Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Isnin, 25 September 2017

Viral Pegawai JPJ Boleh Berbahasa Cina . Masih Ramai Warganegera Malaysia Tak Fasih Berbahasa Melayu

Hebat sangatkah boleh berbahasa asing?

Heboh satu Malaysia, menjadi viral apabila seorang staf JPJ berbangsa Melayu menggunakan bahasa Cina berinteraksi dengan dua pelajar Cina daripada China, ketika berurusan di kaunter. Semua netizen memuji. Tetapi kita pernah hebohkan atau viral beratus ribu, malahan juta rakyat Malaysia yang masih tidak boleh berbahasa kebangsaan atau berbahasa Melayu dengan baik. Apa sudah jadi? Kera di hutan disusukan, anak di ruamh mati tak makan.

Saya tidak pernah hairan jika orang Melayu boleh berbahasa Cina (Mandarin). Ini adalah perkara biasa dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, apatah lagi kita mempunyai Sekolah Vernakular. Anak saya semuanya boleh berbahasa Cina. Saya anggap itu sebagai kredit atau kelebihan, bukan satu kebanggaan yang patut saya megahkan.

Apa guna hebat berbahasa asing jika bahasa sendiri merempat di bumi sendiri? Dalam taklimat Hari Malaysia baru-baru ini bersama Parti Cina (MCA), PM mengingatkan orang Cina supaya dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Saya harap MCA faham maksud PM. Jangan hanya melepaskan batuk ditangga. Sambut Hari Malaysia semata-mata untuk sambut. Realitinya, sambutan itu hanya kulit semata-mata. Isinya kosong.

Saranan PM ini sangat baik, tetapi ia tidak akan berjaya jika tidak diinstitusikan atau diundang-undangkan perkara ini. Dalam maksud, dikuatkuasakan melalui undang-undang.

Sudah sampai masanya BM disyaratkan sebagaia syarat utama untuk menjadi warganegara ini.
Jika pilihan diberikan, selagi itulah BM akan menjadi bahasa berdagang di negara sendiri

Kebolehan menguasai berbagai bahasa adalah sat kelebihan bukan satu kekuatan. Kekuatan sebenar adalah apabila rakyat Malaysia menghayati agenda negara sebenar. Jika BM itu adalah agenda negara, ia mesti disambut tanpa berkecuali.

Adalah sesuatu yang amat pelik dan menjengkelkan apabila rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa negara dengan baik. Jika warga Bangladesh boleh berbahasa Melayu dengan baik dalam jangkamasa tidak sampai setahun tinggal di bumi bertuah ini, kenapa rakyat Malaysia yang lahir di sini bergenerasi tidak dapat menguasai BM dengan baik?

Ini ada kaitan dengan sikap kita. Memandang BM sebagai bahasa bangsa Melayu bukan bahasa kebangsaan atau bahasa negara. BM tidak penting, tidak ada nilai. Jika disenaraikan bahasa yang mesti dikuasai hari ini. Saya yakin BM akan menduduki tempat terakhir. Mereka (ultra kiasu) lebih mengutamakan bahasa ibunda terlebih dahulu, diikuti bahasa Inggeris, tidak mustahil bahasa Jepun dan lain-lain bahasa. BM di mana? BM tidak ada nilai.

Saya menyeru kepada pemimpin negara, berhentilah berpolitik. Negara China dan Jepun, tidak ramai rakyat boleh berbahasa Inggeris, semua menggunakan bahasa ibunda, negara ini terus maju. Begitu juga negara-negara lain seperti Thailand, Vietnam dan sebagainya. Negara Filipina, bahasa Inggerisnya cair, tetapi masih tidak maju. Apakah bahasa penentu atau tanda aras kepada kemajuan sesebuah negara?

Apa yang menentukan kemajuan sesebuah negara? Bukan bahasa tetapi sikap. Sikap yang lebih penting. Justeru, sikap perlu berubah. Jika tidak, sikap memandang rendah agenda negara  mesti diubah. Bagaimana cara mengubah? Kuatkuasakan undang-undang.

Saya amat yakin, keadaan negara ini pasti akan berubah jika kedudukan BM benar-benar didaulatkan. Kenapa ramai pelajar bukan Melayu boleh skor A dalam BM ketika PT3 (PMR) dan SPM. Jawapan mudah, sebab telah dikuatkuasakan sebagai syarat lulus dan dapat sijil. Jika tidak ada syarat demikian, jangan harap BM akan dipelajari dan diusahakan untuk lulus dengan cemerlang.

Tidak ada gunakan dapat A dalam BM dalam SPM jika BM sekadar hafalan untuk lulus peperiksaan. Bila diuji pelajar yang mendapat A ini daripada segi komunikasi, amat menyedihkan. Kedengaran bunyi bahasa seperti bulung bulung telebang di angkase, itulah hasilnya.

Sesiapapun tidak menafikan kepentingan mempelajari bahasa asing. Bodohlah jika ada yang menolak kelebihan mempelajari bahasa asing. Tetapi janganlah kerana terlalu obsess dengan bahasa asing, bahasa negara merempat di bumi sendiri.

Inilah yang sedang berlaku di Malaysia. Kita sangat berbangga dengan diversiti yang ada di Malaysia, warna-warni Malaysia. Semua orang bangga. Saya pun bangga. Tetapi bagaimana dengan agenda negara.

Saya amat bimbang, sekiranya kita terus memandang remeh perkara ini dan tidak tegas dalam perlaksanaan BM, kita tidak akan ke mana-mana. Nak kata kita hebat sangat, tidak juga. Malah, negara Thailand dan Vietnam sudah mula mengorak langkah meninggalkan kita.

Kenapa negara Thailand agak terkehadapan berbanding dengan negara kita daripada segi kemajuan ekonomi dan pertanian? Adakah kerana kebolehan orang Siam berbahasa Inggeris. Jawapannya, tidak. Jati diri orang Siam sangat kuat. Jatidiri inilah yang telah membangunkan dan melonjakkan negara Thailand. Sanggup mati untuk Siam. Berkorban apa sahaja. Harta ataupun nyawa.

Sana sini semuanya Siam. Semua maklumat dalam bahasa Siam. Segala produk dan bahan penyiaran semuanya ‘disiamkan’ terlebih dahulu sebelum dibawa keluar

Pendek kata, Thailand berjaya melahirkan rakyat yang sanggup mati untuk negara. Sebab itu di Thailand, tidak ada kategori atau pengkelasan bangsa. Semuanya bangsa Siam, tidak kiralah sama ada asal usul mereka ada yang bukan Siam. Orang Cina di Thailand tidak lagi dikenali sebagai Cina, tetapi mereka adalah orang Siam.

Jika ada orang Cina Thailand mengaku mereka adalah orang Cina, pasti mereka akan dihantar balik .

Berbanding dengan negara kita, bahasa asing lebih didaulatkan di sana sini. Semua maklumat dalam bahasa asing. BM menjadi bahasa merempat. Lihatlah maklumat papan tanda, produk, siaran TV radio dan sebagainya. Berapa banyak rancangan dalam BM berbanding dengan bahasa asing?

Jangan pergi jauh, masuklah ke dalam semua bank komersial yang ada, semuanya dalam bahasa asing. Ini tidak termasuk nama-nama yang sudah bertukar, Kedai Telekom menjadi TM Point, Bank Bumiputera menjadi CIMB dan sebagainya. Apakah begitu hina menggunakan perkataan BM seoerti “kedai”, “bumiputera” dan lain-lain bahasa Melayu. Apakah BM ini terlalu hina, sehingga tidak ada lagi nama-nama taman perumahan atau nama bangunan komersial menggunakan BM. Semuanya sudah menjadi Verge, Conezion, Velocity, Time Square, Queensbay, Eastin, D’Casa dan macam-macam lagi. Majoritinya langsung tidak ada kena mengena dengan bangsa-bangsa yang ada di negara kita ini.

Kenapa begitu mudah nama-nama ini diluluskan? Apakah tugas Majlis Perbandaran atau Majlis Tempatan (Daerah) hanya meluluskan? Yang DiPertua Perbandaran atau Pegawai Perancang Bandar buat apa? Makan gaji buta?

Hina sangatkah nama seperti Mawar, Melati, Melur, Kencana, Pertama, pertama dan lain-lain nama-nama Melayu yang indah yang boleh diletakkan kepada  nama kepada taman perunahan dan bangunan komersial. Apakah pelancong tidak akan membeli atau membeli belah dalam bangunan komersial yang menggunakan nama BM dalam bangunan komersialnya.

Sebenarnya pelancong datang di Malaysia mahu cari apa? Cari nama orang putih? Cari arak? Cari pelacur? Atau mahu cari apa? Tidak kah mereka mahu mencari suatu kelainan dalam negara ini. Mengenali adat budaya, cara hidup kita dan sebagainya.

Jika mahukan bahasa mereka sendiri atau cara hidup mereka sendiri seperti, arak, pelacur, judi dan lain-lain, mereka semua sudah ‘mandi’ dengan semua kemaskiatan itu di negara sendiri. Mereka sebenarnya mahu apa berkunjung ke negara kita? Jangan lah kita terlalu perasan dengan mengatakan pelancong akan lari jika arak dan pelacur tidak disajikan. Mereka sudah mandi dengan semua kemaksiatan itu.

Amat memalukan bila pelancong datang ke sini, kita sajikan lagu rock yang mereka sudah pun terlebih rock. Tidakkah ketika itu mereka mahu mendengar keroncong, inang, zapin dan sebagainya?

Terbaharu, saya ‘tertengkar’ dengan ‘tok guru’ atau professor yang lebih tua daripada saya. Bila saya membangkitkan isu kenapa Thailand dan Indonesia lebih berjaya dalam pembinaan jati diri dan pembangunan negara bangsa. Profesor ini menjawab, “ada apa dengan Thailand dan Indonesia, mereka bergaduh sesama mereka dan saling menjatuh antara satu sama lain”.

Saya sungguh terkejut bagaimana seorang professor boleh berkata sedemikian. Thailand dan Indonesia, hanya ‘bergaduh’ dalam soal masalah dalaman mereka. Negara mereka terus bergerak maju. Rakyat mereka sangat setia kepada tanahair. Malah sanggup mati mempertahankan jati diri negara, seperti agama, bangsa dan negara.

Contoh Thailand, walaupun pemerintah mereka dan parti mereka sering bertukar, kesetiaan dan ketaatan mereka kepada Raja, Buddha dan identiti Siam, tidak berbelah bahagi. Begitu juga Indonesia. Mereka sanggup mati untuk itu, meskipun ada pemimpin mereka dijatuhkan dalam kalangan mereka (tentera).

Tetapi, tidak kita, berapa ramai yang sanggup mati untuk agama, bangsa dan negara. Kita belum diuji. Suatu hari nanti jika diuji dengan peperangan, baharulah kita menepuk kepala, siapa yang setia, siapa yang tidak? Siapa yang akan sanggup mati, siapa yang akan lari. Sekarang ini pun sudah berapa ramai yang lari? Saya amat yakin ramai yang akan lari.

Mungkin ada yang sinis dengan pena saya. Tetapi saya amat yakin, saya dapat merasakan percikannya. Mungkin yang lain tidak merasai kerana kita terlalu berpolitik. Agenda negara sanggup diketepikan kerana kepentingan politik dan kuasa.

Dipetik dari FB Riduan Tee.

Khamis, 21 September 2017

Apa itu Rasuah?

Apa itu Rasuah?

hadiah vs rasuah
Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.
Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.
Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694)terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:
  1. Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
  2. Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
  3. Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18Akta SPRM 2009]
  4. Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23Akta SPRM 2009]
Di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Gagal Melapor

1. Gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah
  • Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009
  • DENDA : Tidak lebih RM100,000  
  • PENJARA : Tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali  
2. Gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan
  • Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009
  • DENDA : Tidak lebih RM10,000 
  • PENJARA : Tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali 

Anda Dilindungi

Masyarakat tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan PEMBERI MAKLUMAT adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.
  1. PEMBERI MAKLUMAT adalah orang yang membuat pendedahan tentang jenayah rasuah berdasarkan pengetahuannya. Mereka dilindungi di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009.
  2. PEMBERI MAKLUMAT boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
  3. PEMBERI MAKLUMAT yang menjadi SAKSI bagi sesuatu kes rasuah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.