Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Rabu, 27 Februari 2008

Tengku Azlan bertembung lagi seteru politik

INI merupakan pertembungan kali kedua Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar calon Barisan Nasional (BN) dengan seteru politiknya Dr. Hamzah Jaafar, 43, dari Pas bagi merebut kerusi Parlimen Jerantut pada Pilihan Raya Umum ke-12.
Tengku Azlan selaku Ketua UMNO Bahagian Jerantut itu pernah menewaskan calon Pas pada pilihan raya umum 2004 lalu dengan memperoleh 21,160 undi berbanding Hamzah yang mendapat 12,904 undi.
Jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Jerantut pada pilihan raya lalu ialah seramai 46,059 orang.
Berdasarkan prestasi semasa, pemerhati politik meramalkan Tengku Azlan akan terus mengekalkan kerusi Parlimen Jerantut.
Ia berasaskan kepada perpaduan di kalangan pemimpin UMNO bahagian dan BN serta kekuatan jentera pilihan raya dengan bantuan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang membuat persiapan lebih awal menerusi program 'turun padang.'
Tengku Azlan berkata, beliau akan meneruskan usaha pembangunan di daerah Jerantut dengan memberi fokus kepada kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi projek infrastruktur bagi merancakkan pembangunan sektor pertanian dan pelancongan.
Menurut beliau, banyak kemudahan pendidikan termasuk latihan kemahiran kepada belia dan lepasan sekolah di Jerantut menerusi pembinaan Kolej Komuniti dan pusat-pusat latihan di kawasan Temin, tidak jauh dari bandar Jerantut.
''Dalam keadaan sekarang, perkara utama yang perlu diberi tumpuan ialah mewujudkan perpaduan di kalangan penduduk serta memperkukuhkan jentera pilihan raya daripada semua parti komponen BN bagi memastikan kemenangan semua calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini," katanya ketika ditemui di sini.
Parlimen Jerantut mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi Damak, Pulau Tawar dan Tahan.
Calon BN bagi DUN Damak, penyandangnya Datuk Lau Lee dari MCA akan menghadapi tentangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Noor Jaafar, 56, dan Koh Boon Heng, 53, calon Bebas.
Bagi DUN Pulau Tawar, penyandangnya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail dikatakan tidak menghadapi masalah untuk menghadapi lawannya daripada Pas yang juga seorang peneroka, Ishak Abdul Ghani, 54, pada pilihan raya umum kali ini.
Ahmad Shukri yang berkelulusan doktor perubatan dari Universiti Cairo, Mesir memenangi kerusi DUN Pulau Tawar pada 2004 lalu dengan memperoleh 8,434 undi mengalahkan calon Pas, Mohamed Wahid yang mendapat 4,912 undi daripada 16,826 pengundi berdaftar.
Bagi DUN Tahan, BN meletakkan calon muka baru, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak, 36, untuk menghadapi calon wanita daripada Pas, Nuridah Mohd. Salleh, 47.
Tugas Wan Amizan ialah bagi mengekalkan kerusi DUN Tahan yang pernah dimenangi BN, Ahmad Jaafar pada pilihan raya umum 2004 mendapat 4,867 undi setelah mengalahkan calon Pas, Abdul Malik Yusof 3,427 undi daripada seramai 10,860 pengundi.

Tiada ulasan: