan diesel naik hujung tahun lepas, Pengarah Komunikasi Stra­tegik Kementerian Kewangan kata ianya adalah disebabkan kenaikan harga minyak mentah dunia.
“Apabila harga pasaran minyak mentah dunia meningkat pada bulan ini, maka penetapan harga runcit bagi bahan api tersebut di pasaran Malaysia juga dijangka meningkat,” – Pengarah Komunikasi Stra­tegik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam, dipetik daripada Utusan.
So kalau harga minyak mentah turun, petrol kita boleh turun jugak ke? Tak jugak, sebab…
b) Harga minyak naik bukannya ikut harga minyak mentah dunia
Bila harga petrol naik lagi awal bulan ni, Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) kata “petrol yang digunakan untuk kenderaan bukanlah minyak mentah, sebaliknya telah diproses terlebih dahulu.”
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara ulang kenyataan ni dengan mengatakan harga petrol kat Malaysia ni sebenarnya ikut harga minyak yang diproses (ditapis).
“Harga produk petroleum di peringkat runcit tidak berkait secara langsung dengan harga minyak mentah. Ini kerana harga runcit berkait rapat dengan harga produk yang telah ditapis, dan harga produk yang ditapis ini berbeza bagi produk-produk yang berlainan.” – Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Dipetik dari New Straits Times.
Waaaa…confuse…Imej dari Giphy.
Arghhhh pening! Konfius! Siapa yang betul ni? Macam mana nak kira? Kira pakai sempoa ke? Untuk mendapatkan kepastian, kitorang tengok beberapa sumber-sumber lain dan ini yang kitorang dapat…
Harga minyak kat pam masih berkait dengan minyak mentah, walau bukan secara langsung
Imej asal daripada Berita Harian.
Daripada Harakah Daily:
Harga minyak mentah semasa dunia sememangnya berkait secara langsung dengan harga petrol semasa iaitu harga bahan petroleum yang telah diproses seperti gasolin (petrol), kerosin dan diesel akan bergerak seiring dengan pergerakan harga minyak mentah.
Daripada Business Circle:
Harga minnyak mentah dunia berlegar sekitar $50/setong, separuh daripada tahun lepas. Kat Malaysia, ini telah membawa kepada kos yang lebih murah di pam minyak.
Malah daripada sebuah badan kerajaan sendiri iaitu PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan):
“Malah, harga di pam bukanlah semata-mata bergantung kepada harga minyak mentah…”
“Bukan semata-mata” tu maknanya… bergantung jugaklah sikit, kan? Walaweh pecah kepala… Oleh kerana benda ni sebenarnya agak kompleks, jom kita cuba tengok satu-persatu tentang macam mana harga minyak kat Malaysia dikira.
Perkara pertama yang kita kena tau adalah, Malaysia menguruskan perubahan harga minyak menggunakan ‘sistem apungan’…

Menatang jadah apakah ‘sistem apungan’ ni?

“Takde”, kata auntie tersebut tanpa ragu-ragu. Gambar dari fjjournal.blogspot.my
‘Sistem apungan terkawal’ atau managed float (dalam kes harga minyak kita) cumalah satu prinsip ekonomi di mana kerajaan cuba kawal harga dalam negara supaya rakyat tak terkesan sangat dengan harga dunia yang sentiasa berubah-berubah.
Menurut Business Circlesebenarnya kita dah lama guna managed float ni, tapi at least dulu gomen bagi subsidi untuk menyerap lagi kos minyakTapi pada Disember 2014, subsidi ni telah ditarik balik. Jadi time tu la kita start dengar pasal istilah pelik-pelik termasuklah managed float.
“Secara teknikal, sistem “managed float” sudah wujud sejak – malah lebih awal dari – awal 90-an sebelum krisis ekonomi Asia; namun rakyat tidak terdedah kepadanya kerana kerajaan telah menambah subsidi dan menyerap perbezaan antara kos sebenar dan harga yang dibayar pada pam, supaya harga petrol sama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.” – dipetik daripada Business Circle.
Di bawah managed float, cara pengiraan yang kita pakai adalah Automatic Pricing Mechanism (APM) yang dah digunakan sejak tahun 1983 lagi. Menurut Harakah Daily, APM sepatutnya digunakan supaya untuk menjaga rakyat Malaysia, tapi kini motif tersebut makin dilupakan:
“Ia (APM) diguna pakai oleh pihak pemerintah pada asalnya untuk memastikan bahan api yang dijual kepada rakyat Malaysia umumnya adalah bersesuaian dengan kos sara hidup dan ekonomi semasa.
Namun begitu, apabila Perdana Menteri silih berganti maka tujuan asal sistem APM ini dilaksanakan mula dilupakan demi mencapai imej populis dalam kalangan rakyat demi menunjukkan bahawa kerajaan benar-benar mengambil tahu tentang masalah rakyat.”
Ok… perkara seterusnya yang kita nak tau adalah… macam nak kira harga minyak guna menatang jadah APM ni?

Jom kita kira harga minyak guna formula APM!

Jom kita mengira! Imej dari Giphy.
Sembang banyak tak guna, jom kita kira. Mengikut YB Khairy Jamaludin, ini cara pengiraan yang menggunakan formula APM:
Harga MOPS semasa + kos operasi + margin syarikat minyak + margin dealer stesen minyak + alpha = HARGA MINYAK
Ok ini makna-makna komponen dalam formula ni, nak skip pun takpe sebab takkan masuk exam:
  • MOPS: Harga dari Mean of Platts Singapore (MOPS). Ini kerana Singapura adalah pembekal terbesar produk petroleum yang dah diproses kat Asia Pasifik dan ketiga terbesar kat dunia. Selain tu, harga minyak MOPS ni jugak dah termasuk sekali dengan kos penapisan (proses).
  • Kos operasi: Kos operasi termasuk kos pengangkutan yang dah ditetapkan oleh kerajaan sebanyak 9.54 sen seliter.
  • Margin keuntungan syarikat minyak: Kerajaan tetapkan 5 sen seliter untuk petrol.
  • Margin Keuntungan pengusaha stesen minyak : Kerajaan tetapkan 12.19 sen seliter.
  • Alpha: Perbezaan antara harga MOPS dan harga sebenar yang dibeli syarikat minyak. Telah ditetapkan 5 sen seliter.
Dalam banyak-banyak nombor kat atas, cuma harga MOPS yang berubah-ubah, harga lain semuanya dah ditetapkan (kadar terkini kitorang dapat kat PEMANDU):
Jadi kalau ikut formula APM tadi:
Harga MOPS semasa + 9.54 sen + 5 sen + 12.19 sen + 5 sen = HARGA MINYAK
Jadi macam mana pulak nak dapatkan harga MOPS tu? Harga MOPS ni boleh kita dapat kat web Australian Institute of Petroleum cuma harganya ikut Dolar Australia. Pertama sekali kita kena tengok harga purata MOPS95 PETROL dalam tempoh 4 minggu lepas.
Ambik harga purata 4 minggu. Imej dari Australian Institute of Petroleum.
Ingat, 58.8 sen tu dalam duit Australia so kita kena tukar kepada RM mengikut purata bulan sebelumnya (Januari). Secara anggarannya, purata RM ke AUD bagi Januari adalah 3.35.
(58.8 sen x 3.35) + 9.54 sen + 5 sen + 12.19 sen + 5 sen = HARGA MINYAK
Dan kita akan dapat..
196.98 sen + 9.54 sen + 5 sen + 12.19 sen + 5 sen = 228.71 sen / RM 2.29 sen!
So harga yang kitorang dapat untuk minyak RON95, bila dibundarkan adalah RM2.29 sen seliter. Nak bandingkan dengan harga yang gomen umumkan iaitu RM2.30, ia sepatutnya murah 1 sen je la, huhu…
Masalahnya…. kiralah sampai muntah sekalipun, harga ni mungkin tak tepat sebab menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ada keluarkan kenyataan yang kerajaan tak akan dedahkan cara pengiraan sebenar!
Adoi sakit hati mak~~~

Patut ke subsidi minyak dikembalikan?

Baru-baru ni Pemuda PAS ada mendesak kerajaan supaya kembalikan semula subsidi minyak. PAS Sarawak pulak kata kerajaan sepatutnya bagi subsidi minyak kat golongan berpendapatan rendah dan sederhana, kalau harga runcitnya terus naik setiap bulan.
Pakcik ni dah 42 tahun minum minyak. Tak kisah pun dia dengan subsidi. Imej dari China Daily.
Bagaimanapun menurut Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Malaya, Prof Madya Fatimah Kari, kalau subsidi minyak dikembalikan, ia mesti disusun semula. Kerajaan jugak tak boleh kekalkan cara subsidi yang ada sebelum ini.
“Subsidi yang sebelumnya banyak ketirisan. Pada masa kini, masih ada komponen subsidi tapi tidak sebesar dulu. Cuma, segala kos subsidi yang ditarik disalurkan menyedia pengangkutan awam (MRT) di bandar-bandar utama, jadi kesan ‘offset’ nya hanya untuk orang bandar.” – Prof Madya Dr Fatimah Kari, Jabatan Ekonomi Universiti Malaya, jawapannya kepada SOSCILI.
Oleh tu, kerajaan patut membangunkan banyak program yang di luar bandar dengan lebih agresif lagi untuk mengimbangi pembangunan di bandar.

Rakyat Malaysia perlukan ketelusan!

Jangan kita jadi macam ni sudah…Imej asal dari Evening Standard.
Menurut Prof Madya Dr Fatimah Kari lagi, kenaikan harga minyak di Malaysia sepatutnya tak berlaku:
Trend harga minyak dunia stabil dan tidak ada trend yang dianggap meningkat dalam jangka masa 6 bulan yang lepas. Ini agak menghairankan dan harga minyak domestik tidak sepatutnya meningkat.” – Prof Madya Dr Fatimah Kari, Jabatan Ekonomi Universiti Malaya, jawapannya kepada SOSCILI.
Namun semua benda ni akan kekal sebagai spekulasi selagi kerajaan tak dedahkan cara kira harga minyak yang sebenar, walaupun setelah didesak oleh pakar ekonomi.
Jadi buat masa sekarang ni, kita cuma boleh tunggu je lah tiap-tiap bulan, bukan untuk masuk duit gaji, tapi untuk tau samada harga minyak naik ke turun :( 
*Terimakasih SOSCILI*