Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Jumaat, 16 Februari 2018

IDEALISME IBLIS YANG MENJAHANAMKAN POLITIKUS.


IDEALISME IBLIS YANG MENJAHANAMKAN POLITIKUS.

Kitab Talbis Iblis karangan Imam Abu Faroj al-Jauzi merupakan kitab tasawwuf yang membongkar strategi Iblis dalam menyesatkan manusia ketika mereka melakukan perbuatan yang dianggap asalnya baik.

Penerangan-penerangan di dalam kitab Talbis Iblis amat menyentap menyebabkan sesetengah golongan cukup tidak senang dengan kitab tersebut. Imam Abu Faroj al-Jauzi turut mendedahkan bagaimana penguasa boleh menjadi jahat.

Sungguhpun beliau menggunakan istilah 'salatin' yang bermaksud penguasa-penguasa, kita perlu memahaminya sebagai politikus dalam konteks realiti hari ini. Hal ini kerana sesiapa pun di kalangan politikus berpeluang menjadi penguasa.

Selain dari sikap licik mahir bermuka-muka, Imam Abu Faroj al-Jauzi menyenaraikan 12 taktik Iblis dalam merosakkan politikus:

⚫ 1) Kononnya Menang Kerana Disayangi Allah.

Politikus sering kali mengkaitkan kemenangannya sebagai bukti Allah memilih dan menyayanginya. Walhal mereka tidak serius dengan syariat Allah. Sedangkan berapa banyak di dalam sejarah, Allah memberi peluang kepada golongan zalim sebagai penguasa. Imam Abu Faroj al-Jauzi mengingatkan:

"Jika mereka benar-benar wakil Allah, sudah pasti mereka melaksanakan hukum-hakamNya. Pada saat itulah mereka merupakan orang yang dicintai Allah kerana taat kepadaNya"

⚫ 2) Anti Hujah Ilmu.

Politikus menganggap kuasa adalah segala-galanya. Mereka merasa rimas dengan hujah-hujah ilmu. Bahkan politikus suka mengambil kesempatan terhadap kejahilan orang-orang bawahan terhadap agama. Semakin jahil orang bawah, semakin menselesakan politikus di tampuk kuasanya. Dari kejahilan tersebut, memberi peluang kepada politikus untuk menipu dan menyeleweng.

⚫ 3) Takut Dengan Bayang-bayang Sendiri.

Politikus yang tersampuk dek Iblis pasti akan takut dengan bayang-bayang sendiri. Sentiasa merasa takut. Mereka membayangkan semua orang amat berpotensi menggugat kuasanya. Imam Abu Faroj al-Jauzi berkata:

"Iblis menghasut para politikus agar sentiasa merasa takut terhadap musuh. Lantas menyebabkan mereka sentiasa mengukuhkan pertahanan supaya apa yang ada di tangan tidak terlepas"

Dari paranoid inilah, politikus boleh melancarkan pelbagai fitnah ke atas sesiapa yang dianggap boleh menggugat survival politiknya.

⚫ 4) Membela Pengampu Yang Bodoh.

Politikus suka dipuja dan dipuji oleh pengampu. Walaupun secara separa sedar mereka tahu bahawa hubungan mereka penuh kepalsuan, namun itulah nilai 'persaudaraan' politikus. Imam Abu Faroj al-Jauzi mendedahkan:

"Mereka melantik orang-orang yang tidak mampu dan bodoh agar mudah dipergunakan"

⚫ 5) Melupakan Nas, Bertuhankan 'Political Mileage'.

Politikus terlalu obses terhadap politik. Apa-apa yang menghalang nafsu politiknya akan dianggap sebagai pengacau, termasuklah nas dari Allah dan RasulNya. Justeru mereka lebih selesa berpegang dengan pandangan sendiri. Jika dikritik bahawa tindak tanduk politikus bercanggah dengan kejujuran beragama, mereka dengan angkuh mengatakan inilah politik. Kononnya terdapat ruang vakum dalam Islam yang boleh diisi dengan tipu daya politik. Imam Abu Faroj al-Jauzi menjelaskan:

"Ini merupakan tipu daya yang paling dahsyat, kerana syara' merupakan peraturan Ilahi. Mustahil ada ruang vakum dalam peraturan Allah yang menyebabkan makhluk boleh menjalani kehidupan sesuka hati"

⚫ 6) Tamak Membolot Peluang Material.

Apabila berkuasa, politikus percaya bahawa mereka menguasai segala-galanya. Termasuklah duit yang sedang berada di dalam poket-poket orang bawahannya. Mereka menyuruh orang bawahan mereka agar berkorban dan berjimat, sementara mereka sentiasa mengambil kesempatan. Maka jadilah politik peras ugut dan pembaziran secara sekali gus.

⚫ 7) Menganut Machiavellianisme.

Politikus cukup tegar berpegang dengan anutan matlamat menghalalkan cara. Semua tindakan walaupun dosa boleh dilakukan atas alasan demi kepentingan dan kebaikan bersama. 

Imam Abu Faroj al-Jauzi menjelaskan bahawa Iblis menghasut politikus agar bebas berbuat apa sahaja. Bermuka-muka, pragmatis, penipu, khianat dan fitnah sudah sebati bagi mereka.

Kononnya itulah jalan yang ada demi mengekalkan stabiliti taklukan bawahannya. Bukankah Allah memberi kepercayaan kepada politikus? Maka sudah pasti politikus layak berbuat apa sahaja. Itulah kepercayaan mereka.

⚫ 8) Kononnya Kompeten.

"Iblis memperdaya majoriti politikus bahawa kononnya mereka telah melaksanakan segala kewajiban" - Imam Abu Faroj al-Jauzi.

Dari sikap merasa selesa tersebut, mereka akan melenting apabila dikritik. Pada masa yang sama mereka sentiasa merasa terbaik, walaupun ia tidak diungkap dengan kata-kata. Namun sikap politikus yang sensitif dengan kritikan menterjamahkan masalah jiwa yang mereka alami. Jadilah mereka sebagai penguasa berkuku besi.

⚫ 9) Pemeras Cukai Yang Tegar.

Politikus yang sedang berkuasa sesuka hati mengenakan cukai kepada rakyat. Mereka menganggap kononnya rakyat sedang bermewah menikmati kesenangan. Lantas datang kedengkian terhadap rakyat mereka sendiri.

Sedangkan yang membazirnya adalah mereka. Lalu dari mudahnya mereka memeras ugut rakyat, berlakulah penyelewengan harta negara sesama kroni-kroni mereka. Imam Abu Faroj al-Jauzi menegaskan:

"Iblis menghasut mereka agar merasa bagus dengan tindakan merampas harta, memerintahkan rakyat untuk mengeluarkan cukai yang mencekik. Lantas mereka mengangkat golongan pengkhianat. Sedangkan seharusnya seorang penguasa perlu mengambil tindakan secara nyata ke atas sesiapa pun yang berkhianat"

⚫ 10) Beri Bantuan Setelah Menghina.

Politikus cukup suka mengamalkan birokrasi sebagai kaedah menyukarkan bantuan dari sampai kepada mereka yang berhak. Bahkan politikus menganggap bantuan sebagai umpan yang perlu bijak disua hanya setelah tiba waktunya. Dalam erti kata yang lain, mereka suka orang-orang bawahan mereka susah. Apabila susah, maka semakin bertambahlah kebergantungan orang terhadap mereka.

Sudah menjadi kebiasaan situasi orang bawahan yang berhak terpaksa kelihatan mengemis semata-mata mahu mendapatkan bantuan dari pemimpin mereka. Imam Abu Faroj al-Jauzi berkata:

"Iblis menjadikan mereka beranggapan diri mereka baik menghulurkan bantuan setelah marah-marah. Iblis menghasut bahawa sedekah satu dirham dapat menghapuskan sepuluh kemarahan"

⚫ 11) Aktiviti Membilas Dosa.

Imam Abu Faroj al-Jauzi mendedahkan:

"Iblis menjadikan mereka memandang bagus segala dosa yang terus dilakukan dengan mengunjungi orang soleh dan meminta doa mereka. Pada sangkaan mereka kononnya aktiviti tersebut dapat meringankan dosa yang telah dilakukan"

Kerap kali kita melihat politikus sial suka menempel dengan orang-orang yang kelihatan soleh. Apabila menjelang musim pemilihan atau terpalit dengan skandal, maka aktiviti tersebut semakin digiatkan. Di samping untuk 'mencuci dosa', mereka cuba menghantar mesej bahawa orang soleh mendukung mereka.

⚫ 12) Selesa Bersubahat.

Pengampu-pengampu politikus sedia melakukan apa sahaja, ikut apa sahaja walaupun dalam perkara dosa. Pada logik mereka kononnya dosa tersebut semata-mata ditanggung oleh ketua mereka yang mengeluarkan arahan. Sementara mereka tidak berdosa kononnya kerana mereka hanya menjadi alat. Selalu kedengaran jawapan 'kami hanya menuruti arahan' dari golongan pengampu seperti ini. Iblis membisikkan di hati mereka bahawa:

"Dosa akan ditanggung oleh orang atasanmu, bukan di atas bahumu"

⚫ Politik Adalah Amanah.

Kita perlu faham bahawa politik merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Ia bukalah karier cari makan mahupun perniagaan yang boleh didagangkan.

Peringatan dari Imam Abu Faroj al-Jauzi yang juga merupakan cucu kepada Saidina Abu Bakar amat relevan untuk dijadikan sempadan hingga ke hari ini. Semoga kita tidak mengikuti idealisme Iblis dalam berpolitik.

Abdul Mu'izz Muhammad
15 Febuari 2017.

Rabu, 7 Februari 2018

Paya Kangsa Birding Expedition

Jom pada 23-24hb Febuari 2018 nanti sertai ''PAYA KANSAR BIRDING EXPEDITION''.

Lebih 32 spp burung hijrah & residen yang diantaranya dilindungi sepenuhnya menjadi penghuni Paya Kangsa.