Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Jumaat, 25 November 2011

Banyak Projek Sakit di Pahang, pendedahan Ketua Audit



Banyak Projek Sakit di Pahang, pendedahan Ketua Audit



Begitu banyak kepincangan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 untuk negeri Pahang. Dari projek perumahan rakyat yang banyak projek sakit dan lambat siap, rugi RM12 Juta. Pengurusan air rugi RM65 Juta. Royalti pasir rugi RM3.23 Juta. Yelah negeri Pahang, tempat Perdana Menteri, kawasan selamat UMNO lah katakan.

(Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.- Utusan Malaysia 17 Okt. 2010)

TV1, TV3, Utusan, Berita Harian takkan berani dedah laporan Ketua Audit untuk Johor, Pahang dan Melaka, PENGECUT ! Pembela Melayu konon.

***************
Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRM) di Pahang banyak masalah seperti projek sakit, projek lewat disiapkan dan kelewatan mendapatkan kelulusan CFO. Kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan berjumlah RM6.20 juta dan menanggung kos membaik pulih dan penyelenggaraan berjumlah RM5.97 juta.

Pengurusan Air Tidak Berhasil NRW kurang memuaskan kerana anggaran kehilangan hasil yang tinggi iaitu sejumlah RM65.50 juta pada tahun 2008

Hilang hasil daripada royalti pasir berjumlah RM3.23 juta. Aktiviti perlombongan pasir telah memberi kesan negatif terhadap alam sekitar seperti berlakunya hakisan tebing sungai, pencemaran kawasan operasi, sehingga menjejaskan kehidupan penduduk setempat.

Pengurusan pengendalian kes di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Pahang adalah tidak memuaskan kerana kaedah dalam enakmen belum diwartakan dan sistem pautan e-Syariah tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Pelaksanaan Projek Pembinaan Akademi Usahawan Tani Fasa 1 adalah tidak memuaskan kerana berlaku kesilapan reka bentuk, kualiti kerja pembinaan yang rendah dan kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi.

Tahap pengurusan program pemberimilikan tanah di Pejabat Daerah Dan Tanah Bentong adalah tidak memuaskan kerana Pejabat lambat menyelesaikan fail-fail permohonan dan telah menyebabkan hasil tanah lewat dipungut.

Pengurusan premis perniagaan Majlis adalah tidak memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan. Antaranya ialah ketidakpatuhan dalam kerja ubahsuai rumah rehat Bentong, harga bekalan yang tidak munasabah, pemborosan dalam perbelanjaan, kajian kemungkinan tidak dijalankan, penyenggaraan premis perniagaan tidak dijalankan secara berkala dan semakan semula kadar sewa premis tidak dibuat.

***************

BAHAGIAN I – AKTIVITI JABATAN/AGENSI

1. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang - Pelaksanaan Dan Pengagihan Projek Perumahan Rakyat Dimiliki

Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRM) dilaksanakan adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri yang termampu, selesa dan selamat. Jabatan Perumahan Negara (JPN), Wilayah Timur Pahang bertanggungjawab melaksanakan projek PPRM manakala Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang bertanggungjawab menguruskan pengagihan rumah kepada pemohon yang layak. Pelaksanaan projek PPRM secara keseluruhannya menghadapi banyak masalah seperti projek sakit, projek lewat disiapkan dan kelewatan mendapatkan kelulusan CFO. Masalah ini adalah disebabkan ketidakcekapan Juruperunding dan kontraktor dalam melaksana serta menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan projek dengan berkesan. Akibatnya pihak Kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan berjumlah RM6.20 juta yang sepatutnya boleh dielakkan. Selain itu, proses penawaran rumah yang memakan masa lama telah mengakibatkan pemohon lewat dapat menduduki rumah. Manakala rumah yang terbiar kosong untuk tempoh yang lama mengakibatkan pihak Kerajaan terpaksa menanggung kos membaik pulih dan penyelenggaraan berjumlah RM5.97 juta.

2. Pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Negeri Pahang - Pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut Terhadap Agensi Kerajaan Negeri Pahang

Pinjaman Boleh Dituntut adalah merupakan pinjaman yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada Agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menggunakan sumber Kerajaan Negeri atau pinjaman yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan. Pinjaman yang diberi diperoleh daripada tiga sumber iaitu Akaun Hasil Disatukan, Kumpulan Wang Pembangunan (termasuk juga pinjaman yang dibuat daripada Kerajaan Persekutuan) dan Kumpulan Wang Amanah. Had peruntukan pinjaman adalah ditetapkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Sehingga akhir tahun 2009, baki Pinjaman Boleh Dituntut bagi Agensi dan PBT di Negeri Pahang telah mencatatkan kenaikan sedikit sejumlah RM1.03 juta atau 0.4% daripada RM239.57 juta pada tahun 2008 kepada RM240.60 juta. Secara keseluruhannya, pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut adalah tidak memuaskan disebabkan bayaran balik pinjaman oleh Agensi dan PBT yang tidak mengikut syarat perjanjian. Selain itu, kekurangan penguatkuasaan terhadap Agensi dan PBT yang tidak mematuhi atau telah ingkar kepada syarat–syarat perjanjian juga menyebabkan tunggakan baki bayaran balik pinjaman boleh dituntut semakin meningkat. Kesan daripada ini telah menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menanggung beban hutang yang semakin meningkat kepada Kerajaan Persekutuan. Keadaan ini seterusnya menjejaskan perancangan pembangunan ekonomi Kerajaan Negeri dalam memastikan ia mencapai matlamat seperti yang telah ditetapkan di dalam Bajet Tahunan Kerajaan Negeri yang telah diluluskan.

3. Jabatan Pertanian Negeri Pahang - Projek Pembinaan Akademi Usahawan Tani Di Kampung Awah, Maran

Projek Pembinaan Akademi Usahawan Tani di Kampung Awah, Maran telah mula dirancang untuk dilaksanakan di bawah RMKe-9. Projek ini merupakan projek Jabatan Pertanian Negeri Pahang yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pahang. Pembinaan Akademi Usahawan Tani bertujuan untuk melahirkan usahawan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta progresif bagi membawa industri pertanian lebih maju dan berdaya saing. Projek pembinaan Fasa 1 telah disiapkan pada 18 Oktober 2006 dengan kos berjumlah RM6.86 juta. Manakala, tarikh siap projek Fasa 2 mengikut kontrak adalah pada 16 April 2010 dengan kos berjumlah RM2.53 juta. Secara keseluruhannya, tahap pelaksanaan Projek Pembinaan Akademi Usahawan Tani Fasa 1 adalah tidak memuaskan kerana berlaku kesilapan reka bentuk, kualiti kerja pembinaan yang rendah dan kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi. Selain itu, ketiadaan perancangan awal yang teliti telah menyebabkan banyak pengubahsuaian dilakukan setelah projek siap dilaksanakan dan pihak kontraktor juga telah menggunakan Table Tender Drawing dan bukan Construction Drawing sebagai rujukan semasa menjalankan kerja pembinaan.

4. Pejabat Daerah Dan Tanah Bentong - Pengurusan Pemberimilikan Tanah

Pejabat Daerah Dan Tanah Bentong adalah merupakan Agensi utama yang bertanggungjawab terhadap semua aspek pentadbiran tanah dan pembangunan daerah di Pentadbiran Daerah Bentong. Tanggungjawab utama Pejabat ini adalah merancang pembangunan tanah, pemberian hak milik tanah selain menguatkuasakan undang-undang, pungutan cukai dan hasil berkaitan tanah. Daerah Bentong telah dibahagikan kepada 3 Mukim iaitu Bentong, Sabai dan Pelangai dengan jumlah keluasan 183,112 hektar. Jumlah hak milik tanah di Daerah Bentong pada tahun 2009 adalah sebanyak 42,988. Secara keseluruhannya, tahap pengurusan program pemberimilikan tanah di Pejabat Daerah Dan Tanah Bentong adalah tidak memuaskan kerana Pejabat lambat menyelesaikan fail-fail permohonan dan telah menyebabkan hasil tanah lewat dipungut. Selain itu, prestasi Pegawai Petempatan juga kurang memuaskan kerana tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Arahan Pentadbiran Tanah Negeri.

5. Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Pahang - Pengurusan Aktiviti Pengambilan Pasir Sungai Dan Kesannya Kepada Alam Sekitar

Pengusaha pasir perlu memohon dan mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan bagi memastikan aktiviti yang dijalankan tidak memberi impak negatif terhadap alam sekitar. Kegagalan pengusaha memohon untuk mengambil pasir di Kuala Sungai Miang telah menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil daripada royalti berjumlah RM3.23 juta. Selain itu, kegagalan pengusaha mematuhi syarat yang ditetapkan telah memberi kesan negatif terhadap alam sekitar seperti berlakunya hakisan tebing sungai, pencemaran kawasan operasi, perubahan kepada regime sungai sehingga menjejaskan kehidupan penduduk setempat.

6. Jabatan Kehakiman Syariah Pahang - Pengurusan Pengendalian Kes Di Mahkamah Syariah Negeri Pahang

Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (Jabatan) telah ditubuhkan pada 19 Januari 1995 yang sebelum itu dikenali sebagai Mahkamah Qadhi di Jabatan Agama Islam Pahang. Jabatan ini bertanggungjawab mengurus, mendengar dan memutuskan kes-kes di semua peringkat Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan di dalam pengurusan Kes Mal dan Kes Jenayah. Jabatan ini mempunyai dua Mahkamah Tinggi Syariah dan 12 Mahkamah Rendah Syariah di seluruh Negeri Pahang. Berdasarkan Laporan Statistik e-Syariah pada tahun 2009, sebanyak 4,610 Kes Mal dan Jenayah telah didaftarkan dan sebanyak 2,301 (49.9%) belum selesai perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Pahang. Secara keseluruhannya, pengurusan pengendalian kes di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Pahang adalah tidak memuaskan kerana kaedah dalam enakmen belum diwartakan dan sistem pautan e-Syariah tidak dilaksanakan sepenuhnya.

7. Jabatan Bekalan Air Negeri Pahang - Pengurusan Air Tidak Berhasil (NRW)

Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water (NRW)) adalah jumlah kuantiti air yang
disalurkan ke dalam sistem agihan tetapi tidak memberi pulangan hasil kepada agensi yang menguruskan bekalan air. Melalui Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMKe-9), Jabatan Bekalan Air Negeri Pahang (JBA Pahang) telah diberi peruntukan sejumlah RM150.34 juta untuk melaksanakan program bagi mengurangkan NRW. Sehingga akhir tahun 2009, sejumlah RM121.03 juta (80.5%) telah dibelanjakan termasuk RM6.20 juta untuk projek bukan NRW. Secara keseluruhannya, pengurusan NRW di Negeri Pahang adalah kurang memuaskan kerana anggaran kehilangan hasil yang tinggi iaitu sejumlah RM65.50 juta pada tahun 2008, dua meter pengeluaran yang dibeli pada tahun 2003 tidak dipasang dan meter yang dipasang sukar dibaca. Selain itu, pemantauan terhadap penggunaan tanpa kebenaran tidak dijalankan menyebabkan banyak berlaku kes kecurian air.

8. Majlis Perbandaran Bentong - Pengurusan Premis Perniagaan

Pengurusan premis perniagaan adalah di bawah tanggungjawab Majlis Perbandaran Bentong (Majlis). Sehingga akhir tahun 2009, Majlis mempunyai 1,974 pegangan premis perniagaan yang terdiri daripada rumah kedai jenis teres, bangunan kedai sesebuah dan lot perniagaan dalam kompleks perniagaan. Secara keseluruhannya, pengurusan premis perniagaan Majlis adalah tidak memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan. Antaranya ialah ketidakpatuhan dalam kerja ubahsuai rumah rehat Bentong, harga bekalan yang tidak munasabah, pemborosan dalam perbelanjaan, kajian kemungkinan tidak dijalankan, penyenggaraan premis perniagaan tidak dijalankan secara berkala dan semakan semula kadar sewa premis tidak dibuat. Selain itu kaedah kutipan tunggakan sewa kurang berkesan manakala promosi kurang dijalankan.

BAHAGIAN II – PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN NEGERI

9. LKPP Corporation Sdn. Bhd.
LKPP Corporation Sdn. Bhd. (LCSB) telah memulakan operasinya pada 1 Mac 1994 dengan modal saham dibenarkan berjumlah RM50 juta dan modal saham berbayarnya setakat ini sejumlah RM49.46 juta. LCSB merupakan syarikat subsidiari kepada Agensi Kerajaan Negeri Pahang iaitu Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) dengan 100% modal saham berbayarnya adalah dimiliki oleh LKPP. Visi syarikat adalah sebagai peneraju utama dalam pembangunan industri pertanian dan industri pemprosesan yang berkaitan seperti pengurusan ladang, pemprosesan minyak sawit, pelancongan tani dan penternakan. Secara keseluruhannya pengurusan syarikat LCSB adalah baik. Prestasi kewangan syarikat berada pada kedudukan yang kukuh dan prestasi aktiviti juga adalah baik. Namun pengurusan tadbir urus korporat syarikat perlulah dipertingkatkan bagi menjadikan LCSB sebagai syarikat yang lebih berdaya saing dan membawa keuntungan yang tinggi kepada syarikat serta menyumbang kepada peningkatan sosio ekonomi Negeri Pahang.

10. LKPP Padi Sdn. Bhd.
LKPP Padi Sdn. Bhd. (LPSB) merupakan syarikat subsidiari kepada Agensi Kerajaan Negeri Pahang iaitu Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) yang memiliki 100% modal berbayarnya. LPSB telah ditubuhkan pada 28 Jun 1995 dengan modal dibenarkan berjumlah RM10 juta dan modal berbayarnya setakat ini sejumlah RM5 juta. Penubuhan LPSB adalah bertujuan untuk membangunkan sawah komersial di kawasan tanah terbiar terutama di Daerah Rompin. Dalam mempelbagaikan aktivitinya LPSB juga terlibat dalam aktiviti pengeluaran ikan air tawar yang diusahakan secara sewaan kolam dan perladangan kelapa sawit yang diuruskan oleh syarikat subsidiari LKPP iaitu LKPP Corporation Sdn. Bhd.. Secara keseluruhannya, pengurusan syarikat LPSB adalah memuaskan. Prestasi kewangan syarikat adalah kukuh dan prestasi aktiviti juga adalah semakin meningkat dan membawa keuntungan kepada syarikat. Bagaimanapun, pengurusan tadbir urus korporat syarikat hendaklah dilaksanakan berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan dan secara lebih berhemat bagi menjadikan LPSB sebagai sebuah syarikat yang lebih berdaya saing.

11. PKNP Mineral Industries Sdn. Bhd.
PKNP Mineral Industries Sdn. Bhd. (PMISB) merupakan syarikat subsidiari kepada Agensi Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan modal dibenarkan berjumlah RM100,000 dan modal berbayarnya setakat ini sejumlah RM2 dimiliki sepenuhnya oleh PKNP. Pada awalnya, PMISB dikenali sebagai BIM Land Sdn. Bhd. Telah ditubuhkan pada 13 Januari 1999 bagi memegang hartanah yang dimiliki oleh PKNP di Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Pada 27 April 2007, nama syarikat telah ditukar kepada PMISB setelah melibatkan diri dalam industri perlombongan bijih besi bagi pihak PKNP. Aktiviti utama PMISB adalah jualan hartanah dan perlombongan bijih besi dalam bentukusaha sama bagi pihak PKNP dengan beberapa syarikat yang diberi hak untuk melombong di tanah milik PKNP. Secara keseluruhannya, pengurusan syarikat PMISB adalah kurang memuaskan. Syarikat ini diwujudkan pada asalnya untuk menjalankan aktiviti berkaitan hartanah, namun syarikat telah mengalami kerugian daripada aktiviti ini. Kemudian syarikat beralih pula kepada aktiviti perlombongan bijih besi secara usaha sama dengan syarikat bersekutu. Syarikat telah menerima dividen daripada pelaburannya dalam aktiviti perlombongan bijih besi ini. Walaupun syarikat telah ditubuhkan melebihi tempoh 10 tahun, namun syarikat masih belum mempunyai struktur pengurusannya sendiri.

Semua laporan diatas bukanlah Laporan Audit 2010 tapi adalah laporan Audit tahun 2009 . Sengaja p81 paparkan balik ulasan laporan Audit 2010 untuk mendapat maklubalas adakah semua laporan audit tahun 2009 dulu telah diambil tindakan oleh agensi berkaitan

Tiada ulasan: