Nasihat Untuk Pembaca

"Jangan membaca blog ini untuk menafikan, mengelirukan atau mempercayai dan menerima bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai"
(Deliver, be fair, be clean and be transparent and the rakyat will vote for you)

Rabu, 14 November 2007

Bekas imam saman Setiausaha UMNO RM3 juta

Bekas pegawai Masjid Tengku Abdullah, Jerantut semalam memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM3 juta terhadap Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Zamri Yaakob kerana mendakwa difitnah.
Zakaria Khalib, 42, memfailkan saman itu melalui Tetuan MK Othman & Co di pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya Temerloh di sini pada 3.10 petang tadi, mendakwa Zamri melalui suratnya bertarikh 15 September tahun lepas kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan disalinkan kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Pahang dengan secara salah dan niat jahat menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya.
Beliau mendakwa Zamri dalam surat tersebut menuduh beliau, yang ketika itu Imam Satu Masjid Tengku Abdullah, Jerantut, mempersendakan konsep Islam Hadhari sebagai bentuk ajaran agama baru serta sesat yang diperjuangkan pemimpin UMNO dalam ceramah agama yang disampaikan.
Beliau turut dituduh menjatuhkan hukum murtad dan bunuh kepada sesiapa yang menyokong kerajaan serta menggunakan platform masjid dengan membenarkan penceramah bebas dan tidak bertauliah menyampaikan ceramah politik pembangkang.
Zakaria juga dikatakan sering memperlekeh dan menuduh tugas-tugas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terutama dari kalangan pemimpin UMNO yang korupsi, tidak amanah, membina kekayaan peribadi, mencuri hasil negara dan lain-lain.
Zakaria juga dikatakan menghentam peribadi Perdana Menteri sebagai keturunan abdi Badwi Arab Jahiliah yang memimpin UMNO serta mengutuk kerajaan yang sedia ada.
Zakaria mendakwa akibat fitnah tersebut, beliau dihina, dikeji dan dicemuh oleh masyarakat seolah-olah beliau merupakan seorang penderhaka kepada baginda dan seluruh rakyat.
Zakaria yang ditemani peguamnya, Mohd Fadzly Mohd Ramly juga percaya akibat daripada surat tersebut telah menyebabkan dia ditukarkan ke Pekan dan kini menjawat jawatan di bahagian pengurusan JAIP.
Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta serta satu injunksi untuk menghalang Zamri atau pekerja-pekerjanya daripada menerbitkan perkataan berunsur fitnah selain mahu Zamri meminta maaf sepenuhnya dan menarik balik tuduhan fitnah ke atasnya.
Zakaria memulakan perkhidmatannya bersama JAIP dengan menjadi Imam di Masjid Lipis pada tahun 1995, Pekan 1997, Bera (masjid Triang) dan memohon ditukar ke Jerantut pada tahun 2004. Dia kemudian telah ditukar ke Pekan ke bahagian Pengurusan pada tahun lepas.

http://dppwp.wordpress.com/2007/11/14/bekas-imam-saman-setiausaha-umno-rm3-juta/

Rabu, 5 September 2007

Demi pembangunan, penduduk tagih kunjungan pemimpin no. 2 negara

Demi pembangunan, penduduk tagih kunjungan pemimpin no. 2 negara

JERANTUT 5 Sept (Hrkh) - Penduduk kampung Gusai, Hulu Tembeling rindukan kehadiran pemimpin No. 1 atau 2 negara ke kampung mereka, Ini kerana kedua-dua pemimpin itu belum pernah menjejakkan kaki ke kawasan itu sejak berkuasa pada 2003. -->-->
Penduduk yakin jika kedua-dua pemimpin atau salah seorang daripada mereka datang, ia akan merancakkan pembangunan di kawasan pedalaman itu.
Seorang penduduk, Suhaimi Ahmad 47, mendakwa hasil hutan (balak) di kawasan mereka telah dikeluarkan tetapi hasilnya tidak memberi manfaat kepada penduduk.
�Selepas hasil balak diambil, pembangunan kemudahan asas seperti jalan raya dan sebagainya tidak pula dibuat untuk kami.
�Yang dapat wang hanyalah taukeh balak, penduduk tidak mendapat apa-apa, alangkah bagus sekiranya hasil kekayaan itu diguna terus untuk membangunkan kemudahan asas seperti jalan raya ke kampung kami,� ujarnya.
Beberapa orang penduduk mendakwa, Timbalan Perdana Menteri, Dato� Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pernah berjanji untuk melawat Hulu Tembeling dua tahun lalu tetapi sehingga ke hari ini beliau belum mengotakan janjinya.
�Mungkinlah dekat pilihan raya ini dia akan datanglah membawa janji pembangunan dan projek untuk kami,� sinis mereka.
Mereka juga mendakwa pernah mengundang perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melawat kampung mereka tetapi penduduk akur di atas nasihat pemimpin Umno tempatan supaya menjemput Timbalan Perdana Menteri sahaja.
�Kami sudah undang (TPM) tetapi dia tidak datang juga,� kata mereka kesal.
Kampung Gusai adalah kampung paling pedalaman di Hulu Tembeling tiada lagi penempatan manusia selepas kampung itu.
Jarak perjalanan ke kampung Gusai kira-kira enam jam perjalanan menaiki bot dari Kuala Tahan.
Kampung Gusai terletak di tepi sungai Sepia, jaraknya dari kampung Bantai ialah sejam perjalanan menaiki bot.
Sungai Sepia yang semakin cetek airnya menyusahkan penduduk untuk berulang alik menyemarakkan desakan supaya kerajaan segera membina jalan raya ke kampung itu.
�Sungai ini mungkin tidak boleh dilalui bot dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sebab itu kami amat memerlukan jalan raya yang dapat menghubungkan kami dengan masyarakat luar,� kata mereka.
Tinjauan ke kampung yang mempunyai hampir 100 buah rumah menunjukkan taraf hidup penduduk adalah tinggi. Kebanyakkan mereka mempunyai ladang getah yang luas tetapi kesukaran membawa hasil keluar menyebabkan mereka gagal memanfaatkan sepenuhnya hasil ladang mereka. - mns

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=9575&Itemid=28

Selasa, 29 Mei 2007

Percepat kemudahan asas basmi kemiskinan

JERANTUT 27 Mei – Agensi kerajaan dan swasta di peringkat daerah diminta segera menyediakan kemudahan asas terutamanya membabitkan program pembasmian kemiskinan tegar di luar bandar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berkata, kelewatan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur lain boleh membantutkan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat miskin di seluruh negara.
Sebagai contoh, katanya, projek Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar yang siap pada 2002 sepatutnya dapat menempatkan lebih awal 50 keluarga miskin di daerah Jerantut.
‘‘Bagaimanapun kerana kelewatan bekalan elektrik oleh agensi terbabit menyebabkan 50 keluarga berkenaan tidak dapat ditempatkan mengikut jadual walaupun telah siap empat tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek PPMS bernilai RM2 juta di Kampung Bukit Rang di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Perpaduan negeri, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Ahmad Jaafar dan Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Abdul Aziz Ahmad.
Tambahnya, sikap sambil lewa dan tidak ada kesungguhan untuk menyediakan kemudahan asas untuk projek itu boleh membantutkan usaha kerajaan malah melengahkan matlamat kemiskinan sifar di negara ini pada 2010.
Di samping itu, beliau berharap agensi terbabit dalam sektor pertanian dan ternakan perlu lebih proaktif membantu keluarga miskin terbabit.
‘‘Saya yakin menerusi lojistik dan kemudahan yang disediakan oleh agensi berkenaan, peserta PPMS dapat memperoleh pendapatan.
‘‘Kerajaan tetap meneruskan usaha membasmi kemiskinan tegar melibatkan 48,000 keluarga di negara ini yang membabitkan seramai 240, 000 ahli (isi) keluarga secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, mereka akan ditempatkan di bawah projek PPMS dan pemberian rumah menerusi bantuan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di luar bandar serta projek skim bantuan keusahawanan di setiap kawasan Parlimen.
Beliau memberitahu, Projek PPMS Bukit Rang, Pulau Tawar yang menempatkan
50 keluarga termiskin di Daerah Jerantut awal tahun ini, bakal menjadi contoh projek membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=0528&pub=utusan_malaysia&sec=ekonomi&pg=ek_08.htm&arc=hive

Rabu, 8 Mac 2006

Felda bina bandar herba RM200 juta

JERANTUT 7 Mac - Felda akan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan sebuah bandar herba di negeri ini, tidak lama lagi.
Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, peruntukan tersebut turut membabitkan aspek pengurusan dan pentadbiran, ladang dan kilang herba serta kemudahan-kemudahan lain.
Katanya, pihak pengurusan Felda sudah mengenal pasti beberapa lokasi untuk projek bandar itu yang antara lainnya menempatkan kawasan ladang herba iaitu di Gugusan Lepar berhampiran Felda Kota Gelanggi 4 dan Kuala Tahan, di sini.
``Pembinaan bandar herba dan projek ladang herba itu membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar dan antara lokasi dalam cadangan ialah berdekatan Kuala Tahan. Ia dijangka mampu memacu bidang pelancongan Taman Negara di sini di samping memajukan industri herba sebagai peluang pekerjaan untuk penduduk di situ,'' katanya di sini hari ini.
Pada pertengahan tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan cadangan membangunkan sebuah bandar herba di negeri ini dalam usaha mengkomersialkan aktiviti pertanian yang berdaya saing dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Aminuddin Ishak berkata, bandar herba itu yang lokasi awalnya ialah di Maran seperti dicadangkan oleh kerajaan negeri kepada pihak Felda.
Bagaimanapun, Dr. Ahmad Shukri berkata, Felda bersedia menimbang cadangan kawasan berkenaan oleh kerajaan negeri.
Beliau menambah, syarikat Felda Herbal Corporation yang bertanggungjawab terhadap projek itu akan memberi taklimat kepada kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat.
Dr. Ahmad Shukri seterusnya berkata, peruntukan besar itu termasuk kos melakukan kerja-kerja awal antaranya pengukuran dan pembersihan kawasan, penyediaan pelan, perancangan tanaman, penyelidikan dan pengurusan tertentu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar berkata, projek bandar herba itu nanti akan berasaskan infrastruktur moden yang membabitkan bidang penyelidikan dan pengeluaran ubat-ubatan.
Justeru, menurutnya, semua aspek penyediaan ladang perlu kajian teliti termasuk lokasi, kemudahan asas dan kesesuaian tanah yang bakal dilaksanakan secara berperingkat.
``Felda Herbal Corporation akan menggunakan kaedah moden ini bagi menanam pelbagai jenis tumbuhan herba secara besar-besaran untuk komersial antaranya spesies tumbuhan pegaga, kunyit, tongkat ali, kacip fatimah, mengkudu, hempedu bumi dan misai kucing bagi memastikan pengeluaran besar-besaran memenuhi permintaan luar,'' jelasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2006&dt=0308&pub=utusan_malaysia&sec=ekonomi&pg=ek_08.htm&arc=hive

Khamis, 2 Disember 2004

Pusat Teknologi Maklumat terbiar tidak berfungsi

Saudara Pengarang,TERLEBIH dahulu pujian harus diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional kerana memperuntukkan belanja yang besar untuk membina Pusat Teknoloji Maklumat di setiap kawasan Dewan Undangan Negerinya.
Tujuannya amat murni iaitu untuk memberi peluang masyarakat desa dan luar bandar mempelajari dan mendekati komputer serta memudahkan mereka mendapat maklumat selaras dengan era dunia tanpa sempadan.
Namun, apa yang mendukacitakan kami ialah Pusat Teknologi Maklumat di Parlimen Jerantut (Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, DUN Damak, dan DUN Pulau Tawar) masih terbiar dan tidak dapat digunakan sehingga kini.
Selaku penduduk dan warga desa yang kepingin sangat mempelajari kemahiran penggunaan komputer, tetapi tidak berkemampuan memiliki komputer, apatah lagi Internet, maka kami meminta wakil rakyat supaya mengambil tindakan drastik bagi membolehkan Pusat Teknologi Maklumat tersebut berfungsi.
Kami juga merayu supaya Pusat Teknologi Maklumat tersebut, biarlah dapat digunakan oleh para rakyat. Maksudnya, pusat tersebut tidak dijadikan sebagai tempat mesyuarat atau pejabat sesebuah organisasi.
Dan lebih teruk lagi, sekiranya pusat tersebut dijadikan seperti rumah sendiri.
Semoga bangunan yang berharga puluhan ribu ringgit tidak sekadar dijadikan santapan mata rakyat yang dahagakan ICT. - RINDU ICT, Jerantut, Pahang.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2004&dt=1201&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_05.htm&arc=hive