Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Khamis, 3 April 2008

JERANTUT 2 April - Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan akan dibahagikan kepada dua zon pembangunan dalam sektor pelancongan untuk meningkatkan ekonomi penduduk kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, menerusi perancangan itu, zon pertama di Tembeling Tengah akan diberi perhatian dalam bidang pelancongan berasaskan pertanian.
Zon kedua di Hulu Tembeling pula, kata beliau, akan dikekalkan sebagai pusat pertumbuhan pelancongan berasaskan alam semulajadi berikutan kekayaan khazanah rimbanya.
''Pembangunan dua kawasan ini kerana masih banyak sawah dan tanah terbiar yang boleh dimajukan dan keindahan alam sekitar untuk dijadikan tarikan pelawat serta menambah pendapatan penduduk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Amizan memberitahu, Taman Negara Kuala Tahan yang memang dikenali sebagai destinasi pelancongan terkenal di peringkat dunia akan terus berperanan sebagai pusat pelancongan apabila kerajaan akan menaik taraf beberapa kemudahan infrastruktur.
Antara projek yang sedang dilaksanakan, katanya, termasuk lot-lot gerai, laluan pejalan kaki, pintu gerbang dan landskap di hadapan
Sungai Tembeling bagi merancakkan pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan.
Sementara itu, beliau berkata, beberapa kampung di Tembeling Tengah iaitu Kampung Labu, Kampung Merting, Kampung Gol dan Kampung Pasir Sia dikenal pasti berpotensi dimajukan untuk projek pertanian.
Katanya, kampung-kampung tradisional pesisir Sungai Tembeling itu berpotensi dibangunkan berikutan kesuburan tanah dan kedudukannya terletak di antara Bandar Jerantut ke Kuala Tahan.
''Kita akan mendapat kerjasama pengusaha pelancongan dari Lembah Klang dan Bandar Jerantut supaya membawa pelawat singgah di kampung-kampung ini untuk menyaksikan sendiri produk pertanian serta cara hidup masyarakat Melayu di sini," katanya.
Wan Amizan turut meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan belia bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk melaksanakan projek yang boleh menambah pendapatan penduduk.
''Saya sendiri akan turun padang bersama JKKK dan belia untuk memantau agar projek yang dirancang, betul-betul terlaksana dan memberi manfaat untuk penduduk," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut berkata, pihaknya akan turut memajukan semula pusat pelancongan Jeram Perahu di Hulu Tembeling yang suatu ketika memang terkenal di kalangan pelawat tempatan sekitar 1990-an.
''Kita akan tambah beberapa kemudahan asas di Jeram Perahu yang kaya dengan keindahan alam sekitar yang belum tercemar dan pemuliharaan ikan air tawar yang bermutu tinggi sebagai tarikan pengunjung," katanya.
Katanya, pembangunan pelancongan dan pertanian berupaya meningkat taraf hidup penduduk menerusi peluang pasaran dan industri pengangkutan bot penambang Sungai Tembeling.
Beliau menambah, Sungai Tembeling akan dipantau dari aspek kebersihan dan keindahan dari semasa ke semasa supaya menjadi tarikan pelancong.
''Kita juga akan memantau projek memulihara pelbagai spesies ikan air tawar di kawasan antara Kuala Tahan hingga ke Kampung Pagi dengan bantuan agensi tertentu dan belia di Sungai Tembeling itu,'' katanya.

Tiada ulasan: