Kesahihan sidang dewan dipertikai
KUANTAN: Mesyuarat Dun Pahang, penggal pertama, Selasa lalu, menyaksikan kewibawaan pembangkang mencabar kerajaan BN yang diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob.
Perdebatan hari pertama hangat apabila wakil pembangkang membawa usul menangguh sidang dewan negeri kerana mempertikaikan kesahihan majlis mesyuarat dewan pada 11 Disember lalu.
Semua ahli dewan hadir kecuali Adun Chenor yang juga Timbalan Menteri Besar Pahang, Dato' Tan Mohd Aminuddin Ishak.
Usul itu dibawa oleh Adun Kuala Pahang, Mohd Iqbal Hamdi Rusdi melalui peraturan 17, dibaca bersama peraturan 26 (1) (D), peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Negeri Pahang.
Perbahasan itu turut mengheret mengenai peranan dan tarif 'caretaker Government'.
Menurut Hamdi, mesyuarat Dewan pada 11 Disember 1999 lalu tidak sah menurut undang-undang tubuh Kerajaan Pahang dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan kerana majlis mesyuarat Kerajaan tidak pernah memberi nasihat kepada Sultan supaya Baginda memanggil mesyuarat.
Menurut Hamdi, mengikut peraturan 1, peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Negeri Pahang pada 11 Disember 1999 selepas pilihan raya Dewan adalah tidak sah, dan oleh itu batal kerana alasan di atas.
"Maka urusan-urusan memilih Yang Dipertua mengangkat sumpah dan ahli-ahli mesyuarat mengangkat sumpah juga dan tidak sah," tegasnya.
Hamdi juga menyatakan peraturan 8 peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Negeri Pahang, mesyuarat pertama dewan selepas pilihan raya pada 11 Disember 1999 adalah tidak sah dan oleh itu batal kerana notis 14 hari tidak diberi kepada ahli-ahli mesyuarat.
Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob bingkas bangun meminta laluan bagi mempertahankan kesahihan mesyuarat.
Perbahasan menjadi semakin hangat apabila isu 'caretaker Government' dibangkitkan Adnan bagi mempertahankan tindakan pihaknya.
Perdebatan Adnan dan wakil-wakil pembangkang memakan masa hampir satu jam turut melibatkan Adun Tahan, Abdul Malik Yusof, Adun Semantan, Ustaz Idris Omar dan Adun Jengka, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menyedari perbahasan semakin menyulitkan, Adnan meminta Yang Dipertua Dewan menggunakan kuasa menangguh perbahasan di Sidang Dewan.